Saturday, 27 April 2013

Satu Ringkasan : Solat Musafir


Assalamualaikum wbt..

Kebelakangan ini ramai yang bertanyakan kepada saya tentang hukum hakam berkaitan Solat Musafir. Kebetulan kelmarin selepas match Ping Pong (Karisma),kami sempat duduk makan dan berbual-bual. Timbul persoalan tentang perkara ini. Ramai yang bertanya :

"Camna Ustaz,boleh jamak ke tak"
" Ana dari Amman,boleh ke jamak"

Saya hanya senyum dan kata :

" Ana Doktor,bukan ustaz. JUST tahun 3",cuba berseloroh. Namun selepas itu cuba berkongsi sedikit sebanyak apa yang saya tahu. Namun saya belum puas dan merasakan ianya patut dijadikan tajuk post kali ini.

Sebarang kesalahan,saya mohon dimaklumkan kepada saya untuk pembetulan kerana saya masih lagi belajar. Sama-sama berusaha menjadi sempurna insyaAllah.




SOLAT MUSAFIR

Solat musafir bermaksud solat seseorang yang dalam satu perjalanan menuju ke suatu tempat tertentu. Sudah pasti di sana terdapat kesukaran dalam menunaikan solat. Oleh itu,Islam dengan konsep kesyumulannya sentiasa memberikan kemudahan buat umatnya. Solat ketika musafir secara umumnya terbahagi kepada dua iaitu Qasar dan Jamak.

Qasar (pendek)

1.            Secara ringkasnya,qasar adalah bermaksud pendek. Iaitu seseorang itu memendekkan rakaat solat daripada 4 rakaat kepada 2 rakaat. Qasar solat hanya dibenarkan untuk solat rubai’yyah (4 rakaat),iaitu memendekkannya kepada 2 rakaat. Manakala untuk solat maghrib dan subuh,tiada qasar padanya.

 وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ إِنْ خِفْتُمْ أَن يَفْتِنَكُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا إِنَّ الْكَافِرِينَ كَانُوا لَكُمْ عَدُوًّا مُّبِينًا 
(101)


Apakah hukum Qasar? Adakah wajib atau rukhsah?

2.            Persoalan ini terbahagi kepada 3 pendapat utama :

                1. Mazhab Hanafi : Berpendapat bahawa ia adalah wajib

                2. Mazhab Maliki (pandangan yang masyhur dalam mazhabnya : Berpendapat bahawa ia   adalah sunat muakad.

                3. Mazhab Syafie’ dan Hanbali : Berpendapat bahawa ia adalah rukhsah (kelonggaran) dan      dalam bentuk pilihan samada hendak menunaikan solat secara penuh (4 rakaat) atau qasar  (2 rakaat).

Berapakah jarak yang harus ditempuh oleh musafir untuk membolehkannya meng’qasar’kan solat?

3.            Secara ringkasnya,jarak yang dimaksudkan di sini adalah sekurang-kurangnya jarak yang harus ditempuh oleh si musafir. Mengapakah digunakan jarak dalam mengukur kerana jarak adalah satu ukuran yang tepat dalam menetapkan samada seseorang itu dalam musafir atau tidak. Sekiranya diukur berdasarkan masa,maka flight dari Jordan ke Mesir tidak sampai 2 jam,sudah tentu tidak boleh dianggap musafir. Boleh jadi situasi yang lain iaitu  terperangkan selama 10 jam dalam jem sedangkan jarak hanya beberapa kilometer sahaja, adakah boleh dianggap musafir. Oleh itu,jarak (KM ) adalah ukuran yang paling tepat dalam menetapkan seseorang itu dalam musafir atau tidak.dan masalah ini terbahagi kepada beberapa pendapat :

                1. Mazhab Hanafi : Sekurang-kurang jarak yang harus ditempuh adalah 3 hari 3 malam   perjalanan seorang yang berjalan kaki atau menaiki unta.

