Tuesday 26 February 2013

KITA UMMAT IQRA'


Di dalam kuliah Universiti

Dia seorang pelajar yang baik,bijak serta pandai berkata-kata. Aku seringkali timbul rasa dengki atas kebijakan serta kepandaiannya. Bahkan dia dipuji oleh para doktor di universitiku. Namun hari ini dia meluahkan sesuatu yang aku rasa agak terkejut.

Katanya :

“ Doktor,aku rasa amat payah dan sukar untuk membaca kitab. Dan pelajaran yang aku lalui sebelum ini seolah-olah hanya hafalan semata-mata. Tidak difahami secara terasnya dan aku rasa aku tak mempelajari apa-apa. Macam mana aku nak atasi perkara ini.”

Di kantin Universiti

Dia seorang pelajar yang hebat. Menghafal Al-Quran,lancar bercakap arab serta petah berkata-kata. Dia juga pelajar tahun akhir di Universiti,sudah tentu ilmu setinggi langit. Namun suatu hari dia meluahkan sesuatu yang menjadikan neuronku ligat mencari jawapan.

“Walaupun dah 4 tahun di sini,namun ana rasa macam x tahu apa-apa. Kosong je. Kadang-kadang orang tanya soalan pon terkapai-kapai nak jawab”




Mengapa perkara ini berlaku?

Kata guruku,Profesor Doktor Ziyad,

“Kamu jangan fikir hanya dengan segulung ijazah yang bernama Syariah sudah cukup untuk kamu menjadi Alim. Kamu jangan fikir hanya dengan tiga subjek tafsir sudah cukup menjadikan kamu mufassirin. Kamu jangan sesekali fikir bahawa dengan membaca sebuah kitab Fiqh Syafie,kamu bergelar imam mujtahid. Sedarlah. Ini hanyalah kunci untuk kamu memasuki pintu Ilmu. Tahap Ijazah sarjana muda ini hanyalah satu kunci untuk kamu mengetahui bagaimana untuk bermuamalah dengan ilmu. Ijazah ini tidak mampu memberikan kamu semua ilmu yang kamu inginkan. Tetapi,ia adalah satu kunci dan kamu harus berusaha dengan ketekunan serta istiqamah untuk menjadi seorang yang alim”

Aku tersenyum.

“ Wahai Atiq,kenapa kau ketawa?”

"Aku tak ketawa. Aku senyum",balasku.

Doktor turut tersenyum.

Doktor menyambung:

“ Antara punca kamu payah dan sukar membaca dan memahami adalah kerana kurangnya kemahuan untuk membaca. Kamu lebih suka berada dihadapan Facebook dan perkara-perkara lain. Kamu hanya berada di hadapan buku pada malam peperiksaan. Kamu membazirkan masa dengan perkara yang tak berfaedah dan melalaikan sedangkan ummat perlukan kamu untuk memimpin mereka. Kedua,kamu kurang membaca bacaan yang membentuk pemikiran. Kamu lebih menumpukan bacaan kitab universiti semata-mata dan tidak membebaskan pemikiran kamu untuk bacaan yang lain.Bacalah berita semasa,suasana dan perkembangan negara,pengetahuan am dan sebagainya yang mampu menambah tsaqafah dan pengetahuan kamu dalam membentuk kamu menjadi seorang pemikir dan bukan penghafal semata-mata. Ketiga,tatkala kamu bertemu dengan kesukaran untuk memahami apa yang kamu baca,kamu terus berhenti dari membaca. Bukankah dahulu sewaktu di darjah satu kamu juga tidak memahami,namun kamu terus cuba memahami dan akhirnya berjaya. Dan sekarang kamu sudah bergelar pelajar Universiti,mengapa kamu berhenti tatkala tidak memahami?".

