Saturday 27 October 2018

Harapan dan Ujian

Antara harapan dan ujian dalam kehidupan

Setiap manusia mempunyai harapan dan impian yang tersimpan di lubuk hati. Setiap harapan sudah tentu berbeza dan sudah pasti tidak sama. Subjektif.

Seorang pelajar mengharapkan supaya dia dapat cemerlang dalam pelajarannya. Proses pembelajaran yang tidak menyusahkan dan mudah difahami. 

Seorang boss mengharapkan supaya pekerja-pekerjanya dapat melakukan kerja dengan sebaik mungkin dan meningkatkan kualiti dan imej syarikat atau organisasi.

Ibu atau bapa mengharapkan supaya anak yang diasuhnya itu membesar dengan baik. Menjadi anak yang bijak pelajarannya dan baik budi pekertinya.

Ertinya setiap harapan yang disandarkan dalam diri manusia itu berbeza berdasarkan keadaan dan situasi yang dialaminya. Bahkan,seorang ibu mungkin mempunyai harapan yang bebeza buat dua orang anaknya.

Namun,ada satu perkara yang perlu disedari dalam kehidupan ini. Kehidupan bukanlah semata-mata terbina atas harapan yang tinggi,tetapi ia juga tercabar dengan ujian yang pelbagai.

Seorang pelajar yang mengharapkan kecemerlangan harus sedar bahawa pasti ada ujian yang getir buat dirinya. Masakan besi menjadi keris jika tidak ditempa dengan sang api yang membakar.

Maka,dengan wujudnya harapan dan diseimbangi oleh ujian,kehidupan manusia menjadi menarik dan mencabar. Harapan memberi semangat untuk maju ke hadapan,ujian memberi kekuatan atas setiap langkah.

Oleh itu,tanamlah harapan setinggi langit dan bersedialah dengan kaki yang teguh dalam menghadapi ujian. 



Allah S.W.T telah menegaskan bahawa meskipun kita mengharapkan syurganya,tapi adakah kita menyangka akan mendapatkannya sedangkan kita belum teruji dengan pelbagai ujian dan rintangan. Adakah kita menyangka akan dikurniakan syurga sedangkan belom diketahui sejauh mana jihad kesungguhan dan tahap kesabaran kita.

Justeru,kesabaran dan kesungguhan untuk mencapai impian merupakan KPI yang diperlukan dalam mendepani 
setiap ujian dan cabaran.

Semakin besar ujian,semakin tinggi kesabaran dan kesungguhan yang diperlukan. Begitulah seterusnya.


Mimpi itu free. Tetapi usaha dan sabar itu besar harganya.


Tuesday 17 February 2015

Akal dalam sebuah Falsafah Kehidupan


Akal dalam sebuah Falsafah Kehidupan

Setiap manusia berjalan atas sebuah jalan kehidupan yang sama. Kita membesar di dalam kandungan ibu,lahir ke dunia,membesar tubuh badan sehingga tua; ada yang dijemput ajal sebelum sempat menjengah tua. Bukankah banyak kelapa muda yang dikait sebelum gugurnya kelapa tua.Biarpun,jalan kehidupan ini sama,namun di sana terdapat sebuah perbezaan yang membezakan natijah kehidupan kita.

Apakah perbezaan tersebut?

Akal

Erti kata bagi akal adalah ikatan. Akal mengikat perbuatan dan tindak tanduk manusia samada baik atau buruk.  Sebagaimana tali mengikat lembu supaya tidak lari,akal manusia pula mengikatnya supaya tidak menurut hawa nafsu.

Akal menimbang dan memikirkan niai sebuah perbuatan samada mendatangkan untung atau rugi.Oleh itu,jika ditanyakan kepada sesiapa pun antara RM100 dan RM10,sudah tentu yang menginginkan RM10 itu boleh dikatakan kurang berakal kerana tidak mampu memilih yang lebih untung.



Namun,tugas akal lebih dari itu. Akal menjadi sandaran dalam membezakan antara manusia dan haiwan. Manusia dan haiwan masing-masing punyai nafsu dan mengejar kelazatan. Jika bukan kerana akal yang mengikat perbuatan manusia,sudah tentu tiada beza antara manusia dan haiwan.

