Sunday, 31 March 2013

Muhasabah buat Sahabat



“ Belajar rajin-rajin yer. Solat jemaah jangan tinggal. Al-Quran jangan lupa baca”
“Dok bumi ulama,jangan bazirkan masa. Penuhkan waktu dengan talaqi dengan sheikh-sheikh kat sana”
“ Pi negara arab ni,pastikan balik nanti boleh speaking arab berabuk”

Sahabat,

Sebelum kita menjejakkan kaki ke bumi Anbiya’,pasti banyak pesanan melintasi gegendang telinga kita. Pasti terbayang kehidupan ulama’ dengan kejuhudan menuntut ilmu tanpa lelah. Terbayang kitab-kitab arab yang tulisannya sahaja sudah memeningkan kepala. Terbayang pengajian talaqi bersama sheikh-sheikh yang panjang  dan lebat jambangnya membaca kitab-kitab arab. Namun, kadang-kadang apa yang kita bayangkan tak seperti apa yang kita jumpa.

Kita dipesan supaya belajar rajin-rajin,namun kita hanya belajar bila rajin (dekat dengan exam). Kita dinasihati untuk menjaga solat jemaah,namun solat entah ke mana,jemaah pulak entah ke mana. Kita dipesan untuk sentiasa membaca Al-Quran,namun mushaf Al-Quran entah ke mana. Entah ada entahkan tidak.

Sahabat,

Kita terbayang untuk penuhkan waktu dengan talaqqi dengan para sheikh,namun apa yang berlaku. Kita hanya mengenali “sheikh Google dan facebook”. Bukan sahaja ulama’ tidak dikenali,pensyarah yang mengajar di dalam dewan kuliah,entah diingati nama entahkan tidak. Tatkala dikatakan membazir masa di depan facebook,kita nafikan dengan niat tujuan “berdakwah”.

gambar hiasan

Jika dulu terbayang bagaimana kita akan mampu bercakap arab dengan fluent jika datang ke tanah arab. Namun hakikat sebaliknya. Siang malam cakap melayu. Tidak ada satu usaha untuk cuba menukar rutin itu. Jika ada kawan arab yang cuba mendekati,kita menjauhi dengan alasan arab semua jahat,tak dak tamadun. Pensyarah di university tidak pernah disapa. Fullstop. Kehidupan tidak berbeza. Sama seperti di Malaysia. Mungkin yang berbeza hanya salji yang datang sekali setahun. Mungkin juga mansaf laham yang mencuit selera. Tiada yang berbeza.

Mungkin muhasabah bersama sahabat-sahabat. Sesungguhnya musafir kita dalam menuntut ilmu bukanlah sesuatu yang mudah. Namun medan realiti di Malaysia menunggu kepulangan kita dengan ilmu di dada,bukan sijil ditangan semata-mata.  Kita perlu berubah demi perubahan ummah.Berubahlah!! Cuba kenangkan saat sebelum datang ke bumi Anbiya’ ini. Semangat yang sangat tegar. Jiwa pemuda yang cekal. Satu semangat yang tidak mampu digugat. Namun, jiwa dan semangat itu kian  luntur ditelan “bundle” dan ”facebook”. Mungkin juga luntur dengan memikirkan tentang "imam dan makmum".

Sahabat,

Ruang dan waktu masih panjang. Penuhkan waktu dengan membaca kitab-kitab arab. Penuhkan waktu dengan talaqqi kitab bersama sheikh-sheikh. Jangan beralasan “sibuk,tiada waktu”. Susunlah kehidupan dan waktu kalian. Buanglah sikap “study hanya malam exam” kerana kita penuntut ilmu dan bukanlah penuntut sijil semata-mata. Ketahuilah,jika kita gagal merancang kehidupan kita sebagai penuntut ilmu,maka kita sudah merancang untuk gagal dalam jihad ilmu ini.

gambar hiasan


Muhasabahlah seketika. Kita bakal memegang title “ustaz dan ustazah” berijazah syariah dari bumi anbiya’. Berapa juzu’ dari Al-Quran telah kita ingat? Berapa hadis sudah kita hafal? Tahukah kita apakah perbezaan fiqh dan usul fiqh? Tahukah kita apakah beza hadis marfu’ dan hadis mauquf? Tahukah kita perbezaan antara qawaid fiqhiah dan qawaid usuliyyah? Kenalkah kita nama penuh Imam empat mazhab? Tahukah kita manhaj Imam Syafie dalam mengeluarkan hukum? Tepuk kepala tanya akal.

Sahabat,
Ketahuliah,medan realiti di sana sedang menanti,maka jalanilah kehidupan di medan musafir ilmu ini dengan penuh erti.


tazkir_zikran@yahoo.com
1 April 2013
7.50 pagi


Friday, 29 March 2013

Satu ringkasan tentang Yahudi : Nikah dan Cerai



NIKAH DAN CERAI DI SISI YAHUDI

Nikah

Nikah disisi Yahudi adalah satu kewajipan terhadap setiap individu yang mencapai tahap umur baligh (13 tahun bagi lelaki dan 12 tahun bagi wanita). Jika didapati seseorang mencapai umur 20 tahun dan belum berkahwin,maka layak baginya laknat.