                Berdalilkan :

                حدثنا ‏ ‏إسحاق بن إبراهيم الحنظلي ‏ ‏قال قلت ‏ ‏لأبي أسامة ‏ ‏حدثكم ‏ ‏عبيد الله ‏ ‏عن ‏ ‏نافع ‏ ‏عن ‏ ‏ابن عمر ‏ ‏رضي الله 
عنهما أن النبي ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏قال ‏ ‏لا تسافر المرأة ثلاثة أيام إلا مع ذي ‏ ‏محرم

                Dan hadis Ali bin Abi Talib tentang Sapuan ke atas Khuf :

                ( جَعَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلاثَةَ أَيَّامٍ وَلَيَالِيَهُنَّ لِلْمُسَافِرِ ، وَيَوْمًا وَلَيْلَةً لِلْمُقِيمِ )
                2. Mazhab Maliki dan Hanbali : Berpendapat bahawa jarak yang perlu dilalui adalah lebih             kurang 4 burd bersamaan 48 mil bersamaan 89 KM (secara tepat 88.704 KM). Mereka tidak meletakkan secara had yang wajib. Sekiranya kurang satu mil atau beberapa mil,tidak  menjadi masalah.

                Berdalilkan :

                Perbuatan Ibnu Umar dan Ibnu Abbas :

                كان ابن عمر وابن عباس رضي الله عنهم يقصران ويفطران في أربعة برد وهي ستة عشر فرسخا

                3. Mazhab Syafie’ : Meletakkan had jarak yang perlu dilalui iaitu 4 burd bersamaan 48 mil      bersamaan 89 KM (secara tepat 88.704 KM) sekurang-kurangnya.

                Berdalilkan :

                Perbuatan Ibnu Umar dan Ibnu Abbas :

                كان ابن عمر وابن عباس رضي الله عنهم يقصران ويفطران في أربعة برد وهي ستة عشر فرسخا

                4. Mazhab Zohiri dan pendapat Ibnu Taimiyah : Tidak ada had,bahkan boleh dilakukan qasar dalam apa jua perjalanan yang dianggap safar.

                Berdalilkan dari surah An-Nisa’ ayat 101 :

                وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ إِنْ خِفْتُمْ أَن يَفْتِنَكُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا إِنَّ الْكَافِرِينَ كَانُوا لَكُمْ عَدُوًّا مُّبِينًا
Berapa harikah tempoh untuk qasar?

4.            Jika seseorang itu bermusafir selama beberapa hari dan sampai ke tempat yang ingin dituju. Berapa harikah tempoh untuknya qasar solat selama berada di tempat tersebut? Persoalan ini terbahagi kepada beberapa pandangan :

                1. Mazhab Hanafi : Berpandangan bahawa jika ia berniat untuk berada selama 15 hari dan ke atas maka hendaklah baginya solat secara sempurna (4 rakaat),jika kurang dari  tempoh itu,dibenarkan qasar.

                Berdalilkan :
حدثنا أحمد بن منيع حدثنا هشيم أخبرنا يحيى بن أبي إسحق الحضرمي حدثنا أنس بن مالك قال خرجنا مع النبي صلى الله عليه وسلم من المدينة إلى مكة فصلى ركعتين قال قلت لأنس كم أقام رسول الله صلى الله عليه وسلم بمكة قال عشرا

                2. Mazhab Maliki,Syafie’ dan Hanbali : Berpendapat bahawa jika dia berniat untuk berada          selama 4 hari dan ke atas,maka baginya solat secara sempurna (4 rakaat). Malikiah dan Syafie’yyah mengatakan 4 hari itu adalah tidak termasuk hari masuk dan keluar (dari bandar  tersebut). Manakala Hanabilah mengehadkan 21 waktu solat.

                Berdalilkan :
                حديث جابر { أن النبي صلى الله عليه وسلم قدم مكة صبيحة رابعة من ذي الحجة ، فأقام بها الرابع والخامس والسادس والسابع ، وصلى الصبح في اليوم الثامن ، ثم خرج إلى منى ، وخرج من مكة متوجها إلى المدينة ، بعد أيام التشريق }

                3. Pendapat Qatadah dan Ishak dan juga yang dipilh oleh Ibnu Taimiyah : Tidak meletakkan  sebarang tempoh. Dibenarkan untuk qasar selama mana tidak diniatkan untuk bermukim.

