Saturday 13 April 2013


Assalamualaikum wbt..

Pada 6 April 2013 yang lepas,saya bersama beberapa orang sahabat sempat membentangkan beberapa kertas kerja dalam Bengkel Asas Fiqh dan Usul Fiqh buat ahli PRISMA.

Sebagai perkongsian buat semua,di sini saya postkan kertas kerja ringkas yang dibentangkan oleh saya bersama sahabat saya,Adib Mohd. Secara ringkasnya,kami tidak membuat kertas kerja ini dalam bentuk atau format yang tepat (sebab tausiq ilmi xdak) kerana hanya dibuat berdasarkan ringkasan ke atas beberapa buah kitab. Segala respon penambahbaikan amat dialu-alukan.

Gambar ketika Bengkel




SEJARAH PERKEMBANGAN FIQH

MUKADDIMAH

Alhamdulillah,segala puji bagi Allah yang telah mengurniakan nikmat Iman,Islam dan Ilmu kepada kita. Selawat dan salam buat Rasulullah S.A.W  yang telah menyampaikan risalah Ilahi tanpa kenal erti jemu,juga buat para sahabat R.A.

Kertas kerja yang cuba dibentangkan kali ini adalah berkaitan Sejarah Perkembangan Fiqh yang berlaku dalam perkembangan Islam. Antara tujuan kertas kerja ini dihasilkan adalah untuk memudahkan para pembaca memahami bagaimana Fiqh itu berkembang mengikut peredaran zaman sesuai dengan sifat fiqh yang fleksibel mengikut zaman dan keadaan. 

Selain itu,diharapkan dengan sedikit kajian ini mampu memberi rasa rendah diri kita di hadapan karya dan usaha yang telah dilakukan para Ulama dahulu kala dan mengetahui juhud mereka dalam mendalami ilmu.

Moga segala gerak kerja ini dinilai di sisi Allah sebagai amal soleh. Wallahu’alam.


APAKAH ITU SEJARAH PERKEMBANGAN FIQH?

Sejarah adalah peristiwa yang benar-benar berlaku pada waktu yang lampau.

Perkembangan pula adalah hal dan keadaan berkembang atau bergerak maju.

Fiqh pula adalah satu ilmu tentang hukum hakam amalan manusia yang diperoleh dari dalil-dalil yang terperinci.

Oleh itu,dapat disimpulkan di sini bahawa takrif kepada perbincangan kali ini ialah :

“Sejarah tentang peristiwa perkembangan dan pergerakan ilmu fiqh mengikut peredaran zaman”

Sejarah perkembangan fiqh merangkumi beberapa peredaran zaman dan perubahan sentiasa berlaku pada setiap zaman.

Zaman peredaran fiqh adalah seperti berikut :


ZAMAN NABI S.A.W.

1. Pada zaman ini, pensyariatan hukum terbahagi kepada dua zaman. Di mekah dan madinah. Kebanyakan syariat yang diturunkan di Mekah menyentuh tentang akidah dan asas-asas hukum-hakam. Hukum-hakam secara terperinci kebanyakan belum diturunkan. Manakala, di Madinah syariat diturunkan lebih dalam bentuk terperinci menerangkan tentang hukum-hakam dan kewajipan seorang Muslim.

2. Pada zaman ini, sumber pensyariatan adalah wahyu semata-mata samada dari Al-Quran atau Sunnah. Wujudnya ruang untuk berijtihad, namun dalam ruang yang sempit, Nabi S.A.W dan para sahabat berijtihad, namun dalam naungan wahyu. Andai ijtihad berlaku kekurangan, akan dibetulkan oleh wahyu dari Allah S.W.T.

Contoh : Kisah sebelum Muaz bin Jabal dihantar ke Yaman.

عن معاذ، أن رسول الله -صلى الله عليه وسلم- حين بعثه إلى اليمن قال: (كيف تصنع إن عرض لك قضاء؟) قال: أقضي بما في كتاب الله
قال: (فإن لم يكن في كتاب الله؟) قال: فبسنة رسول الله -صلى الله عليه وسلم
قال: (فإن لم يكن في سنة رسول الله؟) قال: أجتهد وإني لا آلو
قال: فضرب رسول الله صدري ثم قال: (الحمد لله الذي وفق رسولَ رسولِ الله لما يرضي رسول الله

3. Pada zaman ini juga tiada khilaf yang berlaku. Sekiranya para sahabat berselisih atau mempunyai masalah,mereka merujuk kepada terus Nabi S.A.W dan akan dirungkaikan samada melalui Al-Quran atau Sunnah.