Perkahwinan pada sudut pandang mereka adalah seperti satu pakej jual beli wanita. Seorang lelaki membeli seorang wanita dari bapanya. Begitulah perumpamaan yang dapat diberikan. Apabila seorang lelaki berkahwin,maka dia dikecualikan dari ketenteraan selama setahun. Dia tidak dibenarkan terlibat dengan sebarang aktiviti yang menjauhkannya dengan isterinya dalam tempoh setahun.

gambar hiasan


Tidak dibenarkan bagi suami untuk menjimak isterinya ketika haid dan tujuh hari selepasnya. Ia dinamakan Fatrah Infisal (berpisah) di sisi mereka.

Antara perkara yang penting bagi mereka adalah tidak boleh (haram) untuk yahudi menikahi non-yahudi samada Muslim,Kristian, dan sebagainya. Non-yahudi disisi mereka adalah kafir. Sebarang pernikahan antara yahudi dan non-yahudi dianggap tidak sah disisi mereka.

Selain itu,Sang isteri disisi mereka tidak mempunyai sebarang hak untuk melakukan jual beli. Apabila bergelar isteri,setiap harta yang diperoleh dalam tempoh perkahwinan secara automatik menjadi milik suami kecuali mahar tertangguh yang boleh dimilik oleh si isteri selepas kematian si suami. Oleh itu,setiap harta yang dimiliki isteri menjadi milik si suami secara mutlak.

Beristeri lebih dari satu

Ta’ddud isteri dibenarkan syarak disisi yahudi dan tidak diletakkan had. Seorang lelaki boleh beristeri mengikut kehendaknya. Tetapi sebahagian daripada syarah di dalam Talmud mengurangkan had hanya empat orang isteri.

Tetapi pada pertengahan kurun seorang ketua agama yahudi bernama Jarshum bin Yahuda mengeluarkan fatwa mengharamkan ta’ddud isteri kerana melihat penghinaan dan penganiyaan terhadap isteri dengan sebab perkara ini.

Cerai

Cerai disisi yahudi adalah hak ditangan suami. Suami berhak menceraikan isterinya walaupun tanpa sebarang sebab. Namun bagi lelaki dari kalangan ahli yang baik,maka mereka tidak layak menceraikan isteri kecuali dengan sebab yang patut.

Antara sebab cerai yang diterima adalah : Zina,Tidak dapat melahirkan anak,aib pada diri samada fizikal atau maknawi (akhlak).

Bagi isteri juga hak untuk meminta cerai jika didapati pada suami aib samada tidak dapat melaksanakan tugas sebagai suami. Namun sebarang keputusan hanya dapat ditentukan oleh ketua agama samada cerai dijatuhkan atau tidak.

Selagimana ketua agama tidak menjatuhkan hukum cerai,maka mereka masih bergelar suami isteri. sebarang perkahwinan baru dianggap tidak sah selagimana penceraian belum disahkan oleh ketua agama. Anak yang lahir dari perkahwinan baru dianggap anak zina.



Yabbum

Sekiranya seorang isteri kematian suami dan tidak mendapat anak dengan suaminya itu,maka wajib baginya untuk berkahwin dengan saudara lelaki (abang atau adik) suaminya itu. Dan anak pertama yang lahir dari perkahwinan itu di’bin’kan kepada si mati.Sang janda digelar Yabamah. Si isteri tidak boleh berkahwin dengan orang lain kecuali saudara lelaki si mati berlepas diri darinya. Sebahagian mazhab dalam yahudi menganggap perkara ini sudah dimansuhkan.

Mirath (harta warisan)

Secara umum,wanita tidak mewarisi sebarang harta warisan. Harta warisan hanya akan diwarisi oleh anak lelaki samada anak itu lahir hasil pernikahan yang sah atau tidak. Syariat yahudi menjelaskan bahawa tiada harta warisan yang diwarisi oleh  ayah,isteri,anak perempuan,saudara perempuan dan seterusnya dari kalangan ahli kerabat.

Jika si mati tidak mempunyai anak,maka hartanya diwarisi oleh cucu lelakinya. Jika tiada cucu,barulah diwarisi oleh anak perempuannya. Jika tiada anak perempuan,maka ia diwarisi oleh cucu perempuannya. Begitulah seterusnya.

Jika si mati tidak mempunyai keturunan (anak,cucu),maka harta diwarisi oleh Usul iaitu ayahnya mendapat semua harta. Jika tiada ayah,maka datuk dari ayahnya. Jika tiada juga,harta warisan berpindah kepada kaum kerabat yang terdekat. Jika tiada orang yang layak menerimanya atau menuntutnya,maka sesiapa sahaja yang cepat mendapatkannya akan menjadi penjaganya dalam tempoh 3 tahun. Jika tiada sesiapa daripada kaum kerabat yang menuntut harta tersebut,maka ia akan menjadi milik kepada si penjaga itu.

Wallahu’alam.


Ringkasan dari kitab Muqaranah Adyan karya Profesor Doktor Muhammad Ahmad Khatib
Profesor bahagian Akidah dan Perbandingan Agama –Kuliah Syariah-Universty of Jordan

Tuesday, 26 March 2013

Tokoh Bestari



“ Macam mana nak study. Baca buku tak faham ja”, adu seorang sahabat.
“ InsyaAllah Kheir. Teruskan baca. Kalau tak faham boleh tanya pensyarah”,balas aku.
“Enta lain. Enta takpa la.Tokoh Bestari. Pala otak terer. Ana bukan macam enta. Ana cap koman”,balas sahabat merendah diri.