Ini hanyalah permulaan dalam satu musafir ilmu. Kadang-kadang perasaan tidak tahu menghantui diri. Dan aku harus membebaskan diri dari perasaan itu. Jadikanlah membaca sebagai ubat untuk masalah ini. Teruskan membaca dan belajar kerana insan tidak dihukum atas perkara yang tidak diketahuinya.

Kepayahan dan kesusahan dalam pelajaran umpama sebuah tembok besar dan tinggi yang harus diatasi. Teruskan mendaki dan mendaki. Di sebaliknya pasti kau temui erti sebuah kefahaman. Ketahuilah,kita ummat membaca. Ya. Kita ummat IQRA’.


Thursday 21 February 2013

SOAL HATI.SIAPA YANG TAHU.


Assalamualaikum wbt…

Hidup dalam satu organisasi. Persatuan. Sejak sekolah rendah lagi saya terlibat. Biarpun sebagai Ketua Asrama. Di sekolah menengah saya terlempar jua dalam persatuan. Biarpun sebagai Presiden MP. Ke alam Kampus dengan semangat ingin menjadi insan pasif. Namun suasana mengheret jua. Terlibat dengan Persatuan Mahasiswa.

Saya kurang suka dengan falsafah “Akademik nombor satu,perstuan bukan nombor dua”. Atau “belajar nombor satu dakwah bukan kedua”. Pelik memikirkan  satu nombor yang harus diletakkan antara satu dan dua. Saya mahukan sesuatu yang jelas. “Pelajaran nombor satu,persatuan nombor dua”. Ya. Bukan bermaksud tidak sukakan persatuan. Tetapi mahukan sesuatu perkara itu jelas pada hukum asalnya supaya perkara yang mendatang mampu dihukum berdasarkan kaedah yang telah siap dihadam. Cubalah bertanya kepada orang yang beristeri dua. Mana mungkin isteri kedua tidak disukainya. Bahkan lebih disayangi.

Dalam hidup ini tak dapat lari untuk kita berkongsi alam ini dengan orang lain. Bermula saat dilahirkan. Disambut oleh bidan. Sehingga saat ditalkinkan oleh pak imam. Tanggungjawab sosial adalah satu perkara yang perlu diimani oleh setiap insan yang hidup di dalam satu komuniti masyarakat. Satu perkara yang perlu diadaptasikan dalam kehidupan bermasyarakat. Kisah pembantu dan orang yang dibantu. Samada kita berwatak sang pembantu atau orang yang dibantu. Yang pasti,kita pasti beraksi dalam layar itu.

Satu perkara lagi tentang kehidupan ini.

Hidup dalam persatuan mengajar saya erti bagaimana mengurus hubungan sesama manusia. Dari urusan menaip surat sehingga urusan membaiki hati. Kadang-kadang kita terjatuh dalam soal hati. Terasa hati. Makan hati. Jatuh hati. Oleh itu,ada orang berpesan “Berhati-hati soal hati kerana ia bawa mati.

Manusia memang diciptakan dengan pelbagai ragam,pelbagai sifat dan karenah. Dengan penciptaan yang pelbagai ini,di sana pasti berlaku perselisihan yang tak dapat dielakkan. Semakin banyak kereta di jalanraya,semakin berisiko berlaku kemalangan. Dan setiap perselisihan itu pasti akan berakhir jua. Terpulang bagaimana insan itu menguruskannya. Samada menjadikan hubungan semakin rapat atau sebaliknya. Yang pasti,semuanya pasti akan dihitung dengan adil dan saksama oleh Yang Maha Adil.

Hebatnya insan kerana ia mempunyai sekeping hati. Namun soal hati siapa yang tahu..




Saturday 16 February 2013

BUAT SAHABAT : KITA BERKONGSI SATU NAMA

Sudah 3 tahun aku meninggalkan bumi Tahfiz,Pulai Chondong,Kelantan. Terasa rindu menggamit di jiwa. Rindukan ketukan pintu jam 5 pagi tanda saat untuk bangun dari tidur. Rindukan alunan Al-Quran sebelum azan subuh dilaungkan. Rindukan tidur sambil berdiri tatkala murajaah selepas subuh. Rindukan deringan loceng menghambat pelajar ke kelas seawal jam 7.30. Aku rindukan semuanya!!