Tatkala lembu melihat rumput dan tanaman di kebun orang,dirempuhnya tanpa memikirkan baik buruk. Baginya,aku suka makan, Tetapi manusia bukan begitu. Manusia yang mempunyai akal,tatkala melihat duit milik kawannya,meskipun rasa ingin dan mahu itu ada,tetapi akal menghalangnya dan memberi gambaran bahawa mengambil duit milik orang lain itu adalah perbuatan buruk.

Akal mengatur kehidupan manusia

Dalam perjalanan kehidupan,manusia diberikan pilihan dalam memilih jalan kehidupan. Ada diantara manusia yang memiih jalan kegelapan,hidup sekadar berfoya-foya,tiada matlamat dalam kehidupan,dan akhirnya menyesal kerana tiada untung didapati didunia,bahkan kerugian besar tatkala menemui Tuhannya. Ada pula manusia yang menggunakan akal,menimbang dan menilik baik buruk,meletakkan matamat yang tinggi dan jelas yang ingin dicapai dalam kehidupan,maka akal mengatur dan membantu dalam memilih gerak langkah kearah matlamat tersebut. Hidupnya bahagia,namanya disebut-sebut atas kejayaan,bahkan dia berjalan bangga menemui Tuhannya atas sebuah trofi kehidupan yang dicapainya.

Akal dan kejayaan

Tuhan Maha Adil. Memberikan kejayaan kepada sesiapa pun yang menggunakan akalnya sebaik mungkin dalam kehidupan. Lihatlah barat pada hari ini,mereka mendongak bangga atas kejayaan demi kejayaan dalam membentuk sebuah peradaban. Mereka memberi nilai yang tinggi buat ilmu dan akal. Biarpun mereka kosong secara rohani,namun mereka berjaya dari aspek lahiri.

Dalam mengejar sebuah kejayaan, Tuhan tidak membezakan samada muslim atau non muslim,akan tetapi Tuhan meletakkan kaedah yang dinamakan sunnatullah,ketetapan Allah; sesiapa yang berusaha pasti mendapat hasilnya.

Misalnya,seorang non muslim bangun seawal jam 7 pagi keluar,bekerja dengan proaktif dan tekun,manakala di sana seorang muslim yang bangunnya jam 10 pagi , bekerja bermalas-malasan,hanya mengharapkan doa supaya diberikan rezeki yang mewah.  Akal yang baik dapat menimbang antara dua pihak ini bagaimanakah hasilnya,

Tanda orang berakal

Secara umumnya tidak dinafikan bahawa nama yang baik memberikan gambaran awal terhadap seseorang. Jika disebut nama Muhammad,sudah tentu gambaran awal mengatakan dia seorang yang baik dan terpuji seperti namanya. Namun,nama bukanlah tanda dan alamat yang sebenar bagi seorang yang berakal.

Ramai mana manusia hari ini yang namanya Muhammad,tetapi melakukan perbuatan yang buruk;merompak,membunuh,mencuri.

Tanda dan alamat bahawa seseorang itu berakal adalah melalui tindakan dan perbuatannya. Orang yang berakal memilih perkara yang mendatangkan manfaat biarpun sukar untuk mendapatkannya. Orang yang berakal memiih sesuatu yang tahan lama dan kekal biarpun mahal harganya.
Contohnya,biarpun sukar dan tempoh yang lama dalam pembelajaran,namun orang yang berakal pasti bertahan dan terus belajar kerana dia tahu mahalnya sebuah ilmu dan betapa bermanfaatnya sebuah kejayaan dalam peperiksaan bagi dirinya. Dia melihat kesan dan natijah kepada usahanya itu biarpun sukar.

Kata Buya Hamka:

Jika hidup sekadar hidup,babi di hutan juga hidup
Jika bekerja sekadar bekerja,kera juga bekerja.



Biarlah kita hidup sebagai manusia budiman yang menilai baik buruk menggunakan akal dan memilih kebaikan sebagai jalan hidup.


Oleh itu,pilihlah jalan yang ingin kalian lalui. Timbanglah dengan timbangan akal yang sihat. Moga kehidupan yang dilalui merupakan sebuah kebahagiaan dan kejayaan

Wednesday 15 January 2014

Mengapa berkasut lebih baik dari berselimut?