                Berdalilkan :

                عن ابن عباس عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه أقام في بعض أسفاره تسع عشرة يصلي ركعتين قال ابن عباس فنحن إذا أقمنا ما بيننا وبين تسع عشرة صلينا ركعتين وإن زدنا على ذلك أتممنا

Jamak (himpun)

1.            Secara ringkasnya,jamak bermaksud himpun. Iaitu menghimpunkan dua solat. Solat yang boleh dijamakkan adalah antara Maghrib dan Isya’ serta Zohor dan Asar. Jamak dibolehkan dalam pelbagai keadaan samada musafir,hujan,sakit dan lain-lain lagi mengikut pendapat pelbagai ulama dan imam mazhab. Namun di sini saya hanya ingin sebutkan tentang jamak dalam musafir.

2.            Jamak solat dalam musafir terbahagi kepada dua pandangan :

                1. Mazhab Hanafi : Berpendapat bahawa hanya dibenarkan jamak dalam musafir ketika                menunaikan Haji pada Hari Arafah di Arafah dan malam di Muzdalifah sahaja. Selain daripada itu tidak dibenarkan jamak dalam musafir.

                Berdalilkan umum ayat  dari surah An-Nisa’ :
(إِنَّ الصَّلاَةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا )
               
                2. Mazhab Maliki,Syafie’ dan Hanbali : Berpendapat bahawa dibenarkan untuk menjamak         (himpun) solat zohor dan asar serta maghrib dan isya’ secara umum bila-bila masa di mana-mana sahaja dalam musafir.

                Berdalilkan :
                حدثنا علي بن عبد الله قال حدثنا سفيان قال سمعت الزهري عن سالم عن أبيه قال كان النبي صلى الله عليه وسلم يجمع بين المغرب والعشاء إذا جد به السير

Kesimpulan
Saya menulis tentang Jamak Qasar ini setelah mendapat banyak pertanyaan dari sahabat-sahabat. Apa yang ditulis ini adalah lebih kepada pandangan 4 mazhab dan beberapa pandangan lain yang disertakan sekali. Secara asasnya,Islam adalah agama yang memberikan kemudahan. Jika datang masyaqqah (kesulitan),maka Islam memberikan kelonggaran kepada umatnya. Oleh itu,setiap pandangan adalah berbeza-beza berdasarkan pandangan terhadap dalil dan kesulitan yang di alami.



Apabila membincangkan soal solat,ia adalah berkaitan dengan hubungan hamba dengan Penciptanya dan wajib dijaga dengan baik. Saya belum mampu melakukan tarjih pandangan mana yang terbaik dan sebaliknya. Apa yang mampu saya simpulkan adalah setiap pandangan mempunyai dalil masing-masing. Terpulang samada hendak mengambil yang ringan atau yang agak ketat. Namun atas dasar perkara ibadat (hubungan dengan Allah) saya menyarankan atas dasar ihtiyat (berjaga2) untuk mengambil pandangan yang agak ketat sekiranya belum yakin atau kurang pengetahuan. Disarankan untuk memilih pendapat Mazhab Syafie’ kerana ia lebih ketat dalam aspek ibadat.Namun sekiranya berada dalam kesulitan yang mendesak,Islam adalah agama rahmat dan setiap pandangan yang berbeza memberi rahmat buat kita dan kita dibenarkan memilih pendapat yang ringan untuk menghilangkan kesulitan tersebut.

Rujukan :
الموسوعة الفقه الإسلام والقضايا المعاصرة (الأستاذ دكتور وهبة الزحيلي)
صحيح فقه السنة وأدلته وتوضيح مذاهب الأئمة (ابو مالك كمال بن السيد سالم )

Wallahu'alam

tazkir_zikran@yahoo.com
28 April 2013 
9.10 pagi
Yordania


p/s : untuk jarak samada amman ke mafraq,irbid –mafraq..bahkan dari alor setar ke sungai petani,mohon kira sendiri…huhu



Friday, 19 April 2013

Mahasiswa : Menipu dan Tertipu




Assalamualaikum wbt..