Aku terfikir.

Beberapa minggu yang lalu dinobatkan sebagai Tokoh Bestari. Mungkin pada pandangan manusia,namun hanya Allah yang mengetahui siapa yang lebih bestari. Kemudian,menerima mesej daripada beberapa orang sahabat memohon dikongsikan cara bagaimana untuk study.

Mind Setting

Apabila disebutkan bagaimana cara untuk belajar atau memahami pelajaran,ia berkaitan banyak perkara. Perkara pertama adalah berkaitan bagaimana kita melihat dan mengiktiraf diri kita.

Manusia dilahirkan dengan keadaan yang sama sepertimana disebut oleh Allah di dalam Surah An-Nahl :

Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur.”



Manusia dilahirkan dalam keadaan tanpa berpengetahuan. Tidak wujud disana bayi yang dilahirkan mempunyai kemahiran membaca dan mengira kerana sunnatullah telah mengatur peringkat kejadian manusia.

Namun,bagaimana manusia itu memanfaatkan pendengaran dan penglihatan yang Allah berikan dalam usaha mendapatkan ilmu. Itulah yang membezakan antara manusia. Sebahagian manusia melatih diri dengan sifat rajin dan semangat yang tinggi dalam menuntut ilmu,sedangkan sebahagian yang lain meletakkan satu tempurung menutup minda dari belajar.

Letakkan satu mind setting yang tepat sebelum kalian memulakan pelajaran. Minda manusia mempengaruhi dalam kita mempelajari ilmu. Jika kita meletakkan keyakinan untuk memahami ilmu demi Allah,nescaya Allah akan memudahkan pembelajaran kita.

Suka untuk saya naqalkan kata-kata pensyarah yang saya minati iaitu Doktor Hamad Hamid,katanya :

“ Kamu tidak memilih untuk lahir sebagai melayu. Kamu juga tidak memilih untuk lahir sebagai Islam. Kamu juga tidak pernah memilih untuk lahir dalam kalangan yang kaya atau miskin. Beribu bapakan seorang pensyarah atau pesawah. Semua itu adalah ketentuan Allah dan kamu tidak ada hak untuk memilih. Namun ,sekarang kamu diberikan pilihan samada hendak belajar dan berjaya atau malas dan gagal. Di sini bermula pilihan kamu. Ramai daripada Ulama terdahulu dari kalangan bangsa bukan Arab. Lihatlah imam Bukhari,Muslim dan sebagainya. Mereka bukanlah dari kalangan bangsa Arab. Namun semangat dan tekad mereka telah meletakkan mereka dikalangan insan yang dimuliakan Allah s.w.t. Apa yang penting kamu harus rajin dan mempunyai semangat yang tinggi dalam mengejar ilmu Allah”

Aku terkesan dengan kata-kata ini. Ayah aku bukanlah seorang pensyarah mahupun graduan university. Begitu juga ibu ku. Namun aku yakin dengan sunnatullah yang telah diatur dalam kehidupan ini.

Oleh itu,langkah pertama dalam mengejar ilmu Allah. Betulkan mind setting. Setkan niat kerana Allah. Rajin dan kuatkan semangat.

gambar hiasan





p/s : sesungguhnya hamba ini tidak tahu bagaimana ingin berkongsi cara study. Hanya insan yang dekat dengan diri ini mengetahui bagaimana hamba study.

Wednesday, 20 March 2013

Siapa yang patut saya undi?


Saya meletakkan prinsip dalam berblog iaitu mengelakkan copy and paste. Diniatkan dengan ikhlas nak tulis blog with my own word. Tetapi kali ini terpaksa keluar dari hukum asal. Saya teringin berkongsi sesuatu yang dirasakan amat penting. Berkaitan Pilihanraya Umum ke-13. Isunya : Hukum mengundi calon bukan Islam.

Dari segi ilmu,saya belum mampu mengupas tajuk berkaitan siasah secara mendalam. Bagi mengelakkan saya mengatakan sesuatu yang bukan pada ahlinya,saya cuba berkongsi satu susun kata yang ditulis oleh seorang Ayahnda yang dihormati iaitu Ustaz Anhar Bin Opir (calon PhD Universiti Urduniyah )

Jom bersama kita teliti perkara ini..



CALON MUSLIM vs NON MUSLIM

1. Bahang Pilihanraya Umum (PRU) ke 13 Malaysia yang bakal diadakan pada bila-bila masa sahaja menjadi lebih hangat dengan isu calon muslim apabila bertembung dengan calon non muslim di satu-satu kawasan. Sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Dewan Rakyat (Parlimen), terdapat pandangan daripada satu kumpulan yang mengharamkan undi kepada non muslim. Adakah tepat istinbat (kaedah keluar) hukum ini?    


2. Kumpulan ini juga menegaskan bahawa hukum ini terpakai walaupun pertembungan berlaku di antara calon muslim yang jahat dengan calon non muslim yang baik. Kayu ukur mereka adalah agama, walaupun seseorang itu jahat dan zalim tetapi jika beragama Islam maka kita wajib undi dan sokong kerana lebih ‘afdhal’ berbanding non muslim yang baik tadi. Selain itu mereka menganggap dengan mengundi non muslim sehingga menyebabkan menang, ini membawa kepada wilayah (kekuasaan) non muslim ke atas orang-orang Islam.