4. Selain itu,hanya Al-Quran dibenarkan untuk ditulis tetapi belum dikumpulkan dalam satu mashaf. Nabi S.A.W melarang para sahabat daripada menulis Sunnah kerana takut berlaku campur aduk antara Al-Quran dan Sunnah.

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : ( لا تَكْتُبُوا عَنِّي وَمَنْ كَتَبَ عَنِّي غَيْرَ الْقُرْآنِ فَلْيَمْحُهُ وَحَدِّثُوا عَنِّي وَلا حَرَجَ ... )


ZAMAN SAHABAT (KHULAFA’ RASYIDIN)

1. Selepas kewafatan Nabi S.A.W.,wahyu terhenti dan pintu ijtihad terbuka luas. Para sahabat berijtihad berdasarkan Al-Quran dan Sunnah yang diwariskan oleh Nabi S.A.W.

2. Setiap sahabat mempunyai manhaj tersendiri dalam berijtihad. Sebahagian sahabat tergolong dari kalangan yang banyak berfatwa atau berijtihad seperti  Saidina Umar Al-Khattab. Sebahagian yang lain sederhana dalam berfatwa seperti Saidina Abu Bakar. Ibnu Umar antara sebahagian sahabat yang sedikit mengeluarkan fatwa.

3. Apabila pintu ijtihad terbuka luas, sudah tentu di sana berlaku khilaf kerana manusia mempunyai pemikiran yang pelbagai.

Antara sebab berlakunya khilaf dalam setiap ijtihad sahabat :

i. Berbeza dalam memahami nas. Terdapat di sana perbezaan dalam memahami nas di kalangan sahabat. Sebahagian daripada mereka melihat secara zohir nas,sebahagian yang lain melihat secara tersirat. Begitulah seterusnya perbezaan yang berlaku antara sudut pandang sahabat terhadap nas yang sedia ada.

ii. Berbeza dalam mengetahui hadis. Sebahagian sahabat yang rapat dan sentiasa bersama Nabi S.A.W mempunyai hafalan dan pengetahuan tentang hadis lebih daripada mereka yang kurang bersama Nabi S.A.W.

4. Sumber ijtihad para merangkumi Al-Quran,Sunnah, Ijma’ dan Qias.

5. Ijtihad pada zaman ini lebih kepada ijtihad jamaie’. Khalifah pertama, Saidina Abu Bakar tatkala muncul persoalan atau masalah baru. Beliau merujuk kepada Al-Quran, kemudian Sunnah. Jika tiada dalam keduanya, beliau mengumpulkan para sahabat dan bertanya jika di sana terdapat hukum atau hadis berkaitan dengan masalah tersebut. Kaedah ini juga digunakan oleh Saidina Umar Al-Khattab tatkala menjadi khalifah.

6. Contoh : Ijtihad Saidina Umar tidak membahagikan tanah hitam Iraq sebagai harta ghanimah. Beliau berijtihad mengatakan tiada ghanimah dan tanah itu tidak dibahagikan kepada para tentera. Berlaku perbincangan bersama para sahabat selama 2 hari 3 malam membincangkan perkara ini.

7. Penulisan sunnah belum dilakukan lagi pada zaman ini. Hanya berlaku pengumpulan penulisan Al-Quran dalam satu mashaf yang dilakukan oleh Saidina Abu Bakar dan dikumpulkan sekali lagi oleh Saidina Usman.

ZAMAN SELEPAS KHULAFA’ RASYIDIN SEHINGGA KEJATUHAN DAULAH UMAWIYYAH (41H-100H)

1. Pada zaman ini, ruang fiqh semakin luas dan muncul semakin banyak persoalan serta masalah baru dan berlaku semakin banyak khilaf. Antara sebabnya :

i. Fuqaha’ dari kalangan sahabat dan tabien tersebar ke segenap pelusuk dunia. Pada zaman khalifah Usman, empayar Islam semakin luas dan semakin ramai manusia memeluk Islam dan memerlukan kepada tenaga pengajar untuk memimpin mereka. Maka,para sahabat yang berada di Madinah keluar ke segenap pelusuk dunia dalam usaha menyebarkan Islam. Setiap sahabat menyebarkan kefahaman mereka tentang Islam di setiap negara yang mereka berada. Setiap sahabat mempunyai kefahaman yang berbeza terhadap sesuatu hukum.

ii. Ijtihad jamaie’ bertukar kepada ijtihad fardi kerana jarak yang memisahkan  fuqaha’. Oleh sebab, para sahabat berada di tempat yang pelbagai, ijtihad secara jamaie’ tidak dapat dilakukan lagi. Dan ijtihad bertukar menjadi ijtihad fardi.