Tangan dah lama tak menaip. Otak dah lama tak susun isi dan perenggan untuk dimuatkan dalam blog. Rasa kosong. Tiba2 terfikir satu tajuk untuk update blog kali ini. Mungkin dalam musim exam sekarang ni (mohon doa semua) tak sempat nak tulis artikel yang agak ilmiah (poyo sikit xpa). Maybe tulis beberapa idea yang terlintas dan tangkap muat,letak dalam blog. Dah cukup syarat supaya blog tak bersawang.

Kali ini aku nak cakap tentang “Mahasiswa: Menipu dan Tertipu”

Menipu

Kehidupan sebagai mahasiswa memang kita tak dapat menafikan tentang erti sibuk atau busy bak kata orang kampong aku. Kadang2 bila orang telefon,

“Mat,aku nak datang umah hang malam ni,Study group sikit”
“Aku busy la Abu”

Boleh jadi jugak,macam ni,

Kenapa awak tak siapkan assignment yang saya bagi” tanya pensyarah.
“Saya busy la prof”,jawapan yang mudah dan tepat.

Tak terkecuali jugak macam ni,

“Macam mana exam bro”
“Tak boleh jawab la tadi. Tak dan nak baca buku. Aku busy. Tak sempat nak baca”

Kadang-kadang istilah busy atau sibuk itu seolah-olah menjadi jawapan yang tepat dan padat serta mengikut skema pemarkahan dalam mengeluarkan mahasiswa dari persoalan dan masalah. Tak sempat study. Tak sempat buat assigment. Tak sempat nak ziarah kawan-kawan. Tak sempat study group Jawapan yang mudah : BUSY.

Namun kekeliruan berlaku di situ. Mahasiswa cuba menipu.. Aku tak katakan dan tujukan perkara ini kepada orang yang betul-betul busy. Tapi kalau yang buat-buat busy,mungkin terasa. Sikit je kot terasa.



Jenayah yang mahasiswa lakukan tanpa sedar sekarang adalah pembaziran masa. Setiap orang dikurniakan tempoh 24 jam sehari. Tidak ada seorang pon yang mendapat lebih satu saat dalam kehidupan sehariannya. Tatkala mahasiswa membazirkan masa samada berbual kosong,layan jiwang,tengok movie korea,main game tank,senyum sorang2 tengok gwinomi (apa benda ntah),dalam masa yang sama mereka melakukan jenayah yang cukup besar terhadap ummat. Mungkin perkara yang maknawi ini tidak disedari. Rasa macam biasa. Namun, kita perlu betulkan yang biasa dan biasakan yang betul (cewah).


Tertipu

Kedua, Mahasiswa muslim yang bakal berijazah syariah (khusus sikit kot) perlu membebaskan diri dari ikatan “sukatan pelajaran”. Sukatan pelajaran?

Aku melihat mahasiswa muslim bersyariah (macam Muslim berwibawa pulak) membiarkan diri terikat dengan sukatan pelajaran (qarar jamiah) semata-mata. Tidak cuba berjalan dan melihat luar dari kotak dan tempurung sukatan university.

Baca hanya yang muqarrar (dalam sukatan),balik Malaysia mengajar yang muqarrar. Maka lahirlah masyarakat muqarrar. Cuba cuit dan tanya soalan yang luar sikit dari muqarrar,

“ Eh33.. ana tak ngaji yang tu. Bukan bidang ana”,jawapan femes dan mengikut skema pemarkahan.

Haruslah dan wajiblah buat kita (termasuk aku) untuk membaca kitab muqarrar (sukatan) pelajaran yang diletakkan oleh university. Tapi itu tidak bermakna cukup sekadar itu. Bahkan seorang mahasiswa itu dikenali dengan sifat proaktif. Bukanlah maksud proaktif itu semata-mata melaungkan slogan “Hidup mahasiswa!!!”. Bahkan proaktif itu lebih dari itu.

Bagaimana membina mahasiswa muslim berijazah syariah berminda kelas pertama yang proaktif dan faqih dalam setiap bidang ilmu dan mampu kehadapan dalam memimpin ummah ke arah kehidupan yang berasaskan jalan yang diredhai Allah.

Oleh itu,aktifkanlah diri kalian menjadi mahasiswa yang sebenar. Cukuplah menipu dan tertipu!!.