3. Mereka menyandarkan hukum ini kepada beberapa dalil ayat al-Qur’an, antaranya firman Allah SWT dalam surah al-Nisaa’ ayat 141:

وَلَنْ يَجْعَلَ اللَّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلًا

Maksudnya: Dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman.



4. Seringkali juga mereka bersandarkan firman Alah Azza wa Jalla dalam surah Ali Imran ayat 28:

لَا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ ۖ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَلَيْسَ مِنَ اللَّهِ فِي شَيْءٍ

إِلَّا أَنْ تَتَّقُوا مِنْهُمْ تُقَاةً ۗ

Maksudnya: Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan yang demikian maka tiadalah dia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu).



5. Juga firman Allah SWT yang mempunyai sighah yang sama dalam surah al-Nisaa’ ayat 144:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ ۚ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman.



TELITI DALAM ISTINBAT

6. Ayat-ayat ini secara zahirnya melarang kita daripada mengambil non muslim sebagai kawan, penolong, dan termasuk juga calon untuk diundi hingga menjadi ketua yang mempunyai kuasa. Namun istinbat hukum haram mengundi calon non muslim menerusi ayat ini memerlukan ketelitian dan penguasaan ilmu Usul al-Feqh. Ini kerana tidak semua teks ayat al-Qur’an boleh kita bergantung kepada zahirnya sahaja, bahkan terdapat ayat-ayat al-Qur’an pada dalalah (pendalilan) hukumnya adalah mu’allalah (bersebab). Selain adakah ia bersifat mutlak kepada semua non muslim atau muqaiyyad (terikat) untuk sebahagian daripada mereka sahaja? Seterusnya adakah kita telah kumpulkan semua ayat al-Qur’an yang berkaitan dengan non muslim sehingga kita boleh buat kesimpulan dan istinbat hukum haram?



7. Mungkin kumpulan tadi terlupa atau tidak bertemu dengan firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahanah ayat 8-9:

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ . إِنَّمَايَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَىٰ إِخْرَاجِكُمْ أَنْ تَوَلَّوْهُمْ ۚ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ.

Maksudnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.



8. Menerusi ayat ini, Allah Azza wa Jalla telah membahagikan non muslim kepada dua kumpulan; pertama adalah yang baik kepada orang-orang Islam, tidak memerangi dan mengusir muslimin dari kediaman mereka. Manakala kumpulan kedua adalah yang memusuhi, ,memerangi dan mengeluarkan orang-orang Islam dari rumah-rumah mereka. Kumpulan ini seperti Musyrikin Mekah yang telah menyakiti dan menghalau nabi SAW dan umat Islam. Inilah kumpulan yang kita tidak boleh berkawan dan mengundi mereka. Adapun kumpulan yang pertama, kita tidak dilarang untuk berkawan dan mengundi mereka berdasarkan dalalatu al-nas yang tidak perlukan sebarang ta’wil. Maka ayat ini telah mengikat (qayd) mutlaknya ayat-ayat yang digunakan oleh kumpulan yang mengharamkan undi kepada non muslim.



9. Di samping itu, ayat yang melarang kita mengambil non muslim sebagai kawan rapat serta penolong, illah (sebab) nya bukan semata-mata kufurnya mereka kepada Islam. Firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahanah ayat 1:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمْ أَوْلِيَاءَ تُلْقُونَ إِلَيْهِمْ بِالْمَوَدَّةِ وَقَدْ كَفَرُوا بِمَا جَاءَكُمْ مِنَ الْحَقِّ يُخْرِجُونَ الرَّسُولَ وَإِيَّاكُمْ ۙ أَنْ تُؤْمِنُوا بِاللَّهِ رَبِّكُمْ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (SAW) dan juga mengeluarkan kamu disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu.



10. Ayat ini telah menafsirkan ayat-ayat yang awal di atas, bahawa larangan Allah Azza wa Jalla menjadikan non muslim sebagai kawan rapat dan penolong bukan hanya kerana tidak berimannya mereka, tetapi juga bergabung dengan illah (sebab) lain iaitu menghalau dan mengusir nabi SAW dan umat Islam daripada kediaman mereka tanpa hak. Oleh itu, jika seorang non muslim hanya sekadar tidak beriman tanpa illah (sebab) kedua iaitu menghalau, maka tiada larangan.



11. Ini lebih jelas lagi dengan firman Allah SWT dalam surah al-Mujadalah ayat 22:

لَا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ

Maksudnya: Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan rasulNya,



12. Daripada ayat ini menunjukkan bahawa larangan berkawan dan menyokong non muslim adalah bagi yang menentang Islam. Maka mafhumnya adalah sebaliknya iaitu tiada larangan bagi non muslim yang tidak menentang Islam. Persoalannya ialah bagaimana pula dengan calon muslim yang terang-terang menentang, mempersenda dan menolak Islam menerusi ucapan dan tulisan meraka?



13. Mengetahui perbahasan ayat-ayat di atas menjadikan kita faham dan memperhalusi maksud muwalat (penguasaan) non muslim yang sebenarnya dilarang oleh Islam. Dengan kefahaman tersebut kita terhindar daripada kesilapan memetik dan istinbat hukum hanya kerana baru berjumpa dengan satu ayat al-Qur’an yang belum tentu dalalah (pendalilan) nya qat’ie (putus dan pasti). Ia keliru dan mengelirukan!