Bangunan kelas


Bagaimana mungkin aku lupakan.

Saat membaca hafalan Al-Quran di hadapan guru. Saat bermain bola dan futsal bersama rakan-rakan. Saat beratur panjang di kantin. Saat outing ke Kota Bharu mendengar kuliah Tok Guru. Saat menerima rotan tatkala melanggar peraturan. Banyak lag kenangan menggamit memori.

Papan tanda sekolah


Mungkin aku akan bertemu kembali bersama sahabat-sahabat,namun saat itu tak akan kembali lagi.
Sedikit renungan bersama kerana kita berkongsi satu nama iaitu Penghafal Al-Quran.

Sahabatku para penghafal al-Quran

Sesungguhnya Allah akan menguji hamba-hambaNya yang menghafal al-quran. Sejauh mana keazaman kita dalam hafazan. Oleh sebab itu, kita lihat ramai yang menghafal al-quran yang diuji dengan pelbagai ujian yang kadang-kadang kita rasa tidak mampu untuk menanggungnya. Maka tidak hairanlah kita menyaksikan mereka yang telah menghafal al-Quran tewas dan terlibat dalam maksiat yang sangat parah.

Al-Quran tidak akan lekat di hati orang-orang yang tidak mampu untuk menjaganya sebaik mungkin, maka beruntunglah mereka yang menghafal, menghayati serta mengamalkan isi al-quran tersebut…

Jadikanlah tujuan dan matlamat disebalik menghafal al-Qur’an semata-mata hanya kerana ingin mendekatkan diri kepada Allah, (Ikhlas) serta hadirkan dalam hati bahawa apa yang dibaca itu adalah kalam Allah.Jauhilah dari menghafal al-Qur’an untuk mendapatkan kedudukan disisi manusia (dipuji) ataupun untuk mendapatkan habuan dunia.

Lupa hafalan al-Qur’an adalah antara musibah yang besar. Sebenarnya hanya orang-orang yang terpilih sahaja yang dapat menghafal al-quran.

Imam Syafie Rahimahullah yang terkenal dengan cepat hafalannya pun pernah mengadu kepada gurunya Waqi’ Rahimahullah bahawa suatu hari dia terasa amat sukar untuk menghafal, lalu gurunya menunjukkan kepadanya satu bentuk rawatan yang tegas iaitu dengan meninggalkan perkara-perkara maksiat dan membersihkan hatinya dari semua perkara yang menghalang dari tuhannya. al-Quran adalah cahaya . Cahaya Allah tidak dapat bersama dengan perkara kemaksiatan.



Para Sahabat yang ku kasihi..

Mata kita selalu melihat al-Quran, tetapi dengan mata ini juga kita selalu melakukan zina mata (cth :melihat aurat perempuan), telinga ini selalu mendengar kalam Allah, tetapi dengan telinga ini juga kita selalu mendengar apa yg bertentangan dengan Kata-kata Allah(cth: Muzik syaitan) , mulut ini sentiasa membaca KalamNya, tetapi sering juga mulut ini mengumpat, membuka aib orang, jari-jemari kita sentiasa memegang Mushaf al-Quran, tetapi dengannya juga kita selalu SMS atau Chating dengan perempuan tentang perkara-perkara yang sia-sia

Adakah kita sering meninggalkan tidur kita semata-mata untuk bangun Solat Tahajjud ؟. Qiamulail adalah warisan bagi mereka yang menghafal al-Quran.

Sehari kita tinggalkan al-Quran, Seminggu al-Quran meninggalkan kita, Sebulan kita tinggalkan al-Quran, Setahun al-Quran meninggalkan kita..