Boleh membaca  Kita Ummat Iqra' dan Kamu Bukan Penuntut Ilmu tulisan saya sebelum ini.

p/s : sebenarnya nak tulis artikel tentang Jamak Qasar kerana mendapat bebarapa pertanyaan dari beberapa orang sahabat tentang perkara ini. Tetapi disebabkan BUSY,xsempat menyiapkan lagi artikel itu. Ditambah dengan musim exam dan assignment yang menimpa. Mohon doa dari semua sahabat moga berjaya dunia akhirat. (busy adalah  jawapan dan sebab yang padu utk keluar dari masalah). Juga doakan kejayaan Islam sempena Pilihanraya Umum 13 Malaysia. 

Kempen sikit sebanyak/ PAS for All.

Saturday, 13 April 2013

Bengkel Asas Fiqh : Sejarah Perkembangan Mazhab


Assalamualaikum wbt..

Pada 6 April 2013 yang lepas,saya bersama beberapa orang sahabat sempat membentangkan beberapa kertas kerja dalam Bengkel Asas Fiqh dan Usul Fiqh buat ahli PRISMA.

Sebagai perkongsian buat semua,di sini saya postkan kertas kerja ringkas yang dibentangkan oleh saya bersama sahabat saya,Adib Mohd. Secara ringkasnya,kami tidak membuat kertas kerja ini dalam bentuk atau format yang tepat (sebab tausiq ilmi xdak) kerana hanya dibuat berdasarkan ringkasan ke atas beberapa buah kitab. Segala respon penambahbaikan amat dialu-alukan.

Gambar ketika Bengkel




SEJARAH PERKEMBANGAN FIQH

MUKADDIMAH

Alhamdulillah,segala puji bagi Allah yang telah mengurniakan nikmat Iman,Islam dan Ilmu kepada kita. Selawat dan salam buat Rasulullah S.A.W  yang telah menyampaikan risalah Ilahi tanpa kenal erti jemu,juga buat para sahabat R.A.

Kertas kerja yang cuba dibentangkan kali ini adalah berkaitan Sejarah Perkembangan Fiqh yang berlaku dalam perkembangan Islam. Antara tujuan kertas kerja ini dihasilkan adalah untuk memudahkan para pembaca memahami bagaimana Fiqh itu berkembang mengikut peredaran zaman sesuai dengan sifat fiqh yang fleksibel mengikut zaman dan keadaan. 

Selain itu,diharapkan dengan sedikit kajian ini mampu memberi rasa rendah diri kita di hadapan karya dan usaha yang telah dilakukan para Ulama dahulu kala dan mengetahui juhud mereka dalam mendalami ilmu.

Moga segala gerak kerja ini dinilai di sisi Allah sebagai amal soleh. Wallahu’alam.


APAKAH ITU SEJARAH PERKEMBANGAN FIQH?

Sejarah adalah peristiwa yang benar-benar berlaku pada waktu yang lampau.

Perkembangan pula adalah hal dan keadaan berkembang atau bergerak maju.

Fiqh pula adalah satu ilmu tentang hukum hakam amalan manusia yang diperoleh dari dalil-dalil yang terperinci.

Oleh itu,dapat disimpulkan di sini bahawa takrif kepada perbincangan kali ini ialah :

“Sejarah tentang peristiwa perkembangan dan pergerakan ilmu fiqh mengikut peredaran zaman”

Sejarah perkembangan fiqh merangkumi beberapa peredaran zaman dan perubahan sentiasa berlaku pada setiap zaman.

Zaman peredaran fiqh adalah seperti berikut :


ZAMAN NABI S.A.W.

1. Pada zaman ini, pensyariatan hukum terbahagi kepada dua zaman. Di mekah dan madinah. Kebanyakan syariat yang diturunkan di Mekah menyentuh tentang akidah dan asas-asas hukum-hakam. Hukum-hakam secara terperinci kebanyakan belum diturunkan. Manakala, di Madinah syariat diturunkan lebih dalam bentuk terperinci menerangkan tentang hukum-hakam dan kewajipan seorang Muslim.

