Saya meletakkan prinsip dalam berblog iaitu mengelakkan copy and paste. Diniatkan dengan ikhlas nak tulis blog with my own word. Tetapi kali ini terpaksa keluar dari hukum asal. Saya teringin berkongsi sesuatu yang dirasakan amat penting. Berkaitan Pilihanraya Umum ke-13. Isunya : Hukum mengundi calon bukan Islam.
Dari segi ilmu,saya belum mampu mengupas tajuk berkaitan siasah secara mendalam. Bagi mengelakkan saya mengatakan sesuatu yang bukan pada ahlinya,saya cuba berkongsi satu susun kata yang ditulis oleh seorang Ayahnda yang dihormati iaitu Ustaz Anhar Bin Opir (calon PhD Universiti Urduniyah )
Jom bersama kita teliti perkara ini..
CALON MUSLIM vs NON MUSLIM
1. Bahang Pilihanraya Umum (PRU) ke 13 Malaysia yang
bakal diadakan pada bila-bila masa sahaja menjadi lebih hangat dengan isu calon
muslim apabila bertembung dengan calon non muslim di satu-satu kawasan. Sama
ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Dewan Rakyat (Parlimen),
terdapat pandangan daripada satu kumpulan yang mengharamkan undi kepada non
muslim. Adakah tepat istinbat (kaedah keluar) hukum
ini?
2. Kumpulan ini juga menegaskan bahawa hukum ini
terpakai walaupun pertembungan berlaku di antara calon muslim yang jahat dengan
calon non muslim yang baik. Kayu ukur mereka adalah agama, walaupun seseorang
itu jahat dan zalim tetapi jika beragama Islam maka kita wajib undi dan sokong
kerana lebih ‘afdhal’ berbanding non muslim yang baik tadi.
Selain itu mereka menganggap dengan mengundi non muslim sehingga menyebabkan
menang, ini membawa kepada wilayah (kekuasaan) non muslim ke
atas orang-orang Islam.
3.
Mereka menyandarkan hukum ini kepada beberapa dalil ayat al-Qur’an, antaranya
firman Allah SWT dalam surah al-Nisaa’ ayat 141:
وَلَنْ يَجْعَلَ اللَّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلًا
Maksudnya: Dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada
orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman.
4.
Seringkali juga mereka bersandarkan firman Alah Azza wa Jalla dalam surah Ali
Imran ayat 28:
لَا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ
دُونِ الْمُؤْمِنِينَ ۖ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَلَيْسَ
مِنَ اللَّهِ فِي شَيْءٍ
إِلَّا أَنْ تَتَّقُوا مِنْهُمْ تُقَاةً ۗ
Maksudnya: Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang
kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan
sesiapa yang melakukan yang demikian maka tiadalah dia (mendapat perlindungan)
dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada
sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu).
5. Juga firman Allah SWT yang mempunyai sighah yang
sama dalam surah al-Nisaa’ ayat 144:
يَا أَيُّهَا
الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ
دُونِ الْمُؤْمِنِينَ ۚ
Maksudnya: Wahai
orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi
teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman.
TELITI DALAM
ISTINBAT
6. Ayat-ayat ini secara zahirnya melarang kita daripada mengambil non
muslim sebagai kawan, penolong, dan termasuk juga calon untuk diundi hingga
menjadi ketua yang mempunyai kuasa. Namun istinbat hukum haram
mengundi calon non muslim menerusi ayat ini memerlukan ketelitian dan
penguasaan ilmu Usul al-Feqh. Ini kerana tidak semua teks ayat al-Qur’an boleh
kita bergantung kepada zahirnya sahaja, bahkan terdapat ayat-ayat al-Qur’an
pada dalalah (pendalilan) hukumnya adalah mu’allalah (bersebab).
Selain adakah ia bersifat mutlak kepada semua non muslim atau muqaiyyad (terikat)
untuk sebahagian daripada mereka sahaja? Seterusnya adakah kita telah kumpulkan
semua ayat al-Qur’an yang berkaitan dengan non muslim sehingga kita boleh buat
kesimpulan dan istinbat hukum haram?
7.