Walaupun seharian kita sibuk dengan pelajaran , utamakan tanggungjawab kita dengan al-Quran terlebih dahulu, Kerana apabila kita mengutamakan al-Quran, Allah akan mengajar kita kerana ilmu itu datang dariNya, dan akan mempermudahkan segala urusan kita. Insya Allah.

Banyak manakah kita meluangkan masa kita bersama dengan al-Quran (Murajaah/Mengulang) dalam seharian ?? Murajaah/ulang semula akan apa yang telah dihafal merupakan tanggungjawab kita dengan Allah.

Sudahkah kita berahklak dengan Akhlak al-Quran. Sedangkan perbuatan kita seharian selalu bertentangan al-Quran. Malulah kita dengan al-Quran terutama lagi dengan Pencipta kita , Allah.

Sekadar peringatan untuk diri sendiri yang lemah dan hina ini, dan peringatan juga buat sahabat-sahabat yang menghafal al-quran.

Uhibbukum Fillah Barakallahu fikum…

اللهم اجعلنا من أهل القرءان

الذين هم أهلك وخاصة

Saat pengumuman keputusan SMU 2008


tazkir_zikran@yahoo.com
15022013
1224

Tuesday 12 February 2013

Memori : Hassan Al-Banna


Bipp.. Bipp.. Bipp..
Satu mesej masuk ke inbox S2 aku.
“Salam perjuangan,hari ini 12 hb Februari,telah pergi salah seorang ikon perjuangan Islam kerana terbunuh. Al-fatihah untuk Hassan al-Banna”
Kelmarin aadalah tarikh yang diingati oleh setiap individu yang mengenali susuk tubuh insan yang bernama Hassan al-Banna. Tokoh Ikhwanul Muslimin. Beliau meninggal dunia pada 12hb Februari 1949. Dibunuh oleh satu perancangan jahat mereka yang memusuhi perjuangannya.
Biarpun jasad telah meninggalkan dunia ini,namun roh perjuangan tetap subur dan semakin mekar ke segenap penjuru alam. Biarpun umur di dunia singkat,namun umur perjuangannya tak luput dimakan zaman. Insan yang berdiri tegap di medan dakwah dan tarbiyah,tidak gentar meskipun  dihadapan pemerintah. Satu jiwa yang kental dan berjiwa besar dalam memberi harapan baru buat ummah.


Hari ini sejarah beliau dibaca,dikaji dan diikuti oleh segenap lapisan masyarakat. Jasanya dikenang. Perjuangannya diteruskan. Kata-kata beliau kekal menjadi penyuntik semangat aktivis dakwah :
“Sesungguhnya ramai orang yang mampu berkata-kata dan sedikit dari mereka itu yang bertahan dalam beramal dan bekerja. Ramai pula dari yang sedikit itu yang mampu bertahan di waktu beramal dan sedikit dari mereka yang mampu memikul bebanan jihad yang sukar dan kerja berat. Para mujahidin itulah angkatan yang terpilih yang sedikit bilangannya tetapi menjadi penolong dan menjadi Ansarullah. Ada kalanya mereka itu silap tetapi akhirnya menepati tujuan sekiranya mereka diberi inayah dan hidayah oleh Allah.”
“Pencinta dunia menangis
kerana dunia yang hilang.
Perindu akhirat menangis
kerana dunia yang datang.

Dari mata yang mengintai
setiap kemewahan yang mulus
penuh rakus, mengalirlah
air mata kecewa kegagalan.

Dari mata yang redup
merenung Hari Akhirat
yang dirasakan dekat,
mengalirkan air mata insaf mengharap..”

“Tegakkan Islam dalam diri kamu.. nescaya Islam akan tertegak
di atas bumi kamu”



al-fathah buat insan yang tegar dimedan dakwah. Moga ditempatkan bersama para syuhada dan solihin. Muhasabah bersama hari ini,kita bagaimana? Mampukah berdiri mengibar bendera dakwah? Tegakah menjadi mata rantai menyambung rantaian ini meski tanpa permaidani tebal seinci?