2. Pada zaman ini, sumber pensyariatan adalah wahyu semata-mata samada dari Al-Quran atau Sunnah. Wujudnya ruang untuk berijtihad, namun dalam ruang yang sempit, Nabi S.A.W dan para sahabat berijtihad, namun dalam naungan wahyu. Andai ijtihad berlaku kekurangan, akan dibetulkan oleh wahyu dari Allah S.W.T.

Contoh : Kisah sebelum Muaz bin Jabal dihantar ke Yaman.

عن معاذ، أن رسول الله -صلى الله عليه وسلم- حين بعثه إلى اليمن قال: (كيف تصنع إن عرض لك قضاء؟) قال: أقضي بما في كتاب الله
قال: (فإن لم يكن في كتاب الله؟) قال: فبسنة رسول الله -صلى الله عليه وسلم
قال: (فإن لم يكن في سنة رسول الله؟) قال: أجتهد وإني لا آلو
قال: فضرب رسول الله صدري ثم قال: (الحمد لله الذي وفق رسولَ رسولِ الله لما يرضي رسول الله

3. Pada zaman ini juga tiada khilaf yang berlaku. Sekiranya para sahabat berselisih atau mempunyai masalah,mereka merujuk kepada terus Nabi S.A.W dan akan dirungkaikan samada melalui Al-Quran atau Sunnah.

4. Selain itu,hanya Al-Quran dibenarkan untuk ditulis tetapi belum dikumpulkan dalam satu mashaf. Nabi S.A.W melarang para sahabat daripada menulis Sunnah kerana takut berlaku campur aduk antara Al-Quran dan Sunnah.

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : ( لا تَكْتُبُوا عَنِّي وَمَنْ كَتَبَ عَنِّي غَيْرَ الْقُرْآنِ فَلْيَمْحُهُ وَحَدِّثُوا عَنِّي وَلا حَرَجَ ... )


ZAMAN SAHABAT (KHULAFA’ RASYIDIN)

1. Selepas kewafatan Nabi S.A.W.,wahyu terhenti dan pintu ijtihad terbuka luas. Para sahabat berijtihad berdasarkan Al-Quran dan Sunnah yang diwariskan oleh Nabi S.A.W.

2. Setiap sahabat mempunyai manhaj tersendiri dalam berijtihad. Sebahagian sahabat tergolong dari kalangan yang banyak berfatwa atau berijtihad seperti  Saidina Umar Al-Khattab. Sebahagian yang lain sederhana dalam berfatwa seperti Saidina Abu Bakar. Ibnu Umar antara sebahagian sahabat yang sedikit mengeluarkan fatwa.

3. Apabila pintu ijtihad terbuka luas, sudah tentu di sana berlaku khilaf kerana manusia mempunyai pemikiran yang pelbagai.

Antara sebab berlakunya khilaf dalam setiap ijtihad sahabat :

i. Berbeza dalam memahami nas. Terdapat di sana perbezaan dalam memahami nas di kalangan sahabat. Sebahagian daripada mereka melihat secara zohir nas,sebahagian yang lain melihat secara tersirat. Begitulah seterusnya perbezaan yang berlaku antara sudut pandang sahabat terhadap nas yang sedia ada.

ii. Berbeza dalam mengetahui hadis. Sebahagian sahabat yang rapat dan sentiasa bersama Nabi S.A.W mempunyai hafalan dan pengetahuan tentang hadis lebih daripada mereka yang kurang bersama Nabi S.A.W.

4. Sumber ijtihad para merangkumi Al-Quran,Sunnah, Ijma’ dan Qias.

5. Ijtihad pada zaman ini lebih kepada ijtihad jamaie’. Khalifah pertama, Saidina Abu Bakar tatkala muncul persoalan atau masalah baru. Beliau merujuk kepada Al-Quran, kemudian Sunnah. Jika tiada dalam keduanya, beliau mengumpulkan para sahabat dan bertanya jika di sana terdapat hukum atau hadis berkaitan dengan masalah tersebut. Kaedah ini juga digunakan oleh Saidina Umar Al-Khattab tatkala menjadi khalifah.

