Assalamualaikum wbt..
Pada 6 April 2013 yang lepas,saya bersama beberapa orang sahabat sempat membentangkan beberapa kertas kerja dalam Bengkel Asas Fiqh dan Usul Fiqh buat ahli PRISMA.
Sebagai perkongsian buat semua,di sini saya postkan kertas kerja ringkas yang dibentangkan oleh saya bersama sahabat saya,Adib Mohd. Secara ringkasnya,kami tidak membuat kertas kerja ini dalam bentuk atau format yang tepat (sebab tausiq ilmi xdak) kerana hanya dibuat berdasarkan ringkasan ke atas beberapa buah kitab. Segala respon penambahbaikan amat dialu-alukan.
![]() |
Gambar ketika Bengkel |
SEJARAH PERKEMBANGAN FIQH
MUKADDIMAH
Kertas kerja yang cuba dibentangkan kali ini
adalah berkaitan Sejarah Perkembangan Fiqh yang berlaku dalam perkembangan
Islam. Antara tujuan kertas kerja ini dihasilkan adalah untuk memudahkan para
pembaca memahami bagaimana Fiqh itu berkembang mengikut peredaran zaman sesuai
dengan sifat fiqh yang fleksibel mengikut zaman dan keadaan.
Selain
itu,diharapkan dengan sedikit kajian ini mampu memberi rasa rendah diri kita di
hadapan karya dan usaha yang telah dilakukan para Ulama dahulu kala dan
mengetahui juhud mereka dalam mendalami ilmu.
Moga segala gerak kerja ini dinilai di sisi
Allah sebagai amal soleh. Wallahu’alam.
APAKAH ITU SEJARAH PERKEMBANGAN FIQH?
Sejarah adalah peristiwa yang benar-benar
berlaku pada waktu yang lampau.
Perkembangan pula adalah hal dan keadaan
berkembang atau bergerak maju.
Fiqh pula adalah satu ilmu tentang hukum hakam
amalan manusia yang diperoleh dari dalil-dalil yang terperinci.
Oleh itu,dapat disimpulkan di sini bahawa
takrif kepada perbincangan kali ini ialah :
“Sejarah tentang peristiwa perkembangan dan
pergerakan ilmu fiqh mengikut peredaran zaman”
Sejarah perkembangan fiqh merangkumi beberapa
peredaran zaman dan perubahan sentiasa berlaku pada setiap zaman.
Zaman peredaran fiqh adalah seperti berikut :
ZAMAN NABI S.A.W.
1. Pada zaman ini, pensyariatan hukum terbahagi
kepada dua zaman. Di mekah dan madinah. Kebanyakan syariat yang diturunkan di
Mekah menyentuh tentang akidah dan asas-asas hukum-hakam. Hukum-hakam secara
terperinci kebanyakan belum diturunkan. Manakala, di Madinah syariat diturunkan
lebih dalam bentuk terperinci menerangkan tentang hukum-hakam dan kewajipan
seorang Muslim.
2. Pada zaman ini, sumber pensyariatan adalah
wahyu semata-mata samada dari Al-Quran atau Sunnah. Wujudnya ruang untuk
berijtihad, namun dalam ruang yang sempit, Nabi S.A.W dan para sahabat
berijtihad, namun dalam naungan wahyu. Andai ijtihad berlaku kekurangan, akan
dibetulkan oleh wahyu dari Allah S.W.T.
Contoh : Kisah sebelum Muaz bin Jabal dihantar
ke Yaman.
عن معاذ، أن رسول الله -صلى الله عليه وسلم-
حين بعثه إلى اليمن قال: (كيف تصنع إن عرض لك قضاء؟) قال: أقضي بما في كتاب الله
قال: (فإن لم يكن في كتاب الله؟) قال: فبسنة
رسول الله -صلى الله عليه وسلم
قال: (فإن لم يكن في سنة رسول الله؟) قال: أجتهد
وإني لا آلو
قال: فضرب رسول الله صدري ثم قال: (الحمد لله
الذي وفق رسولَ رسولِ الله لما يرضي رسول الله
3. Pada zaman ini juga tiada khilaf yang
berlaku. Sekiranya para sahabat berselisih atau mempunyai masalah,mereka
merujuk kepada terus Nabi S.A.W dan akan dirungkaikan samada melalui Al-Quran
atau Sunnah.
4. Selain itu,hanya Al-Quran dibenarkan untuk
ditulis tetapi belum dikumpulkan dalam satu mashaf. Nabi S.A.W melarang para
sahabat daripada menulis Sunnah kerana takut berlaku campur aduk antara
Al-Quran dan Sunnah.
