Sunday 7 April 2013

Gambaran Ringkas : Maqasid Syar'iyyah




Alhamdulillah..  Minggu lepas selesai satu study group bersama sahabat-sahabat. Berbincang dan membedah sedikit sebanyak tentang ilmu Maqasid Syari’yyah. Kami tidak menjangkakan untuk mengkaji lebih dalam tentang ilmu ini. Biarlah dengan mendapat gambaran ringkas. Hati sudah senang. Cubaan membedah makalah hasil tulisan Doktor Ahmad Raisuni bertajuk Fikr Maqasidi : Qawaiduhu wa Fawaiduhu ( Pemikiran Maqasid : Kaedah dan Faedahnya) selesai.

Saya cuba berkongsi sedikit sebanyak gambaran yang diperolehi berdasarkan pengajian kami. Mungkin di sana terdapat kesalahan dalam memahami ilmu ini,maka kalian lebih layak untuk berkongsi dan menegur tentangnya.



Syariah Islamiyyah

Secara umum boleh dikatakan bahawa setiap syariat samada berbentuk perintah mahupun larangan,pasti di sana wujud satu kemaslahatan atau kebaikan buat manusia. Setiap perkara yang disuruh atau dicegah pasti mempunyai tujuan dan hadaf yang telah diletakkan oleh syarak. Cumanya mungkin sebahagian tujuan syarak tersebut mampu difahami dan diterokai manusia,manakala sebahagian yang lain kekal sebagai rahsia yang hanya diketahui Allah S.W.T.

Oleh itu,dapat difahami bahawa Maqasid Syari’yyah itu adalah satu tujuan dan hadaf yang telah diletakkan syarak untuk kebaikan dan kemaslahatan hambaNya.

Berkata Ibnu Qayyim : “ Syariat itu asasnya terbina atas maslahat manusia  dalam kehidupan iaitu semuanya bersifat adil,rahmat,dan memberi kebaikan. Setiap perkara yang mana keluar dari keadilan,rahmat dan maslahah ke arah sebaliknya,maka ia bukanlah daripada Syariat jika ditakwilkannya”
.
Oleh itu dapat difahami bahawa maslahat itu adalah setiap perkara yang mendatangkan kebaikan terhadap insan,dan menolak mudharat ke atasnya.

Pembahagian Maslahat

Maslahat terbahagi kepada tiga bahagian  :

(1) Dharuriyyat  : iaitu perkara yang mana jika hilangnya menjadikan manusia tidak mampu hidup atau hilang nilai kemanusiaan terhadapnya.

Contoh : manusia (orang Islam) jika tiada padanya agama,maka kehidupannya umpama haiwan. Tiada aturan yang menyusun hidupnya. Maka agama adalah sebahagian daripada dharuriyyat terhadap manusia.

(2) Hajiyyat   : iaitu perkara yang mana jika hilangnya menjadikan kehidupan manusia dalam kesusahan.
Contoh : zaman sekarang handset boleh dianggap hajiyyat,kerana jika kita terlupa membawanya pasti kita berada dalam sedikit kesusahan. (pendapat saya)

(3) Tahsiniyyat   : iaitu perkara yang mana hanya bersifat pelengkap atau mencantikkan sesuatu perkara.

Saya ingin sebutkan bahawa dharuriyyat yang dijaga serta dipelihara oleh Islam merangkumi 5 perkara iaitu Agama,Nyawa,Akal,Nasab atau nasal (keturunan) dan Harta. Oleh itu,Islam mensyariatkan hukuman Qisas untuk menjaga maslahat nyawa,potong tangan terhadap pencuri untuk menjaga kemaslahatan harta,mengharamkan arak untuk menjaga akal,mengharamkan zina untuk menjaga keturunan dan pelbagai lagi perkara yang begitu teliti dijaga oleh Islam.

Kaedah-Kaedah Maqasid

Kaedah dalam maqasid yang diletakkan terdiri daripada bebapa item :

(1) Setiap perkara dalam syariat bersifat mua’llalah dan mempunyai maksud serta maslahat tersendiri

Apakah itu mua’llalah?

Mua’llalah adalah sebab. Adakah setiap perkara yang disyariatkan oleh Islam mempunyai sebab? Contoh : mengapakah diharamkan arak? Sebab memabukkan.

Secara umum boleh dikatakan setiap perkara yang disyariatkan oleh Islam mempunyai sebabnya. Cumanya samada sebab itu dapat dirungkaikan oleh insan atau tidak. Di sini terdapat perbahasan yang panjang lebar tentang perkara ini. Kalau nak tahu,kena baca sendiri kot. Secara umum saya ulangi (pendapat yang saya pegang) iaitu setiap perkara mempunyai ilah tersendiri.