Assalamualaikum wbt..

Berbulan lama tidak menulis. Menulis di blog atau facebook. Sifat menulis semakin terkikis. Entah mengapa. Mungkin kerana idea lambat mencair kesan musim sejuk yang menggigit tulang di Bumi Jordan. Idea dan buah fikiran selalu berlari lari,tapi aku malas mengejar. Bukan kerana tidak pantas mengejar atau berkaki ayam. Mungkin kerana tidur berselimutkan hirom (selimut tebal) dalam kesunyian salju lebih menjadi pilihan biarpun itu adalah pilihan terburuk.

Biarlah. Itu cerita sewaktu zon selesa menghimpit jiwa.

Jom mendengar cerita tatkala aku keluar dari zon ini.

Alhamdulillah,3 hari yang lepas semua markah bagi subjek peperiksaan sudah keluar. Aku yang di semester terakhir tahun terakhir secara tidak rasminya menggelarkan diriku sendiri  Graduan Universiti Al-alBayt.

3tahun satu semester.

Itulah tempoh pengajianku untuk Ijazah Sarjana Muda (Usuluddin). Agak tersasar dari target asal.3 tahun.



Beberapa hari yang lepas sempat bersama sahabat rombongan dari Universiti Islam Madinah seramai 12 orang. Agak teruja kerana mereka tetamu agung.



Ziarah dan melawat Sheikh Syuaib Al-Arnout dan sheikh solah kholidi,berjalan dan membeli kitab di Maktabah Dandis di Amman ternyata mampu menghidupkan semangat untuk meneruskan perjuangan dalam menuntut ilmu.

Bersama Syeikh Solah Kholidi



Bersama Syeikh Syuaib Al-Arnout

Oleh itu,aku merancang untuk menyambung pengajian peringkat  Master di WISE dalam bidang Hadis. Aku cuba mencari sponsor atau tajaan untuk perancangan pengajianku ini. Biarpun belom ada yang sudi membantu. Aku akan terus berusaha kerana aku terkenang kata2 Rabiah Ar Ra’yi,

“Tidak patut seseorang yang mempunyai ilmu itu mensia-siakan dirinya.”

Imam Ibnu hajar di dalam Fathul Bari tatkala mensyarahkan kata2 imam Rabi’ah ini menyatakan salah satu daripada maksud kata2 ini adalah kemampuan akal. Tidak patut seseorang yang mempunyai kemampuan dari sudut akal (bijak,pantas belajar) itu mensia-siakan dirinya dengan tidak terjun dalam dunia pengajian.

Mohon bantuan rakan2 jika ada mengetahui ruang untuk mendapatkan sponsor/tajaan. Resume sudah disiapkan Cuma tidak diletakkan di ruang maya ini.



P/s : Tahukah kalian kenapa tajuk post "mengapa kasut lebih baik dari selimut",kerana keluar berkelana melihat dunia luar lebih baik dari tidur bermimpikan dunia fantasi.

Wallahua’alam.





Tuesday 15 October 2013



Assalamualaikum wbt..


Beberapa minggu yang lepas,saya diberikan peluang untuk membedah sebuah buku sempena Seminar Syiah yang dianjurkan oleh Persatuan pelajar di sini. Saya bukanlah hebat dan tahu semua tentang syiah,namun cuba berkongsi apa yang diketahui dan persediaan sebelum pulang ke Tanah air.

Bersama pembentang kedua Us Rozaimi


Kebelakangan ini isu Syiah di Malaysia semakin panas. Saya yakin perkara ini sudah lama bertapak tetapi hanya kepanasan kebelakangan ini. Mereka semakin berani dan bertambah berani.

Buku yang dibedah bertajuk “Alkhumainiyyah : Ganjil pada akidah dan pendirian”. Sebuah buku yang ditulis oleh Syeikh Said Hawwa,tokoh gerakan Islam Syria. Ditulis sekitar tahun 80-an. Selepas Revolusi Iran 1979. Boleh didapati dalam bentuk pdf,just search and download it.


