Tuesday 5 February 2013

SEKILAS PANDANG : JAMAK KERANA HUJAN

Assalamualaikum wbt..

Alhamdulillah,diberi kesempatan masa untuk menulis tentang satu perkara yang sudah lama bersarang di fikiran ini iaitu Bolehkah menjamakkan solat kerana hujan?



Mereka yang berada di negara beriklim empat musim sudah tentu akan mengalami musim sejuk yang suhunya kadang-kadang mencapai tahap negatif. Mereka juga mungkin sudah mengetahui tentang menjamakkan solat kerana hujan ini. Namun,timbul persoalan di minda saya,tatkala memikirkan kerelevanan menjamakkan solat kerana dilihat agak memberikan ruang yang amat luas bahkan terlebih kepada mereka.  Masjid hanya penuh tatkala hujan turun. Apabila tiada hujan,yang datang hanya sedikit bilangannya. Oleh itu,saya menterjemahkan satu fatwa daripada mantan mufti Iraq, As syaikh Doktor Abdul Malik Saadi.

Berikut adalah apa yang saya dapat dari fatwa beliau :


(SEDIKIT PERKONGSIAN)
FATWA SYEIKH ABDUL MALIK SAADI (MANTAN MUFTI IRAQ) TENTANG JAMAK SOLAT KERANA HUJAN

Pertama : Pensyariatan Jamak Solat
1.      Abu hanifah,Hassan Al- Basri dan Ibnu Sirin mengatakan tidak disyariatkan untuk Jamak antara solat Zohor dan Asar,Maghrib dan Isya’ kecuali di Muzdalifah dan Arafah.
Berhujahkan : Waktu untuk setiap solat adalah berdalilkan tawatur manakala hadis tentang keharusan jamak solat adalah Ahad.

2.      Jumhur Fuqaha mengatakan bahawa harus menjamakkan solat ketika dalam musafir.
Berhujahkan : ما رواه البخاري ومسلم عن أنس -رضي الله عنه- قال: "إن رسول الله -صلى الله عليه وسلم- إذا ارتحل قبل أن تزيغ الشمس -أي قبل الزوال- أخَّر الظهر إلى وقت العصر ثم نزل فجمع بينهما، وإن زاغت الشمس قبل أن يرحل صلى الظهر والعصر ثم ركب

Kedua : Jamak ketika Hujan atau Salji

Mereka yang mengharuskan untuk Jamak ketika bermusafir berselisih pendapat (khilaf) dalam perkara (jamak kerana hujan) ini.

1.      Kebanyakan mereka mengharuskan untuk jamak hanya pada solat Maghrib dan Isya’ sahaja iaitu sewaktu malam yg kehujanan,tidak pada solat Zohor dan Asar.
Berhujahkan : daripada Nafi’ mengatakan bahawa Ibnu Umar menjamakkan antara solat Maghrib dan Isya’ kerana sukar baginya untuk ke kembali ke masjid pada waktu Isya’. Manakala pada waktu zohor,tidak ada kesukaran padanya.

2.      Abu Khattab daripada Hanabilah,dan Syafie membolehkan jamak antara solat Zohor dan Asar ketika hujan.
Berhujahkan : dikeluarkan daripada Abd Razzak bahawa Ibnu Umar menjamakkan di Madinah solat Zohor dan Asar ketika hujan.

Mereka yang melarang (jamak zohor dan asar) menjawab : dalil yang membenarkan jamak hanya membenarkan pada solat Maghrib dan Isya’ sahaja. Dan dalil yang mengharuskannya (zohor dan asar) tidak sohih kerana tidak disebutkan dalam Sohih-sohih dan Sunan-Sunan. Tidak boleh untuk mengkiaskan Jamak Solat Zohor dan Asar dengan Solat Maghrib dan Isya’ kerana ada masyaqah (kesusahan )pada waktu (Maghrib dan Isya’) tidak pada (Zohor dan Asar),maka tidak ada ilah padanya dan tidak boleh dikiaskan padanya.