14. Calon yang menang dalam pilihanraya nanti bakal menjadi seorang wakil rakyat bukannya khalifah, Imam atau ketua negara. Itu pun bukannya wakil kepada kesemua rakyat tetapi hanya mewakili satu juzu’ daripada jumlah rakyat di seluruh negara (kerusi Parlimen) atau negeri (kerusi DUN). Al-Qaradhawi menjelaskan:

Sesungguhnya al-niyabah (perwakilan) ini merupakan wakil kepada sebahagian orang ramai dalam kawasan tertentu, ia tidak dianggap dalam bab al-imarah (kepimpinan) dan al-wilayah (kekuasaan) yang hadith melarang bersungguh-sungguh atau memintanya. Seorang wakil (rakyat) bukannya ketua, menteri atau gabenor, tetapi dia mewakili kawasannya dalam dewan yang berfungsi untuk menegur kepimpinan, penguasa dan para menteri. Oleh itu, dia menegur bukannya yang ditegur. (al-Qaradhawi: Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam, Dar al-Syuruq, hlmn 194)



KUASA TERHAD

15. Kuasa seorang wakil rakyat di Malaysia terhad dan terbatas, dikawal dan terikat dengan undang-undang serta perlembagaan negara. Apatah lagi ingin menyentuh sebarang urusan yang berkaitan dengan agama Islam, perlu melepasi dan mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung dan Majlis Raja-raja. Tambahan pula jumlah non muslim tidak majoriti dalam DUN atau Parlimen. Dan pasti wakil-wakil rakyat muslim akan bersuara dan berperanan mempertahankan. Melainkan jika mereka hanya datang untuk tunjuk muka kepada ‘bos’ serta klim tambang hadir persidangan semata-mata!



16. Tidak mempunyai kuasa penuh dan terhad ini yang menyebabkan al-Mawardi (450H) membenarkan ahli al-Zimmah boleh dilantik menjadi menteri yang hanya bersifat membantu melaksanakan dan melicinkan kerja seorang ketua negara. Kata al-Mawardi:

Harus seorang menteri (tanfiz) itu daripada ahli a-Zimmah meskipun dia tidak boleh memegang jawatan menteri tafwidh (mendapat kuasa). Perbezaan di antara kedua-dua kementerian ini berdasarkan perbezaan dua kuasa, yang demikian itu dari empat aspek; salah satunya ialah menteri tafwidh berkuasa untuk menentukan hukum dan menghapuskan kezaliman, sedang ini tiada pada menteri tanfiz. (al-Mawardi: al-Ahkam al-Sultaniyah, Dar al-Kutub al-Ilmiah, hlmn 28)



17. Menurut al-Mawardi, menteri tanfiz (pelaksana) bidang kuasanya tertakluk kepada arahan imam (ketua negara). Ini berbeza dengan menteri tafwidh yang mendapat kuasa penuh untuk melakukan sebarang tindakan berdasarkan kehendak dan pendapatnya. Abu Ya’la al-Farra’ (458H) juga menyokong pendapat ini, iaitu dalam hal tiada kuasa penuh bahkan terbatas dan terhad, katanya:

Dan al-Kharqi menyebut sesuatu yang menunjukkan bahawa harus seorang menteri tanfiz itu dalam kalangan ahli al-Zimmah, kerana dia membenarkan pemberian satu juzu’ daripada zakat kepada mereka jika mereka menjadi amil, lalu diberikan kepada mereka hak ke atas kerja mereka. Ini menunjukkan hukum harus perlantikan mereka. (Abu Ya’la: al-Ahkam al-Sultaniyah)



18. Hal ini tidak bercanggah dengan pendapat Imam al-Haramain al-Juwaini (478H) yang tidak membenarkan ahli al-Zimmah memegang jawatan menteri. Kerana yang dimaksudkan oleh al-Juwaini adalah menteri yang mempunyai kuasa penuh dan bebas dalam bertindak, serta berkaitan dengan syarat periwayatan dan persaksian, kerana wakil rakyat di Malaysia tidak begitu sifatnya. Al-Juwaini menyatakan:

Sesungguhnya kepercayaan perlu untuk dijaga, seorang zimmi itu tidak boleh dipercayai dalam perbuatan dan kata-katanya, begitu juga gerak-gerinya. Periwayatannya ditolak, demikian juga dengan persaksiannya ke atas orang-orang Islam, jadi bagaimanakah diterima kata-katanya pada perkara yang bakal menjadi sandaran dan rujukan imam (ketua negara) orang-orang Islam. (al-Juwaini: Ghiyath al-Umam fi al-Tiath al-Dzulam, Dar al-Dakwah, hlmn 114)



19. Ini dalam hal melantik menteri, adapun wakil rakyat ia lebih rendah darjatnya dan tidak sepenting jawatan menteri. Keadaan dan sistem yang berbeza juga menyebabkan kita perlu menilai dan meneliti setiap perbezaan ungkapan para ulama’. Yang salah bukan pandangan mereka, tetapi kita yang sering silap menggunakan secara pukul rata untuk semua perkara sedangkan konteksnya berbeza. Sistem pentadbiran negara Malaysia yang berasaskan demokrasi berperlembagaan tidak sama dengan sistem khalifah pada kurun-kurun awal Islam. Walaupun berkongsi istilah seumpama menteri dan kementerian, namun ia belum tentu sama pada perlaksanaannya.  



