Assalamualaikum wbt..
Salam bahagia dan salam ceria..
Alhamdulillah,diberi kesempatan masa
untuk menulis dan mencoret di laman maya yang tidak bertinta. Beberapa hari
yang lalu,aku sempat mengikuti Persidangan Tahunan Mahasiswa Malaysia Sejordan
(PERTAMA) yang membincangkan tentang Siyasah Syari’yyah. Satu perbincangan yang
amat menarik. Pembentangan oleh Prof Madya Dato’ Dr. Asri Zainul Abidin
(MAZA),Dr. Maszlee Malik, Us Rozaimi,Us Anhar Opir dan Prof Madya Dr Azidan
(Pengarah EMJ) selama dua hari dua malam memberi idea-idea yang bernas serta
matang buat peserta.
Memang tidak dapat dinafikan. Pembentangan
7 kertas kerja selama dua hari tidak mampu menjadikan aku sebagai seorang yang
pakar dalam bidang siyasah ini. Seperti mana yang disebutkan oleh Dr Ziyad
Dighamin (Pensyarah Univ Albayt) tatkala memulakan kelas pertama kali. Katanya
,”Kamu semua jangan fikir hanya dengan selesai 3 madah tafsir dan beberapa
bacaan kitab muqarrar dapat menjadikan kalian mufassirin. Ini hanyalah pintu
serta kunci untuk kalian mendalaminya”. Oleh itu,aku menganggap perbincangan
serta pembentangan selama dua hari itu hanya pintu masuk ke dalam satu ilmu
yang dinamakan SIYASAH SYAR’IYYAH.
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEilORaw_UcDlRrhSJlB3sfhBB5nF2cbEQp-5uSROp88Ihg_juTkfVz9JRXTTB_cRqwcR9cO_6OGZFPzhk9Jw1Kts6yKLHxpRdOQ9B1PrSEB8xCyTaGJMqgKeFcDFDiWEUd8-tgAhV-XDuwC/s200/563370_124648967712574_2131502565_n.jpg) |
Panelis PERTAMA ketujuh |
Siyasah Syar’iyyah
Apa itu siyasah syar’iyyah? Bagaimanakah
cara berinteraksi dengannya? Adakah di sana satu kaedah atau formula yang disusun
untuk membentuk bidang ilmu ini?
Siyasah menurut Ibnu Aqil :
“Politik ialah
sesuatu tindakan yang menjadikan manusia paling hampir kepada kebaikan dan
menjadikan mereka paling jauh kepada kerosakan walaupun ia tidak dilakukan oleh
Rasulullah S.A.W dan tidak diturunkan oleh wahyu”.
Ini adalah salah satu takrifan dari
takrifan yang pelbagai oleh para ulama’. Banyak lagi takrifan yang lain,Cuma aku
begitu tertarik dan mudah difahami dengan takrifan ini. Dengan makna yang
lain,siasah (politik) adalah satu perkara yang dilakukan oleh manusia yang membawa
MASLAHAT meskipun perkara itu tiada wahyu tentangnya.
Secara asasnya,ilmu ini sudah wujud
1400 tahun yang lalu. Namun penamaan atau pemberian nama yang khusus baginya
hanya hadir pada era ini. Siyasah sudah lama dipraktikkan oleh Nabi S.A.W dan
para sahabat,manakala teori dalam bentuk formula serta kaedah yang disusun
dalam satu ilmu hanya hadir selepas itu.
Sebelum masuk dan mendalami bidang
ini. Satu perkara harus difahami. Syariat Islam datang datang dalam pelbagai
bentuk dan dibahagikan kepada 3 perkara utama :
(1) Aqidah
(2)
Ibadat
(muamalah dengan Allah)
(3)
Muamalat
Setiap perkara yang berkaitan dengan
aqidah dan ibadat adalah bersifat tawaqquf iaitu tidak dibenarkan kecuali ada
dalil tentang keharusannya. Manakala muamalat adalah satu keluasan yang
diberikan oleh Allah iaitu ianya dibenarkan kecuali ada dalil yang
mengharamkannya. Dan siyasah ini adalah satu elemen di dalam muamalah ini.
Bagaimana untuk
memahami dalil siyasah?
Al-Quran datang kepada insan sebagai
petunjuk ke arah kebenaran. Insan juga dibekalkan akal untuk memberi penilaian
terhadap sesuatu. Dalam memahami keadilan Tuhan,maka dua asas ini adalah satu
alat timbang dalam merasionalkan pemahaman insan.
Tidak dinafikan bahawa di sana
terdapat dalil-dalil dari Al-Quran dan sunnah yang memberi pelajaran umum buat
manusia tentang erti siyasah (politik). Namun,disana juga terdapat beberapa
perkara yang tidak ada padanya nas atau dalil dari Al-Quran dan sunnah padanya.
Oleh itu,kebanyakan para ulama’ melihat dan memberikan kaedah umum tentang
politik ini.