Mungkin kumpulan tadi terlupa atau tidak bertemu dengan firman Allah SWT dalam
surah al-Mumtahanah ayat 8-9:
لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ
الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ
ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ . إِنَّمَايَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ
الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَىٰ إِخْرَاجِكُمْ أَنْ تَوَلَّوْهُمْ ۚ
وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ.
Maksudnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku
adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan
tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi
orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu daripada
menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan
mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk
mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka
mereka itulah orang-orang yang zalim.
8. Menerusi ayat ini, Allah Azza wa Jalla telah membahagikan non muslim
kepada dua kumpulan; pertama adalah yang baik kepada orang-orang Islam, tidak
memerangi dan mengusir muslimin dari kediaman mereka. Manakala kumpulan kedua
adalah yang memusuhi, ,memerangi dan mengeluarkan orang-orang Islam dari
rumah-rumah mereka. Kumpulan ini seperti Musyrikin Mekah yang telah menyakiti
dan menghalau nabi SAW dan umat Islam. Inilah kumpulan yang kita tidak boleh
berkawan dan mengundi mereka. Adapun kumpulan yang pertama, kita tidak dilarang
untuk berkawan dan mengundi mereka berdasarkan dalalatu al-nas yang
tidak perlukan sebarang ta’wil. Maka ayat ini telah mengikat (qayd)
mutlaknya ayat-ayat yang digunakan oleh kumpulan yang mengharamkan undi kepada
non muslim.
9. Di samping itu,
ayat yang melarang kita mengambil non muslim sebagai kawan rapat serta
penolong, illah (sebab) nya bukan semata-mata kufurnya mereka
kepada Islam. Firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahanah ayat 1:
يَا أَيُّهَا
الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمْ أَوْلِيَاءَ تُلْقُونَ إِلَيْهِمْ بِالْمَوَدَّةِ وَقَدْ كَفَرُوا بِمَا جَاءَكُمْ مِنَ الْحَقِّ يُخْرِجُونَ الرَّسُولَ وَإِيَّاكُمْ
ۙ أَنْ تُؤْمِنُوا بِاللَّهِ رَبِّكُمْ
Maksudnya: Wahai
orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu
menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka dengan sebab
hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang
mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu;
mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (SAW) dan juga mengeluarkan kamu
disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu.
10. Ayat ini telah menafsirkan ayat-ayat yang awal di atas, bahawa
larangan Allah Azza wa Jalla menjadikan non muslim sebagai kawan rapat dan
penolong bukan hanya kerana tidak berimannya mereka, tetapi juga bergabung
dengan illah (sebab) lain iaitu menghalau dan mengusir nabi
SAW dan umat Islam daripada kediaman mereka tanpa hak. Oleh itu, jika seorang
non muslim hanya sekadar tidak beriman tanpa illah (sebab)
kedua iaitu menghalau, maka tiada larangan.
11. Ini lebih jelas
lagi dengan firman Allah SWT dalam surah al-Mujadalah ayat 22:
لَا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ
Maksudnya: Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada
Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang
menentang (perintah) Allah dan rasulNya,
12. Daripada ayat ini menunjukkan bahawa larangan berkawan dan menyokong
non muslim adalah bagi yang menentang Islam. Maka mafhumnya adalah sebaliknya
iaitu tiada larangan bagi non muslim yang tidak menentang Islam. Persoalannya
ialah bagaimana pula dengan calon muslim yang terang-terang menentang,
mempersenda dan menolak Islam menerusi ucapan dan tulisan meraka?
13. Mengetahui perbahasan ayat-ayat di atas menjadikan kita faham dan
memperhalusi maksud muwalat (penguasaan) non muslim yang
sebenarnya dilarang oleh Islam. Dengan kefahaman tersebut kita terhindar
daripada kesilapan memetik dan istinbat hukum hanya kerana baru berjumpa dengan
satu ayat al-Qur’an yang belum tentu dalalah (pendalilan) nya qat’ie (putus
dan pasti). Ia keliru dan mengelirukan!
