Saturday 27 April 2013

Satu Ringkasan : Solat Musafir


Assalamualaikum wbt..

Kebelakangan ini ramai yang bertanyakan kepada saya tentang hukum hakam berkaitan Solat Musafir. Kebetulan kelmarin selepas match Ping Pong (Karisma),kami sempat duduk makan dan berbual-bual. Timbul persoalan tentang perkara ini. Ramai yang bertanya :

"Camna Ustaz,boleh jamak ke tak"
" Ana dari Amman,boleh ke jamak"

Saya hanya senyum dan kata :

" Ana Doktor,bukan ustaz. JUST tahun 3",cuba berseloroh. Namun selepas itu cuba berkongsi sedikit sebanyak apa yang saya tahu. Namun saya belum puas dan merasakan ianya patut dijadikan tajuk post kali ini.

Sebarang kesalahan,saya mohon dimaklumkan kepada saya untuk pembetulan kerana saya masih lagi belajar. Sama-sama berusaha menjadi sempurna insyaAllah.




SOLAT MUSAFIR

Solat musafir bermaksud solat seseorang yang dalam satu perjalanan menuju ke suatu tempat tertentu. Sudah pasti di sana terdapat kesukaran dalam menunaikan solat. Oleh itu,Islam dengan konsep kesyumulannya sentiasa memberikan kemudahan buat umatnya. Solat ketika musafir secara umumnya terbahagi kepada dua iaitu Qasar dan Jamak.

Qasar (pendek)

1.            Secara ringkasnya,qasar adalah bermaksud pendek. Iaitu seseorang itu memendekkan rakaat solat daripada 4 rakaat kepada 2 rakaat. Qasar solat hanya dibenarkan untuk solat rubai’yyah (4 rakaat),iaitu memendekkannya kepada 2 rakaat. Manakala untuk solat maghrib dan subuh,tiada qasar padanya.

 وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ إِنْ خِفْتُمْ أَن يَفْتِنَكُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا إِنَّ الْكَافِرِينَ كَانُوا لَكُمْ عَدُوًّا مُّبِينًا 
(101)


Apakah hukum Qasar? Adakah wajib atau rukhsah?

2.            Persoalan ini terbahagi kepada 3 pendapat utama :

                1. Mazhab Hanafi : Berpendapat bahawa ia adalah wajib

                2. Mazhab Maliki (pandangan yang masyhur dalam mazhabnya : Berpendapat bahawa ia   adalah sunat muakad.

                3. Mazhab Syafie’ dan Hanbali : Berpendapat bahawa ia adalah rukhsah (kelonggaran) dan      dalam bentuk pilihan samada hendak menunaikan solat secara penuh (4 rakaat) atau qasar  (2 rakaat).

Berapakah jarak yang harus ditempuh oleh musafir untuk membolehkannya meng’qasar’kan solat?

3.            Secara ringkasnya,jarak yang dimaksudkan di sini adalah sekurang-kurangnya jarak yang harus ditempuh oleh si musafir. Mengapakah digunakan jarak dalam mengukur kerana jarak adalah satu ukuran yang tepat dalam menetapkan samada seseorang itu dalam musafir atau tidak. Sekiranya diukur berdasarkan masa,maka flight dari Jordan ke Mesir tidak sampai 2 jam,sudah tentu tidak boleh dianggap musafir. Boleh jadi situasi yang lain iaitu  terperangkan selama 10 jam dalam jem sedangkan jarak hanya beberapa kilometer sahaja, adakah boleh dianggap musafir. Oleh itu,jarak (KM ) adalah ukuran yang paling tepat dalam menetapkan seseorang itu dalam musafir atau tidak.dan masalah ini terbahagi kepada beberapa pendapat :

                1. Mazhab Hanafi : Sekurang-kurang jarak yang harus ditempuh adalah 3 hari 3 malam   perjalanan seorang yang berjalan kaki atau menaiki unta.