6. Contoh : Ijtihad Saidina Umar tidak membahagikan tanah hitam Iraq sebagai harta ghanimah. Beliau berijtihad mengatakan tiada ghanimah dan tanah itu tidak dibahagikan kepada para tentera. Berlaku perbincangan bersama para sahabat selama 2 hari 3 malam membincangkan perkara ini.

7. Penulisan sunnah belum dilakukan lagi pada zaman ini. Hanya berlaku pengumpulan penulisan Al-Quran dalam satu mashaf yang dilakukan oleh Saidina Abu Bakar dan dikumpulkan sekali lagi oleh Saidina Usman.

ZAMAN SELEPAS KHULAFA’ RASYIDIN SEHINGGA KEJATUHAN DAULAH UMAWIYYAH (41H-100H)

1. Pada zaman ini, ruang fiqh semakin luas dan muncul semakin banyak persoalan serta masalah baru dan berlaku semakin banyak khilaf. Antara sebabnya :

i. Fuqaha’ dari kalangan sahabat dan tabien tersebar ke segenap pelusuk dunia. Pada zaman khalifah Usman, empayar Islam semakin luas dan semakin ramai manusia memeluk Islam dan memerlukan kepada tenaga pengajar untuk memimpin mereka. Maka,para sahabat yang berada di Madinah keluar ke segenap pelusuk dunia dalam usaha menyebarkan Islam. Setiap sahabat menyebarkan kefahaman mereka tentang Islam di setiap negara yang mereka berada. Setiap sahabat mempunyai kefahaman yang berbeza terhadap sesuatu hukum.

ii. Ijtihad jamaie’ bertukar kepada ijtihad fardi kerana jarak yang memisahkan  fuqaha’. Oleh sebab, para sahabat berada di tempat yang pelbagai, ijtihad secara jamaie’ tidak dapat dilakukan lagi. Dan ijtihad bertukar menjadi ijtihad fardi.

2. Dalam masa yang sama, periwayatan hadis semakin tersebar luas dan memberi beberapa kesan :

i. Semakin banyak hukum hakam berkaitan sunnah dapat diistibatkan. Oleh sebab,para sahabat berada di setiap negara yang berbeza,mereka memerlukan kepada sumber Sunnah untuk mengeluarkan sesuatu hukum. Oleh itu,berkembangnya periwayatan hadis dikalangan mereka membantu usaha dalam mengeluarkan hukum.

ii. Tersebarnya hadis palsu secara berleluasa. Oleh sebab,muncul beberapa kelompok yang taksub samada atas nama politik atau mazhab,maka muncul banyak hadis palsu untuk menguatkan kelompok mereka. Para Ulama terpaksa berhati-hati dalam penerimaan hadis.

3. Kemunculan madrasah ahli hadis di madinah dan madrasah ahli ra’yi di Iraq. Madrasah bermaksud cara fikir atau kaedah berfikir. Antaranya :

i. Madrasah ahli hadis : Madrasah ini muncul di Madinah dan dipelopori oleh Ibnu Umar. Antara manhaj ahli hadis ialah apabila muncul satu masalah baru,mereka merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah. Jika tiada di dalam keduanya,mereka berhenti sehinggalah datang dalil dalam menyelesaikan masalah tersebut. Suasana di Madinah sesuai dengan kaedah dan manhaj ini.

ii. Madrasah ahli Ra’yi : Madrasah ini muncul di Iraq dan dipelopori oleh Ibnu Mas’ud. Antara manhaj ahli ra’yi ialah apabila muncul masalah baru,mereka merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah. Jika tiada di dalam keduanya,mereka berijtihad menggunakan pendapat sendiri dengan menggunakan kaedah-kaedah yang disusun seperti maslahat dan sebagainya. Suasana dan bi’ah di Iraq yang penuh dengan fitnah sesuai dengan manhaj ini kerana mereka memerlukan satu hukum dikeluarkan dalam keadaan segera bagi mengelakkan fitnah yang mendatang.

4. Khalifah Umar Abdul Aziz mengarahkan supaya dilakukan penulisan terhadap sunnah, namun beliau wafat sebelum sempurna gerak kerja penulisan Sunnah. Ia merupakan satu perubahan iaitu penulisan sunnah diasaskan dalam memudahkan mendalami Sunnah.

