Friday 14 June 2013

Secebis Pendapat : Mahar dalam bentuk manfaat



Assalamualaikum wbt..

Alhamdulillah. Segala puji hanya milik Allah S.W.T,selawat dan salam buat Nabi Muhammad S.A.W,para ahli bayt dan sahabat-sahabatnya.

Saudara,

Kebelakangan ini semakin ramai para sahabat saya yang bakal menamatkan zaman bujang dan beralih ke alam rumahtangga. Jemputan demi jemputan saya terima. Tak kesemua mampu saya hadiri. Namun doa saya tetap akan mengiringi kalian.

Barakallahulakuma wa jama’a bainakuma bilkhair..



Saudara,

Keputusan menuju ke gerbang perkahwinan bukanlah satu keputusan yang mudah. Hanya mereka yang bersedia dengan persediaan yang cukup mampu melangkah ke gerbang ini kerana alam perkahwinan adalah satu alam baru yang menuntut tanggungjawab dan persediaan yang mantap dari mereka yang bakal menempuhnya.

Apabila berbicara soal perkahwinan,di sana ada satu perkara biasa yang dibincangkan samada oleh mereka yang bakal berkahwin mahupun mereka yang belom bersedia untuk kahwin iaitu mas kahwin (mahar).

Apakah itu mahar?

Mahar dalam bahasa yang paling mudah disebutkan adalah hadiah atau pemberian dari sang suami kepada si isteri samada dalam bentuk wang atau sebagainya. Dan hukum memberi mahar adalah wajib ke atas suami.

“ Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan ( isteri ) akan mas kahwin mereka itu sebagai pemberian ( yang wajib )”
 Surah An-Nisa’ (4)

Oleh itu,harus difahami oleh bakal-bakal suami sekalian bahawa mahar itu adalah wajib. Namun tidak disebutkan had yang paling rendah atau paling tinggi bagi mahar. Di sana terdapat pelbagai pendapat ulama tentang had mahar ini. Namun tiada satu ketetapan akan hadnya.

” Sebaik – baik perempuan adalah yang paling murah maharnya ” ( HR. ibnu Hibban, Hakim, Baihaqi, Ahmad )

Gambar Hiasan


Oleh hal yang demikian,terpulang kepada anda untuk memberikan samada segunung emas mahupun selaut mutiara buat bakal isteri anda. Mahar yang tinggi tidak menjanjikan sebarang kebahagiaan kerana ia bukanlah satu syarat untuk mencapai bahagia dalam rumahtangga. Yang penting mahar yang diberikan biarlah mampu menjadikan hidup anda tenteram dan selesa dalam menempuh alam rumahtangga.

Saudara,

Kebelakangan ini semakin ramai yang cuba memberi mahar yg dikatakan “Islamic” iaitu dalam bentuk bacaan Al-Quran (manfaat) kepada isteri. Maka,penuhlah mukabuku dengan video bacaan Al-Quran si suami kepada isteri. Ramai pula lah yang teringin dan ingin membaca Al-Quran di depan sang isteri biarpun selama ini jarang membaca Al-Quran.

Oleh itu,saya di datangkan persoalan. Apakah hukum mahar dalam bentuk manfaat (bacaan al quran misalnya)? Manakah yang lebih afdhal (terbaik). Dalam bentuk material (wang) atau dalam bentuk manfaat?

إنِّي لَفِي القومِ عندَ النَّبيِّ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ فقامتِ امرأةٌ فقالت يا رسولَ اللَّهِ إنَّها قد وهبَتْ نفسَها لكَ فَرَأْ فيها رأيَكَ فسكتَ فلم يُجِبها النَّبيُّ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ بشيءٍ ثمَّ قامَت فقالَ يا رسولَ اللَّهِ إنَّها قد وهبَت نفسَها لكَ فرأْ فيها رأيَكَ فقامَ رجلٌ فقالَ زوِّجنيها يا رسولَ اللَّهِ قالَ هل معكَ شيءٌ قالَ لا قالَ اذهَبْ فاطلُب ولو خاتَمًا من حديدٍ فذهبَ فطلبَ ثمَّ جاءَ فقالَ لم أجِدْ شيئًا ولا خاتَمًا من حديدٍ قالَ هل معكَ منَ القرآنِ شيءٌ قالَ نعم معي سورةُ كذا وسورةُ كذا قالَ قد أنكحتُكَها على ما معكَ منَ القرآنِ
                 سهل بن سعد الساعدي المحدث:الألباني - المصدر: صحيح النسائي - الصفحة أو الرقم: 3280 راوي:
خلاصة حكم المحدث: صحيح