Diceritakan bahawa tatkala Iran Berjaya dalam revolusinya,umat Islam bersorak dan menyatakan “Inilah masa kebangkitan Islam”. Ramai yang terkesan dengan revolusi ini termasuk gerakan Islam di Syria. Oleh itu,Syeikh Said Hawwa cuba menyelidiki dan melihat “kejayaan” revolusi ini dalam hakikat sebenar. Selepas mengetahui hakikatnya dan apakah sebenarnya Syiah dan Khomeini,maka beliau menulis maqalah ini dengan tujuan memberi peringatan kepada manusia tentang kedasyatan dan hakikat sebenar Khomeini dan syiah.
Mungkin pada masa tersebut belom wujud media massa seperti sekarang,Facebook,twitter,blog dan sebagainya. Oleh itu,tidak hairan lah ramai yang terpengaruh dengan kejayaan palsu tersebut.


Siapakah Khomeini?

Khomeini adalah tokoh yang menggerakkkan dan menjayakan revolusi ini. Untuk maklumat peribadi,kalian boleh search sendiri. Khomeini merampas Iran daripada kuku besi pemerintahan Shah Iran ketika itu yang dipimpin oleh Shah Pahlavi.Revolusi yang memakan masa sekitar 2 tahun membuahkan hasil sehingga memaksa Shah Pahlavi keluar daripada Iran dengan alasan percutian. Khomeini yang ketika itu dalam buangan di Perancis  pulang ke Iran dan disambut oleh ribuan penyokongnya di sana. Khomeini mendapat sokongan ribuan penyokong dengan melaungkan ingin mendirikan kerajaan Islam dan menjalankan hukum Allah. Laungannya disambut dan didokong oleh ribuan penduduk Iran. Hasilnya,Khomeini menjadi Pemimpin Agung yang pertama dalam pemerintahan selepas Revolusi Iran.

Khomeini


Buku Ini

Buku ini dibahagikan kepada dua bahagian atau part besar iaitu Perbincangan tentang keganjilan Khomeini dari sudut akidah,dan yang kedua perbincangan tentang keganjilan Khomeini dari sudut pendiriannya terutama dalam sudut politik.

Dalam Part pertama,penulis meletakkan 8 point penting dalam mengulas tentang isu akidah Khomeini.

1.       Ghuluww (Melampau) dalam mengagungkan Imam-imam mereka.

Khomeini dan Syiah begitu mengagungkan Imam-imam mereka. Harus jelas di sini bahawa Syiah yang dianuti olehnya adalah Syiah Isna Asyariah iaitu Syiah yang berpegang kuat dengan kemaksuman imam mereka yang dua belas. Bahkan mereka menganggap Imam setaraf dengan para Nabi bahkan lebih tinggi dari itu. Mereka menyarung pakaian maksum iaitu tidak melakukan dosa dan tidak salah terhadap para Imam mereka. Sepertimana yang kita serba maklum bahawa sifat maksum hanya milik para Nabi yang dianugerahkan oleh Allah. Tetapi mereka begitu taksub sehingga menganggap Imam mereka maksum. Bahkan di dalam kitab usul kafi tulisan Al kulaini (ahli hadis di sisi Syiah seperti Imam Bukhari) menyatakan bahawa Imam mereka mengetahui yang ghaib. Setiap perkara atas mukabumi tidak akan berlaku kecuali dengan pengetahuan imam dua belas. Amat dasyat pemikiran seperti ini.

2.       Mengatakan bahawa Al-Quran tidak lengkap.

Apabila berbicara tentang Al-Quran,kita maklum bahawa ia adalah sumber dan masdar terbinanya Islam di atasnya. Setiap perkara di sisi umat Islam adalah berdalilkan Al-Quran,sunnah,Ijmak dan Qias. 

Tetapi Khomeini dan syiah ini menganggap Al-Quran ini tidak lengkap. Dan dinyatakan oleh Alkulaini dalam kitabnya bahawa di sisi mereka terdapat Al-Quran yang dinamakan Al-Quran Fatimah. Mereka mengatakan Al-Quran sekarang sudah diseleweng dan Al-Quran Fatimah adalah Al-Quran sebenar. Jika mereka dengan jelas menolak sumber dan masdar pertama terbinanya Islam,bagaiamana kita mampu memikirkan untuk mengadakan taqrib dengan mereka. Mereka dengan jelas menolak masdar umat Islam yang dipegang teguh oleh kita dengan kesohihan dan terjaganya Al-Quran ini.