Mereka yang mengharuskan jamak meletakkan syarat untuk membolehkan padanya jamak,jika hilang syarat,maka tidak boleh jamak dan batal solat secara keseluruhan :

Antara syaratnya :

1.      Hendaklah hujan kuat (lebat),jika hujan nipis (rintik-rintik),maka tidak boleh.
2.      Tidak boleh jamak bagi orang yang kebiasaan (kelaziman) dirinya solat Isya’ dan Asar di rumah. Jamak hanya dibenarkan pada orang yang kebiasaan (melazimi) solat di masjid.
3.      Hendaklah perjalanannya ke masjid tidak dilindungi oleh apa2 (bumbung) daripada ditimpa hujan. Sekiranya dia berjalan (ke masjid) dibawah lindungan (bumbung) maka tidak boleh jamak padanya. Oleh itu,tidak boleh jamak(solat)pada musolla yang sedia ada di dalam bangunan pejabat dan kilang-kilang.
4.      Hendaklah dia berniat pada solat pertama. Jika tidak,tidak boleh baginya jamak. Tidak cukup niat Imam untuk mereka yang tidak meniatkannya pada solat yang pertama.
5.      Hendaklah hujan berterusan turun daripada waktu yang pertama hingga kedua. Jika terputus (berhenti hujan) sebelum masuk yang kedua,maka tidak boleh untuk jamak.
6.      Hendaklah tempoh terputus antara dua solat itu tidak lama,jika terputus lama,tidak boleh jamak padanya.

Ketiga : Jamak ketika sejuk dan angin kuat

Berlaku khilaf padanya kepada dua pendapat :

Pertama : Tidak boleh untuk jamak,antaranya As-Syafie dan rajihnya pada Imam Ahmad kerana masyaqah (kesusahan ) padanya bukanlah masyaqah ketika hujan. Dan tidak boleh dikiaskannya dengan hujan kerana masyaqahnya berbeza dengan masyaqah ketika hujan. Dan tidak pernah dinaqalkan daripada Nabi S.A.W dan para sahabat.

Kedua : Boleh,disahihkan oleh Al-Amidi daripada Syafi’iyyah,riwayat daripada Ahmad dan juga Umar bin Abd Aziz.
Berhujahkan : kesejukan menjatuhkan kewajipan solat Jumaat dan jamaah seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada Nafi’ daripada Ibnu Umar berkata : Rasulullah S.A.W. berseru pada suatu malam yang hujan dan sejuk serta berangin {صلوا في رحالكم} solatlah di rumah kalian.

Mereka yang tidak membolehkan (jamak) menjawab : sesungguhnya itu bukanlah dalil yang menunjukkan keharusan jamak tetapi dalil membolehkan untuk meninggalkan solat jamaah kerana kesejukan,angin dan gelap malam merupakan uzur yang menjatuhkan menghadiri solat jamaah. Dan dibenarkan untuk solat di rumah,baginya pahala berjemaah juga.

Kepada mereka yang ingin berpegang dengan pendapat yang lemah ini,hendaklah dipastikan bahawa ia berada dalam kesejukan yang kuat yang berkemungkinan berlaku sakit padanya. Tidak boleh jika hanya kesejukan yang biasa,hendaklah dia menjaga syarat-syarat yang telah disebutkan ,jika tidak,tidak boleh jamak baginya dan kekal waktu kedua dalam tanggungannya .

Keempat : Sekiranya Jamak Solat,adakah azan pada waktu kedua ditinggalkan?

Satu perkara yang menyedihkan sekiranya jamak,tidak kedengaran azan dilaungkan pada waktu Asar dan Isya’,ia adalah satu kesalahan.  Bahkan ,hendaklah muazzin melaungkan azan untuk mengiklankan (memberitahu) masuk waktu solat,kecuali dia meninggalkan lafaz  (حي على الصلاة وحي على الفلاح) dan menggantikannya dengan lafaz (ألا صلوا في رحالكم)

Dan lebih menyedihkan apabila mereka mengambil mudah dan ringan dengan solat walaupun hanya sejuk yang biasa,angin dan hujan seolah-olah  hanya ingin melepaskan diri darinya (solat). Sekiranya ada sebab-sebab dan cukup syarat untuk jamak,maka yang lebih afdhal (terbaik) adalah tidak jamak.

Wallahua’lam
2319

sila ke link dibawah untuk fatwa asal :

http://www.alomah-alwasat.com/fatwaMore.php?id=1191

Kesimpulannya : Ibadat adalah hubungan antara hamba dan pencipta terutama solat. Oleh itu,kalian berhak memutuskan bagaimanakah kalian ingin berhubung denganNya. :)



0 comments:

Post a Comment