Daripada Abi Hazim bin Dinar, daripada Sahal bin Sa’ad as-Sa’eidi r.a. bahawa Nabi s.a.w. didatangi seorang perempuan, lantas berkata: “Ya Rasulullah, sesungguhnya aku menghibahkan diriku kepadamu.” Maka perempuan itu berdiri lama (menanti jawapan). Maka seorang lelaki bangun seraya berkata: “Ya Rasulullah, nikahkan saya dengannya sekiranya engkau tidak berhajat kepadanya.” Rasulullah s.a.w. bertanya lelaki itu: “Adakah engkau memiliki sesuatu untuk dijadikan mas kahwin yang diberikan kepadanya?” Lelaki itu menjawab: “Aku tidak mempunyai sesuatu apapun kecuali kain yang aku pakai ini.” Baginda bersabda: “Sekiranya engkau berikan dia kain itu, engkau duduk dalam keadaan tidak ada kain. Maka carilah sesuatu!” Lelaki itu menjawab: “Aku tidak mempunyai sesuatu.” Nabi s.a.w. bersabda lagi: “Carilah, walaupun sebentuk cincin besi.” Lelaki itupun mencari, namun dia tidak menemui sesuatu. Maka Rasulullah s.a.w. berkata kepadanya: “Adakah di sisimu sesuatu (menghafaz) daripada al-Quran?” Lelaki itu menjawab: “Ya, surah sekian dan sekian.” (Dia menyebut surah-surah yang dihafaznya). Maka Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya aku nikahkan engkau dengannya dengan (mas kahwinnya) apa yang kamu ada daripada al-Quran.”

Hadis ini merupakan satu dalil yang jelas menunjukkan keharusan untuk memberi mahar dalam bentuk manfaat apabila si lelaki tidak mempunyai harta yang lain setelah disoal oleh Nabi.

Saudara,

Islam adalah agama rahmat dan meraikan fitrah manusia. Oleh itu,antara rahmat Islam adalah memudahkan perkara yang payah. Apabila tiada harta untuk berkahwin,maka Islam mengharuskan untuk memberikan mahar dalam bentuk manfaat.

Namun harus difahami konteks hadis tersebut bahawa si lelaki sudah disoal tentang hartanya. Maka,apabila ditanyakan tentang afdhal atau terbaik. Sudah tentu mahar dalam bentuk material adalah lebih baik.

Mahar ini amat penting buat si isteri kerana apabila berlaku sebarang perkara tidak diingini,dia sudah mempunyai persiapan dari sudut material yang sedia ada. Selain itu,mahar dalam bentuk material lebih bersifat boleh dipercayai dan sukar berlaku penipuan dan dapat dilihat serta disaksikan oleh semua pihak.

Saudara,

Saya bukanlah insan yang melawan mereka yang berusaha memudahkan urusan perkahwinan dalam sudut mahar. Tetapi saya cuba membawa mereka memahami bahawa mahar adalah satu perkara yang penting. Supaya tidak berlaku sebarang penipuan atau ketidakadilan terhadap wanita atas nama Islam.

Tidak dinafikan membaca Al-Quran di hadapan isteri adalah suatu benda yang baik (sweet orang kata). Namun,bukankah para sahabat kebanyakannya memberikan mahar dalam bentuk material kepada si isteri. Dapat kita lihat tatkala Nabi menyoal kepada Abdurahman bin Auf tentang mahar yang diberikan. Maka beliau menjawab,”aku memberikannya emas”.

Kesimpulan dan pendapat peribadi saya adalah lebih baik mahar diberikan dalam bentuk material bagi mereka yang mampu dalam aspek ini. Tidak perlu mengejar mahar yang kelihatan Islamic. Berilah mahar mengikut kemampuan anda. Tidak perlu mengejar mahar yang tinggi kerana anda bukanlah membeli anak dara orang.

Oleh itu,buat mereka yang mahu memberikan mas kahwin dalam bentuk manfaat tiada masalah. Namun,lebih baik andai diberikan dalam bentuk material (wang atau sebagainya).

Saudara,

Keikhlasan anda dalam urusan mahar menjadi penyumbang ke arah kebahagiaan rumahtangga anda. Jika betul-betul ingin membina rumahtangga dengan Al-Quran. Pastikan zuriat yang dilahirkan dibesarkan dalam suasana Al-Quran dan sentiasa dibacakan Al-Quran padanya. Itu baru sweet namanya.

Akhir kata,selamat pengantin baru buat sahabat-sahabat terutama sepupu tersayang, Arieffahmi Abdul Razak. Moga perkahwinan diberkati dan dirahmati Allah S.W.T. dan dikurniakan kebahagiaan hingga ke syurga.

This is my sepupu. Very smart. Patut akhowat JUST sangkut.







0 comments:

Post a Comment