3.       Pendiriannya terhadap Sunnah Nabawi

Dalam bab Sunnah Nabawi,harus difahami bahawa ia adalah masdar (sumber) kedua bagi umat Islam. Begitu banyak perkara dalam bab Ibadat dan Aqidah yang bersumberkan dari sumber ini.

Mereka menolak semua hadis atau sunnah kecuali yang diriwayatkan oleh Ahli Bayt. Sebarang hadis yang tidak diriwayatkan oleh Ahli Bayt ditolak oleh mereka. Mereka dalam bab Sahabat R.a (insyaallah akan saya ulas selepas ini) menganggap semua sahabat murtad kecuali beberapa orang. Apabila sahabat dianggap murtad,maka periwayatan hadis oleh sahabat secara automatic tertolak. Oleh itu,bagaimana hendak terbinanya Islam tanpa hadis dan sunnah yang diriwayatkan oleh para sahabat. Begitu pelik akidah mereka.



Untuk point seterusnya akan saya sambung dalam penulisan seterusnya…

Saturday 5 October 2013

HUKUM DAN APLIKASI TERHADAP HUKUM



Hukum dan aplikasi terhadap hukum.

Ia adalah dua perkara yang berbeza dan perlu dibezakan. Hukum adalah satu perkara yang istiqlal,aplikasi terhadap hukum pula adalah sesuatu perkara yang lain.

Apakah itu hukum? Apakah pula aplikasi hukum?

Hukum itu adalah sesuatu perkara samada suruhan atau larangan yang dijelaskan oleh nas terhadap kita. Contoh : Hukum Qisas,hudud jelas kewajipan di dalam Al Quran. Hukum solat adalah wajib. Oleh itu,hukum adalah satu perkara yang sabit dan dijelaskan oleh nas.

Aplikasi hukum pula adalah bagaimana kita cuba melaksanakan hukum itu terhadap masyarakat. Samada terhadap individu tertentu atau masyarakat dikawasan tertentu. 

Setiap indinvidu atau masyarakat pasti mempunyai unsur dan suasana yang berbeza,pasti membawa kepada perubahan cara dalam melaksanakan hukum. Solat orang yang di dalam perang tidak sama dengan solat orang yang berada di dalam keadaan aman. Begitu juga,hukum hudud mahupun qisos jika diaplikasikan tanpa melihat secara terperinci sudah pasti mendatangkan fitnah terhadap agama.

Oleh itu,muncul satu ilmu iaitu ilmu maqasid. Maqasid adalah bagaimana kita cuba melihat tujuan setiap perkara dan syariat dilaksanakan. Contoh,tatkala kita mengatakan pada Qisas itu adanya kehidupan iaitu kehidupan terhadap mujtamak (masyarakat). Maka, keamanan dan kehidupan terhadap masyarakat itu adalah maksud atau tujuan syarak.

Maka,kita harus berusaha dalam mengaplikasi hukum Qisas supaya tujuan dan maksud syarak tercapai. Sekiranya sesuatu hukuman itu diaplikasikan dan tidak mencapai maksud syarak,sudah tentu di sana terdapat satu kelompongan dan kekurangan dalam mengaplikasi hukum tersebut. Akhirnya akan membawa fitnah terhadap Islam itu sendiri.



Kata Imam Syatibi : Seseorang itu mampu berada dalam tahap berijtihad sekiranya mampu menguasai dua perkara :

Pertama : Memahami maqasid syariah secara keseluruhannya
Kedua : Kemampuan untuk mengeluarkan sesuatu hukum berdasarkan pemahamannya terhadap perkara tersebut.


Kesimpulan ringkas yang dapat saya sebutkan di sini,dalam suasana zaman sekarang,kita harus membezakan antara hukum dan juga aplikasi terhadap hukum. Kita jelas bahawa hukum hudud itu wajib. Barangsiapa ingkar tentangnya sudah tentu berada dalam lingkungan mereka yang menolak hukum Allah. Akan tetapi aplikasi terhadap hukum hudud pula adalah sesuatu yang berbeza. Ia memerlukan kepada kefaqihan dan pemahaman yang teliti terhadap nas dan juga waqie (reality semasa). Mungkin boleh dikatakan hukum hudud perlu diteliti dalam sudut aplikasi untuk dilaksanakan,bukan mengingkari hukum tersebut. Tetapi melihat kepada kesan dan aplikasi terhadap hukum tersebut. Kerana setiap aplikasi dan tatbiq terhadap sesuatu perkara sudah pasti memberi kesan dan impak kepada Islam. Dalam mengejar maksud dan tujuan syarak,harus dijauhi fitnah terhadap Islam.