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ أَنَّ رَسُولَ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : ( لا تَكْتُبُوا عَنِّي وَمَنْ
كَتَبَ عَنِّي غَيْرَ الْقُرْآنِ فَلْيَمْحُهُ وَحَدِّثُوا عَنِّي وَلا حَرَجَ
... )
ZAMAN SAHABAT (KHULAFA’ RASYIDIN)
1. Selepas kewafatan Nabi S.A.W.,wahyu terhenti
dan pintu ijtihad terbuka luas. Para sahabat berijtihad berdasarkan Al-Quran
dan Sunnah yang diwariskan oleh Nabi S.A.W.
2. Setiap sahabat mempunyai manhaj tersendiri
dalam berijtihad. Sebahagian sahabat tergolong dari kalangan yang banyak
berfatwa atau berijtihad seperti Saidina
Umar Al-Khattab. Sebahagian yang lain sederhana dalam berfatwa seperti Saidina
Abu Bakar. Ibnu Umar antara sebahagian sahabat yang sedikit mengeluarkan fatwa.
3. Apabila pintu ijtihad terbuka luas, sudah
tentu di sana berlaku khilaf kerana manusia mempunyai pemikiran yang pelbagai.
Antara sebab berlakunya khilaf dalam setiap
ijtihad sahabat :
i. Berbeza dalam memahami nas.
Terdapat di sana perbezaan dalam memahami nas di kalangan sahabat. Sebahagian
daripada mereka melihat secara zohir nas,sebahagian yang lain melihat secara
tersirat. Begitulah seterusnya perbezaan yang berlaku antara sudut pandang sahabat
terhadap nas yang sedia ada.
ii. Berbeza dalam mengetahui hadis.
Sebahagian sahabat yang rapat dan sentiasa bersama Nabi S.A.W mempunyai hafalan
dan pengetahuan tentang hadis lebih daripada mereka yang kurang bersama Nabi
S.A.W.
4. Sumber ijtihad para merangkumi
Al-Quran,Sunnah, Ijma’ dan Qias.
5. Ijtihad pada zaman ini lebih kepada ijtihad
jamaie’. Khalifah pertama, Saidina Abu Bakar tatkala muncul persoalan atau
masalah baru. Beliau merujuk kepada Al-Quran, kemudian Sunnah. Jika tiada dalam
keduanya, beliau mengumpulkan para sahabat dan bertanya jika di sana terdapat
hukum atau hadis berkaitan dengan masalah tersebut. Kaedah ini juga digunakan
oleh Saidina Umar Al-Khattab tatkala menjadi khalifah.
6. Contoh : Ijtihad Saidina Umar tidak
membahagikan tanah hitam Iraq sebagai harta ghanimah. Beliau berijtihad
mengatakan tiada ghanimah dan tanah itu tidak dibahagikan kepada para tentera.
Berlaku perbincangan bersama para sahabat selama 2 hari 3 malam membincangkan
perkara ini.
7. Penulisan sunnah belum dilakukan lagi pada
zaman ini. Hanya berlaku pengumpulan penulisan Al-Quran dalam satu mashaf yang
dilakukan oleh Saidina Abu Bakar dan dikumpulkan sekali lagi oleh Saidina
Usman.
ZAMAN SELEPAS KHULAFA’ RASYIDIN SEHINGGA
KEJATUHAN DAULAH UMAWIYYAH (41H-100H)
1. Pada zaman ini, ruang fiqh semakin luas dan muncul
semakin banyak persoalan serta masalah baru dan berlaku semakin banyak khilaf.
Antara sebabnya :
i. Fuqaha’ dari kalangan sahabat dan
tabien tersebar ke segenap pelusuk dunia. Pada zaman khalifah Usman, empayar
Islam semakin luas dan semakin ramai manusia memeluk Islam dan memerlukan
kepada tenaga pengajar untuk memimpin mereka. Maka,para sahabat yang berada di
Madinah keluar ke segenap pelusuk dunia dalam usaha menyebarkan Islam. Setiap
sahabat menyebarkan kefahaman mereka tentang Islam di setiap negara yang mereka
berada. Setiap sahabat mempunyai kefahaman yang berbeza terhadap sesuatu hukum.
ii. Ijtihad jamaie’ bertukar kepada
ijtihad fardi kerana jarak yang memisahkan
fuqaha’. Oleh sebab, para sahabat berada di tempat yang pelbagai, ijtihad
secara jamaie’ tidak dapat dilakukan lagi. Dan ijtihad bertukar menjadi ijtihad
fardi.