14. Calon yang
menang dalam pilihanraya nanti bakal menjadi seorang wakil rakyat bukannya
khalifah, Imam atau ketua negara. Itu pun bukannya wakil kepada kesemua rakyat
tetapi hanya mewakili satu juzu’ daripada jumlah rakyat di seluruh negara
(kerusi Parlimen) atau negeri (kerusi DUN). Al-Qaradhawi menjelaskan:
Sesungguhnya
al-niyabah (perwakilan) ini merupakan wakil kepada sebahagian orang ramai dalam
kawasan tertentu, ia tidak dianggap dalam bab al-imarah (kepimpinan) dan
al-wilayah (kekuasaan) yang hadith melarang bersungguh-sungguh atau memintanya.
Seorang wakil (rakyat) bukannya ketua, menteri atau gabenor, tetapi dia
mewakili kawasannya dalam dewan yang berfungsi untuk menegur kepimpinan,
penguasa dan para menteri. Oleh itu, dia menegur bukannya yang ditegur.
(al-Qaradhawi: Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam, Dar al-Syuruq, hlmn 194)
KUASA TERHAD
15. Kuasa seorang wakil rakyat di Malaysia terhad dan terbatas, dikawal
dan terikat dengan undang-undang serta perlembagaan negara. Apatah lagi ingin
menyentuh sebarang urusan yang berkaitan dengan agama Islam, perlu melepasi dan
mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung dan Majlis
Raja-raja. Tambahan pula jumlah non muslim tidak majoriti dalam DUN atau
Parlimen. Dan pasti wakil-wakil rakyat muslim akan bersuara dan berperanan
mempertahankan. Melainkan jika mereka hanya datang untuk tunjuk muka kepada
‘bos’ serta klim tambang hadir persidangan semata-mata!
16. Tidak mempunyai
kuasa penuh dan terhad ini yang menyebabkan al-Mawardi (450H) membenarkan ahli
al-Zimmah boleh dilantik menjadi menteri yang hanya bersifat membantu
melaksanakan dan melicinkan kerja seorang ketua negara. Kata al-Mawardi:
Harus seorang menteri (tanfiz) itu daripada ahli a-Zimmah meskipun dia
tidak boleh memegang jawatan menteri tafwidh (mendapat kuasa). Perbezaan di
antara kedua-dua kementerian ini berdasarkan perbezaan dua kuasa, yang demikian
itu dari empat aspek; salah satunya ialah menteri tafwidh berkuasa untuk
menentukan hukum dan menghapuskan kezaliman, sedang ini tiada pada menteri
tanfiz. (al-Mawardi: al-Ahkam al-Sultaniyah, Dar al-Kutub al-Ilmiah, hlmn 28)
17. Menurut
al-Mawardi, menteri tanfiz (pelaksana) bidang kuasanya
tertakluk kepada arahan imam (ketua negara). Ini berbeza dengan menteri tafwidh yang
mendapat kuasa penuh untuk melakukan sebarang tindakan berdasarkan kehendak dan
pendapatnya. Abu Ya’la al-Farra’ (458H) juga menyokong pendapat ini, iaitu
dalam hal tiada kuasa penuh bahkan terbatas dan terhad, katanya:
Dan al-Kharqi menyebut sesuatu yang menunjukkan bahawa harus seorang
menteri tanfiz itu dalam kalangan ahli al-Zimmah, kerana dia membenarkan
pemberian satu juzu’ daripada zakat kepada mereka jika mereka menjadi amil,
lalu diberikan kepada mereka hak ke atas kerja mereka. Ini menunjukkan hukum
harus perlantikan mereka. (Abu Ya’la: al-Ahkam
al-Sultaniyah)
18.