20. Selepas tiada teks dalil yang qat’ie (putus dan pasti) melarang daripada mengundi calon non muslim dalam PRU, maka masolih mursalah menjadi sandaran kepada keharusan hukum mengundi mereka. Ini kerana kita tidak boleh menafikan kewujudan mereka di Malaysia yang mewakili hampir 40 peratus daripada jumlah keseluruhan rakyatMalaysia. Mereka akan mewakili suara non muslim di dalam sidang DUN atau Parlimen. Maka maslahat dan kepentingan wujud di sini untuk didengar pandangan serta tuntutan mereka guna memelihara hak mereka yang dijamin oleh Islam sebagai kumpulan minoriti.



21. Jangan kerana ingin menang mudah dalam PRU dan menafikan hak orang lain, dengan senang kita meletakkan hukum haram mengundi calon non muslim. Tindakan ini bakal mematikan keanjalan dan kesyumulan syari’at Islam sebagaimana para sahabat yang telah menyebabkan kematian sahabat mereka sehingga ditegur oleh nabi SAW kerana kesilapan memberi fatwa. Diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA katanya:

أَصَابَ رَجُلًا جُرْحٌ في عَهْدِ رسول اللَّهِ  صلى الله عليه وسلم  ثُمَّ احْتَلَمَ فَأُمِرَ بِالِاغْتِسَالِ فَاغْتَسَلَ فَمَاتَ فَبَلَغَ ذلك رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم  فقال قَتَلُوهُ قَتَلَهُمْ الله أَلَمْ يَكُنْ شِفَاءُ الْعِيِّ السُّؤَالَ

Maksudnya: Seorang lelaki cedera pada zaman nabi SAW, kemudian bermimpi, disuruh kepadanya mandi, lalu dia pun mandi dan meninggal dunia. Kisah itu sampai ke pengetahuan nabi SAW lalu nabi bersabda: mereka telah membunuhnya, Allah akan membunuh mereka. Bukankah ubat bagi orang yang tidak tahu adalah bertanya. (Riwayat Abu Daud)



22. Kesimpulannya, tiada dalil qat’ie yang melarang untuk mengundi calon non muslim dalam PRU di Malaysia. Ia termasuk dalam siasah syar’iyah bagi pemerintah untuk membenarkan pencalonan mereka atas dasar maslahat kumpulan minoriti. Wallahu a’lam.




Anhar Opir
29 Rabi’ al-Akhir 1434H  
Sweileh, Amman

copy and paste from http://hjanhar.blogspot.com/2013/03/calon-muslim-vs-non-muslim.html




Tuesday, 19 March 2013

Persatuan ( Part 2)



Assalamualaikum wbt..

Aku berhenti membaca kitab “Kehidupan Abu Hanifah” karya Imam Abu Zuhrah. Agak pening. Mungkin kerana sudah lama tidak membaca helaian yang banyak dalam satu malam. Mungkin juga kerana menjumpai istilah-istilah serta ilmu baru yang tak pernah ditemui.

Hari ini masuk hari keempat bergelar ahli biasa dalam PRISMA. Semua sama sahaja. Tidak ada beza. Mungkin beza hanya pada masa. Agak kosong dan akan dipastikan ianya diisi sebaiknya kerana masa kosong adalah racun buat penuntut ilmu.

Sungguh.. Berkhidmat di dalam MPKJ tidak sama pengalamannya seperti berkhidmat di dalam PRISMA. Dalam MPKJ mungkin pertemuan atau meeting jarang dilakukan kerana jarak yang jauh antara pimpinan. Memimpin MPKJ melatih aku melihat dalam satu view sejordan dalam menjaga kebajikan anak kedah. Namun,PRISMA mengajar aku tentang banyak perkara yang berbeza.

Melihat team kepimpinan baru dengan semangat serta keazaman mereka,aku yakin mereka mampu membawa PRISMA ke arah yang lebih baik. Satu team yang dipimpin oleh sahabatku,Aizuddin Kamal dan Fadhilah Mat Ripin pasti membawa perubahan yang padu untuk PRISMA.

Presiden Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Al-alBayt  (PRISMA)
sesi 2013/2014


PRISMA mempunyai  560 orang ahli. Semakin ramai ahli,semakin banyak ragam dan pemikiran yang muncul. Di sana aku diajar untuk memahami setiap pemikiran mereka. Ada yang lebih ke arah salafi,ada yang sufi,ada yang ISMA,ada yang anti ISMA, ada yang kuat berpesatuan,ada yang kuat mengaji dan pelbagai lagi ragam manusia yang aku temui dalam komuniti PRISMA.

Secara kesimpulan yang dapat aku katakan,mengurus persatuan bukanlah seperti mengurus sebuah negara kerana asas terbentuknya persatuan adalah lebih ke arah memudahkan pengurusan pelajar di Jordan. Memimpin negara mungkin bersifat makan gaji. Berbeza sama sekali. Mengurus persatuan adalah lebih bersifat khidmat diri. Di sana wujudnya insan-insan yang berhati cekal yang merelakan diri berkhidmat buat sahabat-sahabatnya yang lain.