Download dan install iman anda sebaiknya.

tazkir_zikran@yahoo.com
13022013
1013

Monday 11 February 2013

Memori : Cerita Sebuah Rumah


Sebenarnya aku sudah post satu artikel (PERTAMA) pada pagi tadi. Post-post berikutnya sepatutnya diletakkan dalam tempoh mendatang. Namun atas satu perkara yang penting aku rasakan. Ingin aku post sekali lagi. Kali ini tentang cerita sebuah rumah.Begini ceritanya.

Di sebuah penempatan terdapat sebuah keluarga yang besar. Terdiri dari ayahanda,bonda,abang long,dan macam-macam lagi. Mereka hidup aman damai. Cuma masalah berlaku apabila family ini tidak mempunyai rumah khas untuk melakukan aktiviti mereka. Kadang-kadang mereka menumpang di tempat orang lain dan menjadikan kehidupan ceria namun kurang selesa.

Bermulalah pencarian sang ayah dan abang long serta adik beradik yang lain. Mereka mencari sebuah rumah yang mampu memberi kebahagian penuh buat mereka. Bermula dengan pencarian rumah. Semua tempat di survey. Dari utara ke selatan. Dari timur turun ke barat. Akhirnya bertemu sebuah rumah yang sederhana namun mampu menjanjikan ketenangan dalam beraktiviti. Namun masalah kewangan pula menimpa. Abang long dan ayahanda ke hulu ke hilir mencari dana supaya anak-anak mampu selesa di rumah sendiri. Berjumpa ketua kampung,JKKK,wakil rakyat ,tok imam dan pelbagai lagi dalam proses menjana dana untuk rumah tersebut.

Alhamdulillah,sekarang sudah setahun mereka menghuni rumah itu. Pelbagai aktiviti dilakukan bersama. Ukhuwwah semakin erat. Ketenangan semakin dirasa. Penat lelah ketua keluarga memberi kesan yang besar terhadap keluarga itu. Seharusnya anak-anak berterima kasih atas jasa mereka.

Ini mungkin satu cerita realiti tetapi dikartunkan sedikit. Ini adalah cerita sebuah keluarga iaitu KELUARGA PRISMA. Rumah itu adalah Bayt PRISMA. Dan watak ayahanda,abang long dan pimpinan-pimpinan lain adalah Pimpinan PRISMA sesi 2011/2012.

Mr Presiden  2011/2012 : Mohd Fikri 


Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa penubuhan Bayt Prisma bukanlah satu gerak kerja yang mudah. Mereka ke hulu ke hilir mencari rumah,mencari dana dalam merealisasikan Rumah untuk Keluarga PRISMA. Kertas kerja dicetak dan diedar dalam memastikan kelangsungan dana. Pelbagai gerak kerja dilakukan oleh pimpinan dan sekarang hasilnya dapat dinikmati bersama. Oleh itu,amat wajiblah untuk kita mengenang jasa yang dilakukan oleh pimpinan terdahulu.

Sekarang BAYT PRISMA sudah berumur setahun bermula tarikh dirasmikan oleh Datuk Duta Abd Malik Abd Aziz pada tarikh 11 Februari 2012. Pengerusi a.k.a penjaga BAYT PRISMA,Muhammad Iqbal sudah dua sesi menjawat jawatan ini (Murakib terbaik kowt).