Politik Islam adalah berasaskan
mendatangkan MASLAHAT atau menolak MUDHARAT untuk ummat. Al-Izz bin Abd Salam
di dalam kitabnya,Qawaid Al-ahkam mengatakan :
“Sesungguhnya
kami mengetahui daripada (memerhati) sumber-sumber syara’ bahawa yang dituntut
oleh Syara’ ialah (mendatangkan) kemaslahatan hamba dalam urusan agama mahupun
dunia”.
Oleh itu,dapat difahami bahawa Islam
membawa asas kemaslahatan untuk ummat. Dan setiap perkara yang bertentangan
dengan maslahat atau yang membawa mudharat untuk manusia adalah bukan dari
Islam.
Antara literal
dan maqosid
Seperti dinyatakan sebelum ini
bahawa siyasah adalah salah satu elemen dari Muamalah. Dan disana ada perkara
yang datang dalil padanya,ada juga yang tiada dalil padanya.
Namun,terdapat dalil yang secara
zohir membawa ke arah mudharat terhadap insan dan menunjukkan kesempitan di
dalam Islam. Seperti hukum mentaati pemerintah walaupun dipukul
belakang,dirampas harta dan sebagainya. Tatkala melihat hadis secara zohir,seolah-olah
Islam menyokong kezaliman pemerintah terhadap rakyat. Sedangkan kezaliman itu
adalah satu unsur yang ditentang oleh Islam kerana Islam meletakkan keadilan
sebagai asasnya.
Oleh itu,terdapat beberapa syarat
dalam memahami dalil tentang politik :
(1)
Haruslah
hadis itu bersifat Sohih
(2)
Memahami
dalil politik berdasarkan maqasid syariah
(3)
Membezakan
dalil politik yang boleh difikirkan illahnya dengan dalil yang tidak boleh
difikirkan illahnya
(4)
Membezakan
objektif dan wasilah
(5)
Memahami
sistem semasa
(6)
Melihat
kesan dan akibat terhadap setiap tindakan
Mungkin agak panjang untuk
menerangkan setiap satu syarat-syarat ini. Dan ini bukanlah semata-mata syarat
yang diletakkan dan disana terdapat pelbagai syarat yang harus diteliti. Cuma terdapat
dua perkara yang ingin ditekankan iaitu memahami politik berdasarkan maqasid
dan melihat kesan terhadap sesuatu tindakan.
Setiap dalil berkaitan politik harus
diteliti dari sudut maqasidnya (objektif/tujuan). Kadang-kadang sesuatu dalil
secara zohir menunjukkan seolah-olah Islam menyokong kezaliman. Oleh itu,dalil
itu harus diteliti dari sudut maqasidnya kerana mustahil Islam akan menyokong
kezaliman. Mungkin disana terdapat perkara yang tersembunyi maksudnya dan
tertutup tujuannya. Justeru,setiap pemahaman yang bercanggah dengan Maqasid
syariah adalah batil.
Ma’lat (kesan)
terhadap sesuatu perkara
Setiap perkara atau tindakan yang
ingin dilakukan tidak semata-mata terikat dengan dalil. Ianya harus dilihat
dari sudut kesan dan akibat. Jika dilihat sirah Nabi S.A.W akan didapati banyak
perkara dan tindakan baginda adalah berdasarkan pemerhatian kesan mendatang
seperti tidak membunuh orang munafik,tidak membina kaabh seperti zaman Nabi
Ibrahim A.S. Al-syatibi menyatakan di dalam kitabnya Muwafaqat :
“Melihat kepada
kesan sesuatu perbuatan adalah muktabar dan dituntut pada syara’”.
PERTAMA yang
Ketujuh
Biarpun hanya dua hari
bersidang,banyak input dan cetusan idea aku perolehi. Coretan ini mungkinlah
secebis yang masih mampu diingati. Perbincangan tentang suasana politik
Malaysia,system politik masakini,hudud : aplikasi dan kesannya dan pelbagai
perkara lagi tak mampu ku coret dalam masa yang terhad ini. Mungkin pemahaman
ringkas terhadap maksud siyasah (politik),cara berinteraksi dengan dalil-dalil
politik dan cara aplikasi siyasah adalah kunci dalam mendalami dan menerokai
bidang ini.
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjYKWbILvjIxmFk99ORKjWdg50_A7PyZa3tT0y6tK7loVcem1YgPJRhTB-0BCMN312vB-g9MjP22Bv9B-cJEgjtzkft8Rovfc5zyvuz32OzEnECB6eDTLB93t96E3lIhwoUGkhjgTDzTSLw/s1600/480565_499926083379113_325707819_n.jpg) |
Logo PERTAMA kali ini |
Kesimpulan
Politik adalah juzuk dan sebahagian
dari Islam dan ianya tidak dapat dinafikan. Islam telah menyediakan kaedah dan
formula dalam mengurus tadbir manusia. Setiap perkara yang membawa maslahat dan
menolak mudharat,maka Islam mengiktirafnya biar dari siapa pun jua. Kehidupan manusia
berkait rapat dengan politik. Samada politik dalam mengurus diri
sendiri,mengurus keluarga,mengurus persatuan dan masyarakat. Pastikan kunci ini
yang kalian dapat di PERTAMA digunakan sebaik mungkin dan tidak disimpan hingga
berkarat.
tazkir_zikran@yahoo.com
11022013
0845