Bukanlah tujuan kedatangan mereka (baca: pimpinan) ke Jordan untuk berkhidmat dalam persatuan. Aku yakin andai disoal tujuan kedatangan mereka. Pasti akan dijawab untuk belajar. Oleh itu,tatkala kalian mengkritik pimpinan,kritiklah bersama cadangan penambahbaikan. Jikalau dikritik dengan kritikan membunuh,pasti akan ada jiwa terkorban.

Antara Hak dan Tanggungjawab

“ Seorang pelajar menuntut haknya untuk lulus peperiksaan sedangkan tanggungjawabnya untuk hadir ke kuliah tidak dilaksanakan”

Kadang-kadang kita terlalu menuntut hak kita sehingga terlupa tanggungjawab kita yang belum dilksanakan. Berlaku adil lah!

Kita seringkali bertanyakan di manakah hak kita. Namun kita juga selalu menutup tanggungjawab kita yang belum terlaksana. Kita menuntut syurga tanpa beriman kepadaNya. Berlaku adil lah!

Mungkin sebagai muhasabah bersama di dalam persatuan supaya berlaku give and take. Tuntutlah hak sebagai ahli dan laksanakanlah juga  tanggungjawab sebagai ahli . Berikanlah hak mereka sebagai pimpinan dan tuntutlah juga tanggungjawab mereka ke atas kita.

GEN 18


Terima kasih buat teman GEN-18 yang padu dibawah nakhoda Nihad Mat Nor dan Aisyah Che Sulong bersama sahabat-sahabat yang lain. Satu gerak kerja dan ukhuwwah yang terbentuk atas dasar iman pasti akan kekal selamanya. Selamat maju jaya buat GEN-19.

Yang benar,
Mantan Setiausaha Agung PRISMA 12/13


p/s : mendapat mesej untuk menulis tentang cara study. Mungkin sebab aku dapat anugerah hari tu. Anugerah apa yer??


Saturday, 16 March 2013

Persatuan ( Part 1)




“Ana nak tarik diri. Ana tak mampu nak jadi pemimpin”.

Itu antara kalimah yang aku sebut sewaktu tercalon sebagai Yang diPertua Majlis Pelajar Kedah Jordan (MPKJ) 2011/2012. Agak sukar bagiku untuk memimpin sedangkan aku baru di tahun pertama melangkah ke tahun dua pengajian.

Pengumuman barisan kabinet yang memenangi pilihanraya. Aku tersenarai. Aku kabur.

Hampir 12 bulan bersama sahabat-sahabat pimpinan mengatur dan mengurus persatuan ini. Sahabat-sahabat yang aku anggap umapama adik beradik aku sendiri. Mungkin sekarang mereka sudah mempunyai haluan masing-masing.

Kak amalina YDPAH
Idzudin zubit SU paduu..thn ni YDP paduu.. lani AMT PERMAI paduu..
Kak safarah dah jadi cekgu.
Fahmi cop scorer JUST.
Fatimah khalil YDPH MPKJ sesi ni.

Barisan AME dan perwakilan. Ehsan sebri,fuad rahim,nabil nasir,wafir,faieqa,hani aiman,atiqah bahrin,kak qatrunnada. Ashraf razak,suady taw,musa ,adha,haziq,fauwiza,nusaibah,kak izzati,atikah che wan. Satu kumpulan sahabat yang amat padu.



Banyak masalah yang kami hadapi bersama. Banyak saat manis dan duka dikongsi bersama.

Mungkin perkataan “tak mampu menjadi pemimpin” perlu difikirkan semula.

Satu anugerah buat aku yang sangat berharga iaitu pengalaman memimpin dan berada bersama masyarakat.

Sesungguhnya istilah padu yang ku perolehi adalah berasal dari MPKJ ini sendiri.

~PERPADUAN ASAS KECEMELANGAN~

http://www.youtube.com/watch?v=IG7Tdedy594

-pilihanraya MPKJ 2013/2014 around the corner-


Tuesday, 12 March 2013

IDEA-IDEA UNTUK PRISMA



Saya tercalon untuk bertanding di kerusi Presiden Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Al-alBayt,Jordan  dalam singkatan disebut PRISMA. Satu perkara yang agak menggusarkan saya. Semenjak saya berada di Jordan selama 3 tahun,sudah dua kali saya berada di kerusi tertinggi. Tahun lepas sebagai Yang diPertua Majlis Pelajar Kedah Jordan,tahun ini sebagai Setiausaha Agung PRISMA. Saya cuba mengelak buat kali ketiga. Namun perancangan saya gagal.

PIMPINAN SESI 2012/2013


Mengapa saya cuba mengelak?

Mungkin memikirkan untuk memberi peluang kepada sahabat-sahabat yang lain untuk memimpin dan merasai pengalaman memimpin. Mungkin juga kerana saya mahu menumpukan kepada Baitulhikmah Enterprise dalam usaha mengembangkannya lagi. Mungkin juga kerana saya mahu menumpukan lebih banyak masa dalam kelas pengajian talaqqi dan membuka kelas-kelas tutorial. Mungkin juga kerana saya malas. Semua itu antara kemungkinan yang menerjah minda.


Apa yang saya lakukan tatkala nama dicalonkan?