                Berdalilkan :

                حدثنا ‏ ‏إسحاق بن إبراهيم الحنظلي ‏ ‏قال قلت ‏ ‏لأبي أسامة ‏ ‏حدثكم ‏ ‏عبيد الله ‏ ‏عن ‏ ‏نافع ‏ ‏عن ‏ ‏ابن عمر ‏ ‏رضي الله 
عنهما أن النبي ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏قال ‏ ‏لا تسافر المرأة ثلاثة أيام إلا مع ذي ‏ ‏محرم

                Dan hadis Ali bin Abi Talib tentang Sapuan ke atas Khuf :

                ( جَعَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلاثَةَ أَيَّامٍ وَلَيَالِيَهُنَّ لِلْمُسَافِرِ ، وَيَوْمًا وَلَيْلَةً لِلْمُقِيمِ )
                2. Mazhab Maliki dan Hanbali : Berpendapat bahawa jarak yang perlu dilalui adalah lebih             kurang 4 burd bersamaan 48 mil bersamaan 89 KM (secara tepat 88.704 KM). Mereka tidak meletakkan secara had yang wajib. Sekiranya kurang satu mil atau beberapa mil,tidak  menjadi masalah.

                Berdalilkan :

                Perbuatan Ibnu Umar dan Ibnu Abbas :

                كان ابن عمر وابن عباس رضي الله عنهم يقصران ويفطران في أربعة برد وهي ستة عشر فرسخا

                3. Mazhab Syafie’ : Meletakkan had jarak yang perlu dilalui iaitu 4 burd bersamaan 48 mil      bersamaan 89 KM (secara tepat 88.704 KM) sekurang-kurangnya.

                Berdalilkan :

                Perbuatan Ibnu Umar dan Ibnu Abbas :

                كان ابن عمر وابن عباس رضي الله عنهم يقصران ويفطران في أربعة برد وهي ستة عشر فرسخا

                4. Mazhab Zohiri dan pendapat Ibnu Taimiyah : Tidak ada had,bahkan boleh dilakukan qasar dalam apa jua perjalanan yang dianggap safar.

                Berdalilkan dari surah An-Nisa’ ayat 101 :

                وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ إِنْ خِفْتُمْ أَن يَفْتِنَكُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا إِنَّ الْكَافِرِينَ كَانُوا لَكُمْ عَدُوًّا مُّبِينًا
Berapa harikah tempoh untuk qasar?

4.            Jika seseorang itu bermusafir selama beberapa hari dan sampai ke tempat yang ingin dituju. Berapa harikah tempoh untuknya qasar solat selama berada di tempat tersebut? Persoalan ini terbahagi kepada beberapa pandangan :

                1. Mazhab Hanafi : Berpandangan bahawa jika ia berniat untuk berada selama 15 hari dan ke atas maka hendaklah baginya solat secara sempurna (4 rakaat),jika kurang dari  tempoh itu,dibenarkan qasar.

                Berdalilkan :
حدثنا أحمد بن منيع حدثنا هشيم أخبرنا يحيى بن أبي إسحق الحضرمي حدثنا أنس بن مالك قال خرجنا مع النبي صلى الله عليه وسلم من المدينة إلى مكة فصلى ركعتين قال قلت لأنس كم أقام رسول الله صلى الله عليه وسلم بمكة قال عشرا

                2. Mazhab Maliki,Syafie’ dan Hanbali : Berpendapat bahawa jika dia berniat untuk berada          selama 4 hari dan ke atas,maka baginya solat secara sempurna (4 rakaat). Malikiah dan Syafie’yyah mengatakan 4 hari itu adalah tidak termasuk hari masuk dan keluar (dari bandar  tersebut). Manakala Hanabilah mengehadkan 21 waktu solat.

                Berdalilkan :
                حديث جابر { أن النبي صلى الله عليه وسلم قدم مكة صبيحة رابعة من ذي الحجة ، فأقام بها الرابع والخامس والسادس والسابع ، وصلى الصبح في اليوم الثامن ، ثم خرج إلى منى ، وخرج من مكة متوجها إلى المدينة ، بعد أيام التشريق }

                3. Pendapat Qatadah dan Ishak dan juga yang dipilh oleh Ibnu Taimiyah : Tidak meletakkan  sebarang tempoh. Dibenarkan untuk qasar selama mana tidak diniatkan untuk bermukim.