Wallahua'lam


tazkir_zikran@yahoo.com
1 Okt 2013
Mafraq,Jordan

Saturday 20 July 2013

Respon : Aku dan Tabarruk



Assalamualaikum wbt..

Berikutan entry  Respon Pertama yg saya tulis beberapa hari yang lalu. Ramai yg bertanyakan kpd saya meminta penjelasan.

“Hg tak dak adab dgn nabi la” kata Mamat

“ Hg ingat senang ka nk bawa rambut nabi mai malaysia” kata Mat

 “Hg tak sayang nabi ka” soalan padu

Saya tersenyum.


Sayang Nabi S.A.W.

Sahabat-sahabat yg saya muliakan,

Persoalan berikut hanyalah persoalan furu’ dan bukanlah persoalan asas. Persoalan asas di sana adalah bagaimana kita bertaamul dengan nabi S.A.W. Samada dengan atharnya mahupun sunnahnya.

Saya tidak sesekali menafikan tabarruk atau mengambil berkat itu wahai sahabat. Tetapi persoalan menjadikan ia sebagai bahan promosi dan jual beli. Itu yang saya nafikan.

Andai saya tidak menyayangi nabi,apa gunanya saya datang ke Jordan mempelajari sunnah dan warisan yang ditinggalkannya.

Soalan itu tidak patut ditanya.

Soalan sebenarnya yang perlu ditanya adalah apa yang kau lakukan untuk buktikan cinta kau kepada Nabi S.A.W.

Saya buktikan cinta kepada nabi dengan mengikuti apa yg disampaikan di dalam risalah kenabiannya. Apa yang disuruh dan apa yg dilarang.Berselawat kepadanya. Bertaamul sebaiknya dengan sunnah dan atharnya.



Sahabat-sahabat,

Sekali lagi saya ingin tegaskan.

Tabarruk itu tidak salah.

Menjual beli tabarruk itu yang saya anggap salah.

“Hg ingat sapa nak bg barang free lani. Nak minum air zam zam pon kena bayaq” Salim mencelah.

Saya tersenyum sekali lagi.

Pertama,buktikan dulu bahawa ia adalah athar nabi S.A.W yang asli kerana air zam zam itu terbukti dari telaga yg sama.

Kedua,adakah proses dan peralatan menghasilkan sebotol air celupan itu memakan jumlah kewangan yang besar sepertimana membotolkan air zam zam.

Bahkan,bayaran terhadap air zam zam pon kadang-kadang dikritik oleh kita.

“Mahal la air zam zam. Bagi free tak boleh ka”

“Nak free pi minum kt masjid” jawab Tok Siak.


Bersatu dan Hindari Perpecahan

Sahabat-sahabat,

Saya khuatir suatu masa akan datang,muncul mereka mereka yg berniat jahat terhadap agama. Mempromosikan simbol untuk mengalihkan pandangan kita dari subtances.

Untuk apa kita berbalah tentang helaian rambut nabi S.A.W sedangkan diluar sana masih ramai anak muda tidak mengenali Baginda.

Masih ramai anak muda yang tidak tahu berselawat kepada Baginda.

Cukuplah.

 Ummat sudah letih dan penat melihat gelagat para ustaz. Ustaz yang mampu mengajar ummat tentang tarikh peperangan Badar dan jumlahnya ahlinya. Tetapi tidak mampu mendidik ummat untuk mengikut jejak langkah ahli Badar. Beramal dan beriman seperti ahli Badar.

Kini semakin ramai ustaz-ustaz yang mempromosikan makanan yang dibacakan Al-Quran padanya. Dijampi katanya.

Saya tak nafikan keseluruhannya. Bahkan insan insan seperti Dr Haron Din terkenal dengan kaedah perubatan Islamnya amat saya hormati. Bahkan keluarga saya turut menggunakan khidmat beliau.