2. Dalam masa yang sama, periwayatan hadis
semakin tersebar luas dan memberi beberapa kesan :
i. Semakin banyak hukum hakam
berkaitan sunnah dapat diistibatkan. Oleh sebab,para sahabat berada di setiap
negara yang berbeza,mereka memerlukan kepada sumber Sunnah untuk mengeluarkan
sesuatu hukum. Oleh itu,berkembangnya periwayatan hadis dikalangan mereka
membantu usaha dalam mengeluarkan hukum.
ii. Tersebarnya hadis palsu secara
berleluasa. Oleh sebab,muncul beberapa kelompok yang taksub samada atas nama
politik atau mazhab,maka muncul banyak hadis palsu untuk menguatkan kelompok
mereka. Para Ulama terpaksa berhati-hati dalam penerimaan hadis.
3. Kemunculan madrasah ahli hadis di madinah
dan madrasah ahli ra’yi di Iraq. Madrasah bermaksud cara fikir atau kaedah
berfikir. Antaranya :
i. Madrasah ahli hadis :
Madrasah ini muncul di Madinah dan dipelopori oleh Ibnu Umar. Antara manhaj
ahli hadis ialah apabila muncul satu masalah baru,mereka merujuk kepada
Al-Quran dan Sunnah. Jika tiada di dalam keduanya,mereka berhenti sehinggalah
datang dalil dalam menyelesaikan masalah tersebut. Suasana di Madinah sesuai
dengan kaedah dan manhaj ini.
ii. Madrasah ahli Ra’yi :
Madrasah ini muncul di Iraq dan dipelopori oleh Ibnu Mas’ud. Antara manhaj ahli
ra’yi ialah apabila muncul masalah baru,mereka merujuk kepada Al-Quran dan
Sunnah. Jika tiada di dalam keduanya,mereka berijtihad menggunakan pendapat
sendiri dengan menggunakan kaedah-kaedah yang disusun seperti maslahat dan
sebagainya. Suasana dan bi’ah di Iraq yang penuh dengan fitnah sesuai dengan
manhaj ini kerana mereka memerlukan satu hukum dikeluarkan dalam keadaan segera
bagi mengelakkan fitnah yang mendatang.
4. Khalifah Umar Abdul Aziz mengarahkan supaya
dilakukan penulisan terhadap sunnah, namun beliau wafat sebelum sempurna gerak
kerja penulisan Sunnah. Ia merupakan satu perubahan iaitu penulisan sunnah
diasaskan dalam memudahkan mendalami Sunnah.
ZAMAN KEEMASAN FIQH ( 101H-350H)
Fiqh berkembang dengan begitu pesat. Pertambahan negara-negara islam sekali
gus merancakkan lagi perkembangan dan kepesatan ilmu fiqh pada ketika ini dan secara
tidak langsung lahirnya ulama’ yang
faqih tentang ilmu fiqh ‘mujtahidin’ dan telah mengasaskan mazhab masing-masing
yang kebanyakannya masih kekal hingga ke hari ini. Pada zaman ini juga
penulisan tentang kaedah dan ilmu fiqh ditulis. Oleh sebab itu, zaman ini juga
di kenali sebagai ‘zaman penulisan
fiqh’. Antara nama lain bagi zaman ini ialah, zaman perkembangan fiq dan zaman
mujtahidin.
Antara
sebab bekembangnya fiqh pada zaman ini :
1. Perhatian dan kecenderungan
khalifah Abbasiyyin ‘Harun Arrasyid’ terhadap fiqh dan fuqaha’ yang mana pada
ketika itu beliau meminta kepada Abu yusof alhanafi untuk meletakkan
undang-undang islam dalam sistem kewangan negara. Abu yusof telah memenuhi
permintaan khalifah tersebut pada ketika itu dan meletakan kitab beliau sendiri
iaitu ((الخراج
2. Negara Islam
semakin luas dan berkembang hingga ke negara Cina dan Sepanyol yang
masing-masing membawa adat dan taqlid tersendiri. Maka telah menjadi keperluan
pada masa itu untuk menjaga ketulenan dan kesucian agama agar tidak tercemar
akibat bercampur dengan adat dan taqlid yang pelbagai. Disebabkan adanya sikap muslimin pada waktu
itu yang sangat-sangat menjaga hukum hakam syariat dalam setiap tingkah laku
meraka, maka, fuqaha’ pada masa itu menjadi tempat rujukan dalam sesuatu
perkara.
3. Bermula penulisan atau tadwin
sunnah yang membezakan antara sunnah soheh atau doif. Dengan adanya penulisan
ini, ia telah memudahkan para fuqaha’
dalam melaksanakan tugas mereka pada waktu itu. Kerana sunnah adalah masdar
kedua dalam ilmu fiqh. Antara kitab sunnah yang sampai kepada kita pada hari
ini ialah kitab (الموطأ) Imam Malik
yang mana di dalamnya terdapat sunnah nabi dan sunnah sahabat yang bercampur.