2. Dalam masa yang sama, periwayatan hadis semakin tersebar luas dan memberi beberapa kesan :

i. Semakin banyak hukum hakam berkaitan sunnah dapat diistibatkan. Oleh sebab,para sahabat berada di setiap negara yang berbeza,mereka memerlukan kepada sumber Sunnah untuk mengeluarkan sesuatu hukum. Oleh itu,berkembangnya periwayatan hadis dikalangan mereka membantu usaha dalam mengeluarkan hukum.

ii. Tersebarnya hadis palsu secara berleluasa. Oleh sebab,muncul beberapa kelompok yang taksub samada atas nama politik atau mazhab,maka muncul banyak hadis palsu untuk menguatkan kelompok mereka. Para Ulama terpaksa berhati-hati dalam penerimaan hadis.

3. Kemunculan madrasah ahli hadis di madinah dan madrasah ahli ra’yi di Iraq. Madrasah bermaksud cara fikir atau kaedah berfikir. Antaranya :

i. Madrasah ahli hadis : Madrasah ini muncul di Madinah dan dipelopori oleh Ibnu Umar. Antara manhaj ahli hadis ialah apabila muncul satu masalah baru,mereka merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah. Jika tiada di dalam keduanya,mereka berhenti sehinggalah datang dalil dalam menyelesaikan masalah tersebut. Suasana di Madinah sesuai dengan kaedah dan manhaj ini.

ii. Madrasah ahli Ra’yi : Madrasah ini muncul di Iraq dan dipelopori oleh Ibnu Mas’ud. Antara manhaj ahli ra’yi ialah apabila muncul masalah baru,mereka merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah. Jika tiada di dalam keduanya,mereka berijtihad menggunakan pendapat sendiri dengan menggunakan kaedah-kaedah yang disusun seperti maslahat dan sebagainya. Suasana dan bi’ah di Iraq yang penuh dengan fitnah sesuai dengan manhaj ini kerana mereka memerlukan satu hukum dikeluarkan dalam keadaan segera bagi mengelakkan fitnah yang mendatang.

4. Khalifah Umar Abdul Aziz mengarahkan supaya dilakukan penulisan terhadap sunnah, namun beliau wafat sebelum sempurna gerak kerja penulisan Sunnah. Ia merupakan satu perubahan iaitu penulisan sunnah diasaskan dalam memudahkan mendalami Sunnah.

ZAMAN KEEMASAN FIQH ( 101H-350H)

Fiqh berkembang dengan begitu  pesat. Pertambahan negara-negara islam sekali gus merancakkan lagi perkembangan dan kepesatan ilmu fiqh pada ketika ini dan secara tidak langsung lahirnya ulama’ yang  faqih tentang ilmu fiqh ‘mujtahidin’  dan telah mengasaskan mazhab masing-masing yang kebanyakannya masih kekal hingga ke hari ini. Pada zaman ini juga penulisan tentang kaedah dan ilmu fiqh ditulis. Oleh sebab itu, zaman ini juga di kenali sebagai  ‘zaman penulisan fiqh’. Antara nama lain bagi zaman ini ialah, zaman perkembangan fiq dan zaman mujtahidin.

 Antara sebab bekembangnya fiqh pada zaman ini :

1. Perhatian dan kecenderungan khalifah Abbasiyyin ‘Harun Arrasyid’ terhadap fiqh dan fuqaha’ yang mana pada ketika itu beliau meminta kepada Abu yusof alhanafi untuk meletakkan undang-undang islam dalam sistem kewangan negara. Abu yusof telah memenuhi permintaan khalifah tersebut pada ketika itu dan meletakan kitab beliau sendiri iaitu ((الخراج

2. Negara Islam semakin luas dan berkembang hingga ke negara Cina dan Sepanyol yang masing-masing membawa adat dan taqlid tersendiri. Maka telah menjadi keperluan pada masa itu untuk menjaga ketulenan dan kesucian agama agar tidak tercemar akibat bercampur dengan adat dan taqlid yang pelbagai.  Disebabkan adanya sikap muslimin pada waktu itu yang sangat-sangat menjaga hukum hakam syariat dalam setiap tingkah laku meraka, maka, fuqaha’ pada masa itu menjadi tempat rujukan dalam sesuatu perkara.