Saya memikirkan untuk menarik diri namun ada sahabat yang menasihati supaya saya menghidupkan persaingan di kerusi Presiden. Saya bertanding jua. Namun dalam masa yang sama saya memberi kempen yang padu buat sahabat lawan saya sedangkan sahabat-sahabat yang menyokong saya tegar dengan mengempen untuk saya.

Ada yang bertanya tentang manifesto saya. Apakah manifesto anda?

Di hari pembentangan manifesto tempoh hari saya dengan jelas mengatakan saya tiada manifesto untuk dibawa. Saya tak pernah memikirkannya dan tidak mahu memikirkannya. Semalam seorang yang saya hormati menghantar mesej menanyakan manifesto saya,dan saya tetap dengan jawapan saya.
Sepanjang malam saya berfikir,haruskah aku meletakkan manifesto untuk insan-insan yang mencalonkan diriku. Atas nama demokrasi dan menghidupkan persaingan sihat,saya cuba letakkan beberapa perkara dalam melahirkan pertandingan idea dikalangan mahasiswa.

1..Mengembalikan nafas baru kepada 4 item penting dlm persatuan..akademik,kebajikan,ukhuwwah dan softskill dgn menguptimumkan biro2 dan kelab yg ada dlm membawa perubahan kpd PRISMA dari sudut pengurusan,keterbukaan dan kematangan ahli..

2. Meletakkan asas khidmat diri dalam PRISMA dengan memberi ruang kepada ahli untuk mencurah bakti dalam segenap bidang di bawah seliaan PRISMA dalam proses menjadikan PRISMA sebagai medan khidmat ahli.

Idea-idea yang lain yang saya fikirkan sudah banyak diketengahkan oleh calon-calon yang lain. Moga dengan dua idea ini mampu membantu dalam proses mematangkan lagi pilihanraya PRISMA.

Semoga dengan dua idea ini mampu memberikan kepuasan buat insan-insan yang mencalonkan saya di kerusi ini. Ketahuilah sesungguhnya amanah itu amat berat dan akan dipersoalkan.

Wallahua’lam..

ATIQULLAH MURSYID BIN ABDUL HALIM
CALON PRESIDEN PRISMA 13/14
USULUDDIN
UNIVERSITI AL-ALBAYT

Thursday, 7 March 2013

Kamu Bukan Penuntut Ilmu


Assalamualaikum wbt..

Dah lama tak menulis. Terasa kekok dan kaku. Lesu dan kurang padu. Saat berjalan pulang dari kuliah,teringat taujihat dan kata-kata guruku. Beliau antara pensyarah yang kuminati. Entah mengapa. Mungkin kerana taujihatnya yang selalu menggugah jiwa penuntut ilmu. Doktor Hamad Hamid adalah panggilan yang masyhur. Pensyarah bahagian Fiqh wa Usuluh dan seorang yang pakar dalam ilmu usul fiqh.

Antara kata-katanya :

“ Seorang penuntut ilmu yang sebenar adalah seorang yang mempunyai semangat dan usaha yang tinggi. Lihatlah kepada Imam-imam mujtahid terdahulu. Mereka tiada kemudahan perhubungan. Tiada kapal terbang,tiada kereta,tiada whats up,tiada facebook,tiada internet. Namun berbekalkan semangat dan usaha,mereka bermusafir berbulan-bulan lama demi sedikit ilmu. Bahkan mungkin satu hadis. Cuba kamu bayangkan jika mereka hidup pada zaman kini yang mempunyai kemudahan perhubungan. Sudah tentu mereka akan mencapai tahap keilmuan yang lebih tinggi. Namun kamu yang menamakan diri kamu sebagai “penuntut imu” amat malas untuk membaca. Malas untuk mengkaji. Kitab sudah siap tercetak,bahkan sudah dapat diperolehi dengan mudah. Namun kalian tiada semangat dan usaha sebagi penuntut ilmu. Kamu bukanlah PENUNTUT ILMU”.

Satu kata-kata yang membuatkanku pulang ke rumah membelek helaian demi helaian kitab yang sudah lama tak kusentuh.



Hari ini taujihatnya kembali menggugah jiwaku. Katanya:

“ Seorang ulama itu biarpun telah lama mati,namun mereka seakan-akan hidup. Nama mereka sering disebut-sebut dalam majlis ilmu. Biarpun umur kehidupan mereka singkat,namun umur ilmu mereka kekal hingga hari ini. Kamu pergilah ke negara mana sekalipun. Nama Imam As-Syafie,Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Malik, Imam Abu Hanifah tetap disebut-sebut hingga hari ini. Tulisan mereka dibaca dari generasi hingga generasi seterusnya. Kamu menganggap mereka telah mati,tetapi mereka tetap hidup hingga hari ini.”

“Tahukah kalian,kewujudan mereka mengubah masyarakat. Masyarakat amat berhajat kepada ilmu mereka,namun mereka tidak pernah berhajat kepada dunia atau harta manusia. “

Kata-kata terakhir guruku membuatkan aku terfikir,

“Kewujudan mereka memberi kesan terhadap masyarakat. Mereka mengubah masyarakat.Oleh itu, lihatlah kewujudanmu dalam masyarakat. Jika kewujudanmu tidak memberi kesan kepada masyarakat,lebih kamu tidak wujud di atas dunia.”

Antara berubah mengikut suasana atau menjadi agen pengubah suasana.

Kelas tamat.