Namun begitu pada kurun ke-3 hijrah, kebanyakan kitab sunnah di susun mengikut
bab-bab fiqh. Antaranya adalah sunan sittah.
Kemunculan mazhab fiqh Islam yang
dikenali hingga hari ini adalah bermula pada zaman keemasan fiqh.
ZAMAN TAQLID FIQH (351H-656H)
Pada zaman ini, adalah zaman dimana berlakunya
kebekuan fiqh. Para fuqaha’ lebih cenderung kepada iltizam dan berpegang pada
mazhab tertentu sehingga ada dikalangan ulama
berfatwa bahawa pintu ijtihad sudah ditutup kerana ramai yang bukan ahlinya berijtihad dan merosakkan
manusia dengan fatwa mereka
. Antara
sebab yang lain :
1. Kelemahan penguasaan politik
Khalifah Abbasiyyin yang mana pada ketika itu berlaku perpecahan negara-negara
islam, dan para fuqaha’ tidak merasakan perpecahan itu sebagai satu sokongan
atau galakan dalam perkembangan fiqh.
2. Penulisan dalam Mazhab Islamiyah
sudah sempurna di susun yang merangkumi segala aspek permasalahan.
3. Para fuqaha’ merasa kurang yakin
terhadap kemampuan diri untuk berijtihad. Meraka merasakan taqyid pada mazhab
adalah lebih baik dari berijtihad kerana bagi meraka zaman ijtihad telah tamat.
Mahupun
zaman ini pintu ijtihad di tutup, namun antara khidmat dan sumbangan fuqaha’
pada zaman ini adalah :
1. Ta’lil hukum (mencari sebab
hukum) yang dikeluarkan oleh imam mazhab mereka, kerana bukan semua hukum yang
ditinggalkan oleh imam mereka disertakan dengan ta’lil.
2. Meringkaskan kaedah istinbat
hukum dalam usaha mengenali manhaj imam mazhab dalam mengeluarkan hukum. Pada
waktu inilah terhasilnya kaedah usul fiq yang pertama dalam kitab (الرسالة) Imam Syafie.
3. Tarjih antara qaul dan pendapat
imam-imam mazhab.
4.
Menyusun dan mengemaskini fiqh mazhab.
ZAMAN BERMULA KEJATUHAN BAGHDAD SEHINGGA
SEKARANG (657H-SEKARANG)
Pada zaman ini fiqh tetap pada tempat asalnya
iaitu taqlid pada mazhab. Ini kerana taqlid pada waktu ini sudah menjadi
perkara kebiasaan dikalangan para fuqaha’.
Namun begitu, ada di kalangan ulama pada zaman ini yang keluar dari
taqlid dan berpegang terus dengan quran dan sunnah yang mana ia di kenali
sebagai ijtihad mutlak.
Antara perkara fiq yang berlaku pada zaman ini
ialah:
1. Munculnya matan,syarah dan
hasyiah dalam setiap penulisan dalam mengembangkan fiqh yang sedia ada.
2. Berlaku penulisan fatwa. Setiap
fatwa yang dikeluarkan,dikumpul dan dijadikan satu kitab fatwa. Contoh,fatwa
ibnu Taimiyah.
3.
Penyusunan undang-undang (taqnin) negara.
Namum pada waktu sekarang ilmu fiqh itu lebih
tertumpu pada pengajian di peringkat pengajian tinggi yang mana ada dalam
kalangan mahasiswa menulis kajian ilmiah ilmu fiqh. Antara mereka ini adalah di
kalangan mahasiswa dalam bidang undang-undang dan syariah.
Wallahua'lam..
DITULIS OLEH :
ADIB BIN MUHAMMAD,
PELAJAR USULUDDIN TAHUN
3,
UNIVERSITY AL-ALBAYT,JORDAN
ATIQULLAH MURSYID BIN
ABDUL HALIM,
PELAJAR USULUDDIN TAHUN
3,
UNIVERSITI AL-ALBAYT,JORDAN
Rujukan :
Tarikh Mazhab Islamiyyah oleh Imam Abu Zuhrah
Madkhal Syariah Islamiyah oleh Doktor Abdul Karim Zaidan
p/s : terlepas untuk ikuti program or talk yang disampaikan oleh syekh2 besar 11 April 2013. Sedih!! Antara yang hadir ialah Sheikh Muhammad Hassan, Doktor Ratib An-Nablusi,Sheikh Muhammad Arifi/Uraifi
0 comments:
Post a Comment