Hal ini tidak bercanggah dengan pendapat Imam al-Haramain al-Juwaini (478H)
yang tidak membenarkan ahli al-Zimmah memegang jawatan menteri. Kerana yang
dimaksudkan oleh al-Juwaini adalah menteri yang mempunyai kuasa penuh dan bebas
dalam bertindak, serta berkaitan dengan syarat periwayatan dan persaksian,
kerana wakil rakyat di Malaysia tidak begitu sifatnya. Al-Juwaini
menyatakan:
Sesungguhnya kepercayaan perlu untuk dijaga,
seorang zimmi itu tidak boleh dipercayai dalam perbuatan dan kata-katanya,
begitu juga gerak-gerinya. Periwayatannya ditolak, demikian juga dengan
persaksiannya ke atas orang-orang Islam, jadi bagaimanakah diterima
kata-katanya pada perkara yang bakal menjadi sandaran dan rujukan imam (ketua
negara) orang-orang Islam. (al-Juwaini: Ghiyath al-Umam fi al-Tiath
al-Dzulam, Dar al-Dakwah, hlmn 114)
19. Ini dalam hal melantik menteri, adapun wakil
rakyat ia lebih rendah darjatnya dan tidak sepenting jawatan menteri. Keadaan
dan sistem yang berbeza juga menyebabkan kita perlu menilai dan meneliti setiap
perbezaan ungkapan para ulama’. Yang salah bukan pandangan mereka, tetapi kita
yang sering silap menggunakan secara pukul rata untuk semua perkara sedangkan
konteksnya berbeza. Sistem pentadbiran negara Malaysia yang
berasaskan demokrasi berperlembagaan tidak sama dengan sistem khalifah pada
kurun-kurun awal Islam. Walaupun berkongsi istilah seumpama menteri dan kementerian,
namun ia belum tentu sama pada perlaksanaannya.
20. Selepas tiada teks dalil yang qat’ie (putus
dan pasti) melarang daripada mengundi calon non muslim dalam PRU, maka masolih
mursalah menjadi sandaran kepada keharusan hukum mengundi mereka. Ini
kerana kita tidak boleh menafikan kewujudan mereka di Malaysia yang
mewakili hampir 40 peratus daripada jumlah keseluruhan rakyatMalaysia. Mereka
akan mewakili suara non muslim di dalam sidang DUN atau Parlimen. Maka maslahat
dan kepentingan wujud di sini untuk didengar pandangan serta tuntutan mereka
guna memelihara hak mereka yang dijamin oleh Islam sebagai kumpulan minoriti.
21.
Jangan kerana ingin menang mudah dalam PRU dan menafikan hak orang lain, dengan
senang kita meletakkan hukum haram mengundi calon non muslim. Tindakan ini
bakal mematikan keanjalan dan kesyumulan syari’at Islam sebagaimana para
sahabat yang telah menyebabkan kematian sahabat mereka sehingga ditegur oleh
nabi SAW kerana kesilapan memberi fatwa. Diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA
katanya:
أَصَابَ رَجُلًا جُرْحٌ في عَهْدِ رسول اللَّهِ صلى الله عليه
وسلم ثُمَّ احْتَلَمَ فَأُمِرَ بِالِاغْتِسَالِ فَاغْتَسَلَ فَمَاتَ
فَبَلَغَ ذلك رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فقال قَتَلُوهُ
قَتَلَهُمْ الله أَلَمْ يَكُنْ شِفَاءُ الْعِيِّ السُّؤَالَ
Maksudnya: Seorang lelaki cedera pada zaman nabi
SAW, kemudian bermimpi, disuruh kepadanya mandi, lalu dia pun mandi dan
meninggal dunia. Kisah itu sampai ke pengetahuan nabi SAW lalu nabi bersabda:
mereka telah membunuhnya, Allah akan membunuh mereka. Bukankah ubat bagi orang
yang tidak tahu adalah bertanya. (Riwayat Abu Daud)
22. Kesimpulannya, tiada dalil qat’ie yang melarang
untuk mengundi calon non muslim dalam PRU di Malaysia. Ia termasuk dalam siasah
syar’iyah bagi pemerintah untuk membenarkan pencalonan mereka atas dasar
maslahat kumpulan minoriti. Wallahu a’lam.
Anhar Opir
29 Rabi’ al-Akhir 1434H
Sweileh, Amman
Sweileh, Amman
copy and paste from http://hjanhar.blogspot.com/2013/03/calon-muslim-vs-non-muslim.html
The best online casino for real money and bitcoin
ReplyDeleteThis casino brings a whole range งานออนไลน์ of gaming options to its players. These kadangpintar games include poker, slots, roulette, blackjack, baccarat worrione and much more.