(2) Tidak boleh dianggapkan sesuatu itu sebagai maqasid syari’yyah kecuali dengan dalil

Setiap perkara yang hendak dianggap maqasid atau tujuan syarak tidak boleh diletakkan sesuka hati kerana ia akan memberi kesan terhadap sesuatu hukum.

Contoh : jika kita melihat maksud atau tujuan potong tangan pencuri itu adalah untuk menghalangnya mencuri ,maka kita boleh mencipta satu hukuman samada penjara atau sebagainya dengan maksud menghalangnya mencuri. Oleh itu,hukuman potong tangan yang disebutkan dalam Al-Quran kelihatan boleh digantikan dengan hukuman lain dengan tujuan yang sama. Ia adalah sesuatu yang amat bahaya.
Maka,setiap maqasid yang hendak diletakkan perlu diikat dengan dalil supaya kita tidak membatalkan hukum nas.

(3) Tertib Masalih dan Mafasid

Seperti yang disebutkan sebelum ini bahawa hukum syariah bersifat mendatangkan maslahat dan menolak mafasid. Namun,setiap maslahat dan mafasid itu mempunyai tertib atau darjat masing-masing. Ada maslahat yang berada di tangga pertama dan perlu didahulukan dalam setiap perkara. Ada maslahat yang hanya bersifat penyempurna dan diletakkan di tangga terakhir. Oleh itu,setiap perkara mempunyai awlawiyyat tersendiri.

Maksud awlawiyyat di sini adalah keutamaan yang diletakkan untuk memudahkan sekiranya berlaku pertembungan maslahat.

Contoh :jihad mempertahankan Islam mempertembungkan dua maslahat. Antara menjaga agama atau nyawa pejuang. Oleh itu,Islam mengutamakan maslahat agama ke atas nyawa. Jika difahami dalam konteks yang salah,maka akan wujud golongan yang cuba membatalkan jihad dengan mengatakan Islam menjaga nyawa manusia maka tiada jihad. Harus difahami dengan betul.

(4) Harus dibezakan antara wasilah dan tujuan

Saya juga mempelajari bahawa setiap tujuan yang ingin dicapai pasti mempunyai wasilah atau jalan ke arahnya. Maka,tatkala meneliti nas samada Al-Quran atau Hadis,perlu difahami konteks ayat samada bersifat wasilah atau tujuan kerana setiap hukum berdasarkan tujuan adalah qatie atau tidak berubah,manakala setiap hukum berdasarkan wasilah adalah berubah-ubah.

Contoh yang femes digunakan adalah ayat Al-Quran yang menyuruh umat Islam mempersiapkan kekuatan tentera.

وأعدوا لهم ما استطعتم من قوة ومن رباط الخيل ترهبون به عدو الله وعدوكم وآخرين من دونهم لا تعلمونهم الله يعلمهم وما تنفقوا من شيء في سبيل الله يوف إليكم وأنتم لا تظلمون

 “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh Yang menceroboh) Segala jenis kekuatan Yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda Yang lengkap sedia, untuk menggerunkan Dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh Yang lain dari mereka Yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. dan apa sahaja Yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.

Maka di sana wasilah untuk memperkuatkan tentera itu pelbagai samada berkuda mahupun berjet pejuang,kapal selam tak tenggelam dan sebagainya. Wasilah sentiasa berubah-ubah. Namun maksud harus jelas iaitu untuk menakutkan musuh. Oleh itu,gunakan pelbagai wasilah mengikut syarak dalam mencapai maksud yang ditetapkan syarak.

Satu persoalan ingin saya timbulkan :

ياأيها الذين آمنوا إذا نودي للصلاة من يوم الجمعة فاسعوا إلى ذكر الله وذروا البيع ذلكم خير لكم إن كنتم تعلمون

Ayat di atas menceritakan tentang solat Jumaat. Terdapat mazhab (boleh cari sendiri) yang mengatakan jual beli ketika waktu solat Jumaat tidak sah (batal). Oleh itu,sekiranya Mamat hendak ke masjid yang agak jauh dengan rumahnya sedangkan azan sedang dilaungkan. Apakah hukumnya jika dia menaiki teksi? Bukankah naik teksi itu juga satu urusan jual beli. (hanya persoalan,cari sendiri jawapan)

Secara kesimpulan umum dapat saya katakan bahawa ilmu ini antara ilmu yang penting dalam menjadikan seseorang mengeluarkan hukum yang bersifat rasional dan tidak syok sendiri. Mungkin pemahaman saya salah,boleh diperbetulkan. Saya hanya ingin berkongsi secebis apa yang difahami. Banyak lagi perkara namun tak cukup masa nak taip. Harap kalian enjoy membaca. Tak faham tanya ye.


tazkir_zikran @yahoo.com
8 April 2013
8.00 pagi yang sejuk


0 comments:

Post a Comment