Perasmian Bayt Prisma


Aku dengan rendah hati berterima kasih kepada mereka iaitu pimpinan PRISMA 2011/2012 :

Mohd Fikri bin Mohd Khusaini (PRESIDEN)
Syahirah Muhammad ( KH)
Fakhrulhadi milatusamsi (TIMBALAN PRESIDEN)
Syahidah shaari (Timb KH)
Khomeini kamal (SU AGONG)
Fatimah Az Zahra (Timbalan SU AGONG)
Nihad Mat Nor ( Bendahari)
Munirah zakaria (Timbalan Bendahari)
Dan barisan AME yang lain…

Barisan Pimpinan 2011/2013


HAPPY ANNIVERSARY
SANAH HELWAH
SELAMAT ULANG TAHUN
~UNTUK BAYT PRISMA~


p/s : Sebarang  pertanyaan  dan  pengurusan yang  melibatkan  persatuan bolehlah  merujuk  kepada
Education Malaysia Jordan (EMJ) atau terus menghubungi kami dalam butiran di bawah:

Setiap sumbangan melalui cek diatas nama:

Director of Malaysian Student Department 

Dan dialamatkan kepada:
Education Malaysia Jordan,
24, Mohd Baseem Al-Khamash Street,
Sweifieh, P.O Box 14330,
Amman 11185,
Jordan.

ATAU

No Akaun Presiden (Maybank) :103016170111 

ATAU 

Hubungi kami:

Persatuan Mahasiswa Malaysia Al al-Bayt (PRISMA),
Al al-Bayt University,
25113 Mafraq, 
The Hashimite Kingdom of Jordan.

Presiden.
Saudara Nihad Bin Mat Nor
No Telefon: +962777184663
E-mail : nihadmatnor@yahoo.com

ATAU

Setiausaha Agung.
Saudara Atiqullah Mursyid Bin Abdul Halim
No Telefon : +962777839655
E-mail : tazkir_zikran@yahoo.com

ATAU
Bendahari Agung.
Saudara Mohammad Turmizi Bin Humaidi
No Telefon : +962775821015
E-mail : tur_turmizi@yahoo.com
ATAU

Ketua Helwi.
(Hal Ehwal Siswi)
Saudari Siti Aisyah Che Sulong
No Telefon: +962775365996
E-mail:nur_jihad07@yahoo.com

Bayt Prisma dipenuhi salji


Bayt Prisma jauh di Dhubbat,
Berjalan kaki penat lah juga,
Budi kalian sentiasa ku ingat,
Moga dibalas Tuhan dengan sebaiknya.


tazkir_zikran@yahoo.com
11022013
1533

Sunday 10 February 2013

PERTAMA KE-7 : Pemahaman terhadap Politik


Assalamualaikum wbt..

Salam bahagia dan salam ceria..

Alhamdulillah,diberi kesempatan masa untuk menulis dan mencoret di laman maya yang tidak bertinta. Beberapa hari yang lalu,aku sempat mengikuti Persidangan Tahunan Mahasiswa Malaysia Sejordan (PERTAMA) yang membincangkan tentang Siyasah Syari’yyah. Satu perbincangan yang amat menarik. Pembentangan oleh Prof Madya Dato’ Dr. Asri Zainul Abidin (MAZA),Dr. Maszlee Malik, Us Rozaimi,Us Anhar Opir dan Prof Madya Dr Azidan (Pengarah EMJ) selama dua hari dua malam memberi idea-idea yang bernas serta matang buat peserta.

Memang tidak dapat dinafikan. Pembentangan 7 kertas kerja selama dua hari tidak mampu menjadikan aku sebagai seorang yang pakar dalam bidang siyasah ini. Seperti mana yang disebutkan oleh Dr Ziyad Dighamin (Pensyarah Univ Albayt) tatkala memulakan kelas pertama kali. Katanya ,”Kamu semua jangan fikir hanya dengan selesai 3 madah tafsir dan beberapa bacaan kitab muqarrar dapat menjadikan kalian mufassirin. Ini hanyalah pintu serta kunci untuk kalian mendalaminya”. Oleh itu,aku menganggap perbincangan serta pembentangan selama dua hari itu hanya pintu masuk ke dalam satu ilmu yang dinamakan SIYASAH SYAR’IYYAH.