3. Bermula penulisan atau tadwin sunnah yang membezakan antara sunnah soheh atau doif. Dengan adanya penulisan ini, ia telah memudahkan  para fuqaha’ dalam melaksanakan tugas mereka pada waktu itu. Kerana sunnah adalah masdar kedua dalam ilmu fiqh. Antara kitab sunnah yang sampai kepada kita pada hari ini ialah kitab (الموطأ) Imam Malik yang mana di dalamnya terdapat sunnah nabi dan sunnah sahabat yang bercampur. Namun begitu pada kurun ke-3 hijrah, kebanyakan kitab sunnah di susun mengikut bab-bab fiqh. Antaranya adalah sunan sittah.

Kemunculan mazhab fiqh Islam yang dikenali hingga hari ini adalah bermula pada zaman keemasan                     fiqh.

ZAMAN TAQLID FIQH (351H-656H)

Pada zaman ini, adalah zaman dimana berlakunya kebekuan fiqh. Para fuqaha’ lebih cenderung kepada iltizam dan berpegang pada mazhab tertentu  sehingga ada dikalangan ulama berfatwa bahawa pintu ijtihad sudah ditutup kerana ramai yang  bukan ahlinya berijtihad dan merosakkan manusia dengan  fatwa mereka

 . Antara sebab yang lain :

1. Kelemahan penguasaan politik Khalifah Abbasiyyin yang mana pada ketika itu berlaku perpecahan negara-negara islam, dan para fuqaha’ tidak merasakan perpecahan itu sebagai satu sokongan atau galakan dalam perkembangan fiqh.

2. Penulisan dalam Mazhab Islamiyah sudah sempurna di susun yang merangkumi  segala aspek permasalahan.

3. Para fuqaha’ merasa kurang yakin terhadap kemampuan diri untuk berijtihad. Meraka merasakan taqyid pada mazhab adalah lebih baik dari berijtihad kerana bagi meraka zaman ijtihad telah tamat.

           Mahupun zaman ini pintu ijtihad di tutup, namun antara khidmat dan sumbangan fuqaha’ pada zaman ini adalah :

1. Ta’lil hukum (mencari sebab hukum) yang dikeluarkan oleh imam mazhab mereka, kerana bukan semua hukum yang ditinggalkan oleh imam mereka disertakan dengan ta’lil.

2. Meringkaskan kaedah istinbat hukum dalam usaha mengenali manhaj imam mazhab dalam mengeluarkan hukum. Pada waktu inilah terhasilnya kaedah usul fiq yang pertama dalam kitab (الرسالة) Imam Syafie.

3. Tarjih antara qaul dan pendapat imam-imam mazhab.

            4. Menyusun dan mengemaskini  fiqh mazhab.



ZAMAN BERMULA KEJATUHAN BAGHDAD SEHINGGA SEKARANG (657H-SEKARANG)

Pada zaman ini fiqh tetap pada tempat asalnya iaitu taqlid pada mazhab. Ini kerana taqlid pada waktu ini sudah menjadi perkara kebiasaan dikalangan para fuqaha’.  Namun begitu, ada di kalangan ulama pada zaman ini yang keluar dari taqlid dan berpegang terus dengan quran dan sunnah yang mana ia di kenali sebagai  ijtihad mutlak.

Antara perkara fiq yang berlaku pada zaman ini ialah:

1. Munculnya matan,syarah dan hasyiah dalam setiap penulisan dalam mengembangkan fiqh yang sedia ada.

2. Berlaku penulisan fatwa. Setiap fatwa yang dikeluarkan,dikumpul dan dijadikan satu kitab fatwa. Contoh,fatwa ibnu Taimiyah.

                3. Penyusunan undang-undang (taqnin) negara.

Namum pada waktu sekarang ilmu fiqh itu lebih tertumpu pada pengajian di peringkat pengajian tinggi yang mana ada dalam kalangan mahasiswa menulis kajian ilmiah ilmu fiqh. Antara mereka ini adalah di kalangan mahasiswa dalam bidang undang-undang dan syariah.

Wallahua'lam..

DITULIS OLEH :

ADIB BIN MUHAMMAD,
PELAJAR USULUDDIN TAHUN 3,
UNIVERSITY AL-ALBAYT,JORDAN

ATIQULLAH MURSYID BIN ABDUL HALIM,
PELAJAR USULUDDIN TAHUN 3,
UNIVERSITI AL-ALBAYT,JORDAN

Rujukan :
Tarikh Mazhab  Islamiyyah oleh Imam Abu Zuhrah
Madkhal Syariah Islamiyah oleh  Doktor Abdul Karim Zaidan





 p/s : terlepas untuk ikuti program or talk yang disampaikan oleh syekh2 besar 11 April 2013. Sedih!! Antara yang hadir ialah Sheikh Muhammad Hassan, Doktor Ratib An-Nablusi,Sheikh Muhammad  Arifi/Uraifi



0 comments:

Post a Comment