                Berdalilkan :

                عن ابن عباس عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه أقام في بعض أسفاره تسع عشرة يصلي ركعتين قال ابن عباس فنحن إذا أقمنا ما بيننا وبين تسع عشرة صلينا ركعتين وإن زدنا على ذلك أتممنا

Jamak (himpun)

1.            Secara ringkasnya,jamak bermaksud himpun. Iaitu menghimpunkan dua solat. Solat yang boleh dijamakkan adalah antara Maghrib dan Isya’ serta Zohor dan Asar. Jamak dibolehkan dalam pelbagai keadaan samada musafir,hujan,sakit dan lain-lain lagi mengikut pendapat pelbagai ulama dan imam mazhab. Namun di sini saya hanya ingin sebutkan tentang jamak dalam musafir.

2.            Jamak solat dalam musafir terbahagi kepada dua pandangan :

                1. Mazhab Hanafi : Berpendapat bahawa hanya dibenarkan jamak dalam musafir ketika                menunaikan Haji pada Hari Arafah di Arafah dan malam di Muzdalifah sahaja. Selain daripada itu tidak dibenarkan jamak dalam musafir.

                Berdalilkan umum ayat  dari surah An-Nisa’ :
(إِنَّ الصَّلاَةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا )
               
                2. Mazhab Maliki,Syafie’ dan Hanbali : Berpendapat bahawa dibenarkan untuk menjamak         (himpun) solat zohor dan asar serta maghrib dan isya’ secara umum bila-bila masa di mana-mana sahaja dalam musafir.

                Berdalilkan :
                حدثنا علي بن عبد الله قال حدثنا سفيان قال سمعت الزهري عن سالم عن أبيه قال كان النبي صلى الله عليه وسلم يجمع بين المغرب والعشاء إذا جد به السير

Kesimpulan
Saya menulis tentang Jamak Qasar ini setelah mendapat banyak pertanyaan dari sahabat-sahabat. Apa yang ditulis ini adalah lebih kepada pandangan 4 mazhab dan beberapa pandangan lain yang disertakan sekali. Secara asasnya,Islam adalah agama yang memberikan kemudahan. Jika datang masyaqqah (kesulitan),maka Islam memberikan kelonggaran kepada umatnya. Oleh itu,setiap pandangan adalah berbeza-beza berdasarkan pandangan terhadap dalil dan kesulitan yang di alami.



Apabila membincangkan soal solat,ia adalah berkaitan dengan hubungan hamba dengan Penciptanya dan wajib dijaga dengan baik. Saya belum mampu melakukan tarjih pandangan mana yang terbaik dan sebaliknya. Apa yang mampu saya simpulkan adalah setiap pandangan mempunyai dalil masing-masing. Terpulang samada hendak mengambil yang ringan atau yang agak ketat. Namun atas dasar perkara ibadat (hubungan dengan Allah) saya menyarankan atas dasar ihtiyat (berjaga2) untuk mengambil pandangan yang agak ketat sekiranya belum yakin atau kurang pengetahuan. Disarankan untuk memilih pendapat Mazhab Syafie’ kerana ia lebih ketat dalam aspek ibadat.Namun sekiranya berada dalam kesulitan yang mendesak,Islam adalah agama rahmat dan setiap pandangan yang berbeza memberi rahmat buat kita dan kita dibenarkan memilih pendapat yang ringan untuk menghilangkan kesulitan tersebut.

Rujukan :
الموسوعة الفقه الإسلام والقضايا المعاصرة (الأستاذ دكتور وهبة الزحيلي)
صحيح فقه السنة وأدلته وتوضيح مذاهب الأئمة (ابو مالك كمال بن السيد سالم )

Wallahu'alam

tazkir_zikran@yahoo.com
28 April 2013 
9.10 pagi
Yordania


p/s : untuk jarak samada amman ke mafraq,irbid –mafraq..bahkan dari alor setar ke sungai petani,mohon kira sendiri…huhu



0 comments:

Post a Comment