Panelis PERTAMA ketujuh


Siyasah Syar’iyyah

Apa itu siyasah syar’iyyah? Bagaimanakah cara berinteraksi dengannya? Adakah di sana satu kaedah atau formula yang disusun untuk membentuk bidang ilmu ini?

Siyasah menurut Ibnu Aqil :

“Politik ialah sesuatu tindakan yang menjadikan manusia paling hampir kepada kebaikan dan menjadikan mereka paling jauh kepada kerosakan walaupun ia tidak dilakukan oleh Rasulullah S.A.W dan tidak diturunkan oleh wahyu”.

Ini adalah salah satu takrifan dari takrifan yang pelbagai oleh para ulama’. Banyak lagi takrifan yang lain,Cuma aku begitu tertarik dan mudah difahami dengan takrifan ini. Dengan makna yang lain,siasah (politik) adalah satu perkara yang dilakukan oleh manusia yang membawa MASLAHAT meskipun perkara itu tiada wahyu tentangnya.

Secara asasnya,ilmu ini sudah wujud 1400 tahun yang lalu. Namun penamaan atau pemberian nama yang khusus baginya hanya hadir pada era ini. Siyasah sudah lama dipraktikkan oleh Nabi S.A.W dan para sahabat,manakala teori dalam bentuk formula serta kaedah yang disusun dalam satu ilmu hanya hadir selepas itu.

Sebelum masuk dan mendalami bidang ini. Satu perkara harus difahami. Syariat Islam datang datang dalam pelbagai bentuk dan dibahagikan kepada 3 perkara utama :

   (1)  Aqidah
        (2)   Ibadat (muamalah dengan Allah)
        (3)   Muamalat

Setiap perkara yang berkaitan dengan aqidah dan ibadat adalah bersifat tawaqquf iaitu tidak dibenarkan kecuali ada dalil tentang keharusannya. Manakala muamalat adalah satu keluasan yang diberikan oleh Allah iaitu ianya dibenarkan kecuali ada dalil yang mengharamkannya. Dan siyasah ini adalah satu elemen di dalam muamalah ini.

Bagaimana untuk memahami  dalil siyasah?

Al-Quran datang kepada insan sebagai petunjuk ke arah kebenaran. Insan juga dibekalkan akal untuk memberi penilaian terhadap sesuatu. Dalam memahami keadilan Tuhan,maka dua asas ini adalah satu alat timbang dalam merasionalkan pemahaman insan.

Tidak dinafikan bahawa di sana terdapat dalil-dalil dari Al-Quran dan sunnah yang memberi pelajaran umum buat manusia tentang erti siyasah (politik). Namun,disana juga terdapat beberapa perkara yang tidak ada padanya nas atau dalil dari Al-Quran dan sunnah padanya. Oleh itu,kebanyakan para ulama’ melihat dan memberikan kaedah umum tentang politik ini.

Politik Islam adalah berasaskan mendatangkan MASLAHAT atau menolak MUDHARAT untuk ummat. Al-Izz bin Abd Salam di dalam kitabnya,Qawaid Al-ahkam mengatakan :

“Sesungguhnya kami mengetahui daripada (memerhati) sumber-sumber syara’ bahawa yang dituntut oleh Syara’ ialah (mendatangkan) kemaslahatan hamba dalam urusan agama mahupun dunia”.

Oleh itu,dapat difahami bahawa Islam membawa asas kemaslahatan untuk ummat. Dan setiap perkara yang bertentangan dengan maslahat atau yang membawa mudharat untuk manusia adalah bukan dari Islam.

Antara literal dan maqosid

Seperti dinyatakan sebelum ini bahawa siyasah adalah salah satu elemen dari Muamalah. Dan disana ada perkara yang datang dalil padanya,ada juga yang tiada dalil padanya.