Tetapi apabila ada insan insan yang melihat keuntungan dari ruang ini cuba meraih untung atas nama agama,saya agak terkilan.

Jikalau orang cina yang kufur itu mampu maju dalam perniagaan tanpa mempromosikan nama Tuhan mereka. Alangkah sedihnya kita terpaksa meletakkan nama agama untuk maju dalam perniagaan.

Sahabat-sahabat,

Alangkah baiknya jika kita menumpukan usaha dan perhatian kita kepada isu yang lebih besar.

Isu negara. Bagaimana untuk memahamkan anak muda tentang Islam. Bagaimana untuk mencegah Syiah yang semakin merebak. Bagaimana ingin menjadikan negara kita aman dan makmur.

Isu sejagat. Bagaimana kita harus memberikan sokongan penuh terhadap isu di Mesir dan Syria. Apakah yang perlu kita sumbangkan buat mereka.

Ingatlah bahawa musuh Islam sentiasa mengamalkan sistem pecah dan perintah. Memecahkan kita kepada negara negara kecil. Memecahkan kita kepada sunni dan syiah. Memecahkan kita kepada sufi,salafi dan wahabi atau sebagainya. Memecahkan kita kepada Hanafi,Syafie,dan sebagainya.



Mengalihkan perhatian kita daripada perkara cabang kepada perkara yang lebih besar.

Moga Allah merahmati kita semua.



tazkir_zikran@yahoo.com
3.30 am
22 Julai 2013



Thursday 18 July 2013

Respon pertama : Isu Tabarruk



Assalamualaikum wbt..

Ahmad : Kenapa la puak wahabi tu tak faham bahasa. Tu la. Orang suruh mengaji,dia pi maen benda lain. Tabarruk tu ada la dalam Islam. Sahabat2 nabi pon tabarruk dgn nabi.

Kamal : Hek eleh.. Awat la puak tarekat,sufi semua tu suka sangat benda benda ni. Dok taksub kat benda benda tu buat pa. Tu la. Orang suruh mengaji depa pi ziarah kubur.

Beberapa hari lepas,heboh isu tabarruk. Apa itu tabarruk?

Tabarruk tu dalam bahasa mudah paham adalah ambil berkat.

Datang beberapa isu yang melibatkan soal tabarruk ini secara khusus dan soal agama secara umum.

Soal tabarruk : Datang seseorang dengan mengatakan bahawa dia mempunyai air rendaman rambut nabi. Sesiapa yg nak air tu boleh pm. Tabarruk dengan rambut nabi.

Soal agama : Datang ustaz ustaz yang menawarkan khidmat air rebusan sarang anai-anai yang telah makan 22 juzuk Al-Quran ditambah dengan beberapa benda lain yg dikatakan berkat.

Ada juga yang mempromosikan air gas berkarbonat yang dibacakan 30 juzuk Al-Quran.

Tak mustahil selepas ini akan muncul khidmat juadah hidangan berbuka yg dibacakan 30 juzuk dan Sohih Bukhari Muslim.



Pandangan saya

Soal agama tentang mempromosikan atas nama Islam itu memang saya tentang sekuat kuatnya kerana ia membawa ke arah agama menjadi bahan niaga dan bahan jenaka.

Kita harus mengambil iktibar bagaimana munculnya Protestan dari Kristian adalah kerana tidak berpuas hati dengan isu penjualan Sijil Pengampunan. Sesiapa yg ingin bertaubat dari dosa,boleh membeli pengampunan dengan harga tertentu. Jual beli agama.

Tidak salah ingin membacakan Al Quran kepada air atau apa sahaja.Namun untuk urusan jual beli. Saya tentang sekuat kuatnya.

Soal tabarruk pula,saya tidak menafikan tentang tabarruk itu punyai asas. Tetapi tindakan seperti mempromosi utk jual beli amat tidak saya setuju. Andai kalian betul betul nak semua orang dapat berkat itu,apa salahnya direndam dalam lautan.

Tak salah untuk mengambil berkat. Yang salah adalah jual beli berkat atas nama agama.


Wallahua’lam

p/s : ini respon pertama. Insya Allah respon yang lebih panjang akan diutarakan selepas ini.