Namun,terdapat dalil yang secara zohir membawa ke arah mudharat terhadap insan dan menunjukkan kesempitan di dalam Islam. Seperti hukum mentaati pemerintah walaupun dipukul belakang,dirampas harta dan sebagainya. Tatkala melihat hadis secara zohir,seolah-olah Islam menyokong kezaliman pemerintah terhadap rakyat. Sedangkan kezaliman itu adalah satu unsur yang ditentang oleh Islam kerana Islam meletakkan keadilan sebagai asasnya.

Oleh itu,terdapat beberapa syarat dalam memahami dalil tentang politik :
  
         (1)   Haruslah hadis itu bersifat Sohih
         (2)   Memahami dalil politik berdasarkan maqasid syariah
         (3)   Membezakan dalil politik yang boleh difikirkan illahnya dengan dalil yang tidak boleh difikirkan illahnya
         (4)   Membezakan objektif dan wasilah
         (5)   Memahami sistem semasa
         (6)   Melihat kesan dan akibat terhadap setiap tindakan

Mungkin agak panjang untuk menerangkan setiap satu syarat-syarat ini. Dan ini bukanlah semata-mata syarat yang diletakkan dan disana terdapat pelbagai syarat yang harus diteliti. Cuma terdapat dua perkara yang ingin ditekankan iaitu memahami politik berdasarkan maqasid dan melihat kesan terhadap sesuatu tindakan.

Setiap dalil berkaitan politik harus diteliti dari sudut maqasidnya (objektif/tujuan). Kadang-kadang sesuatu dalil secara zohir menunjukkan seolah-olah Islam menyokong kezaliman. Oleh itu,dalil itu harus diteliti dari sudut maqasidnya kerana mustahil Islam akan menyokong kezaliman. Mungkin disana terdapat perkara yang tersembunyi maksudnya dan tertutup tujuannya. Justeru,setiap pemahaman yang bercanggah dengan Maqasid syariah adalah batil.

Ma’lat (kesan) terhadap sesuatu perkara

Setiap perkara atau tindakan yang ingin dilakukan tidak semata-mata terikat dengan dalil. Ianya harus dilihat dari sudut kesan dan akibat. Jika dilihat sirah Nabi S.A.W akan didapati banyak perkara dan tindakan baginda adalah berdasarkan pemerhatian kesan mendatang seperti tidak membunuh orang munafik,tidak membina kaabh seperti zaman Nabi Ibrahim A.S. Al-syatibi menyatakan di dalam kitabnya Muwafaqat :

“Melihat kepada kesan sesuatu perbuatan adalah muktabar dan dituntut pada syara’”.

PERTAMA yang Ketujuh

Biarpun hanya dua hari bersidang,banyak input dan cetusan idea aku perolehi. Coretan ini mungkinlah secebis yang masih mampu diingati. Perbincangan tentang suasana politik Malaysia,system politik masakini,hudud : aplikasi dan kesannya dan pelbagai perkara lagi tak mampu ku coret dalam masa yang terhad ini. Mungkin pemahaman ringkas terhadap maksud siyasah (politik),cara berinteraksi dengan dalil-dalil politik dan cara aplikasi siyasah adalah kunci dalam mendalami dan menerokai bidang ini.

Logo PERTAMA kali ini


Kesimpulan
Politik adalah juzuk dan sebahagian dari Islam dan ianya tidak dapat dinafikan. Islam telah menyediakan kaedah dan formula dalam mengurus tadbir manusia. Setiap perkara yang membawa maslahat dan menolak mudharat,maka Islam mengiktirafnya biar dari siapa pun jua. Kehidupan manusia berkait rapat dengan politik. Samada politik dalam mengurus diri sendiri,mengurus keluarga,mengurus persatuan dan masyarakat. Pastikan kunci ini yang kalian dapat di PERTAMA digunakan sebaik mungkin dan tidak disimpan hingga berkarat.


 tazkir_zikran@yahoo.com
11022013
0845