ZAMAN KEEMASAN FIQH ( 101H-350H)

Fiqh berkembang dengan begitu  pesat. Pertambahan negara-negara islam sekali gus merancakkan lagi perkembangan dan kepesatan ilmu fiqh pada ketika ini dan secara tidak langsung lahirnya ulama’ yang  faqih tentang ilmu fiqh ‘mujtahidin’  dan telah mengasaskan mazhab masing-masing yang kebanyakannya masih kekal hingga ke hari ini. Pada zaman ini juga penulisan tentang kaedah dan ilmu fiqh ditulis. Oleh sebab itu, zaman ini juga di kenali sebagai  ‘zaman penulisan fiqh’. Antara nama lain bagi zaman ini ialah, zaman perkembangan fiq dan zaman mujtahidin.

 Antara sebab bekembangnya fiqh pada zaman ini :

1. Perhatian dan kecenderungan khalifah Abbasiyyin ‘Harun Arrasyid’ terhadap fiqh dan fuqaha’ yang mana pada ketika itu beliau meminta kepada Abu yusof alhanafi untuk meletakkan undang-undang islam dalam sistem kewangan negara. Abu yusof telah memenuhi permintaan khalifah tersebut pada ketika itu dan meletakan kitab beliau sendiri iaitu ((الخراج

2. Negara Islam semakin luas dan berkembang hingga ke negara Cina dan Sepanyol yang masing-masing membawa adat dan taqlid tersendiri. Maka telah menjadi keperluan pada masa itu untuk menjaga ketulenan dan kesucian agama agar tidak tercemar akibat bercampur dengan adat dan taqlid yang pelbagai.  Disebabkan adanya sikap muslimin pada waktu itu yang sangat-sangat menjaga hukum hakam syariat dalam setiap tingkah laku meraka, maka, fuqaha’ pada masa itu menjadi tempat rujukan dalam sesuatu perkara.

3. Bermula penulisan atau tadwin sunnah yang membezakan antara sunnah soheh atau doif. Dengan adanya penulisan ini, ia telah memudahkan  para fuqaha’ dalam melaksanakan tugas mereka pada waktu itu. Kerana sunnah adalah masdar kedua dalam ilmu fiqh. Antara kitab sunnah yang sampai kepada kita pada hari ini ialah kitab (الموطأ) Imam Malik yang mana di dalamnya terdapat sunnah nabi dan sunnah sahabat yang bercampur. Namun begitu pada kurun ke-3 hijrah, kebanyakan kitab sunnah di susun mengikut bab-bab fiqh. Antaranya adalah sunan sittah.

Kemunculan mazhab fiqh Islam yang dikenali hingga hari ini adalah bermula pada zaman keemasan                     fiqh.

ZAMAN TAQLID FIQH (351H-656H)

Pada zaman ini, adalah zaman dimana berlakunya kebekuan fiqh. Para fuqaha’ lebih cenderung kepada iltizam dan berpegang pada mazhab tertentu  sehingga ada dikalangan ulama berfatwa bahawa pintu ijtihad sudah ditutup kerana ramai yang  bukan ahlinya berijtihad dan merosakkan manusia dengan  fatwa mereka

 . Antara sebab yang lain :

1. Kelemahan penguasaan politik Khalifah Abbasiyyin yang mana pada ketika itu berlaku perpecahan negara-negara islam, dan para fuqaha’ tidak merasakan perpecahan itu sebagai satu sokongan atau galakan dalam perkembangan fiqh.

2. Penulisan dalam Mazhab Islamiyah sudah sempurna di susun yang merangkumi  segala aspek permasalahan.

3. Para fuqaha’ merasa kurang yakin terhadap kemampuan diri untuk berijtihad. Meraka merasakan taqyid pada mazhab adalah lebih baik dari berijtihad kerana bagi meraka zaman ijtihad telah tamat.

           Mahupun zaman ini pintu ijtihad di tutup, namun antara khidmat dan sumbangan fuqaha’ pada zaman ini adalah :

1. Ta’lil hukum (mencari sebab hukum) yang dikeluarkan oleh imam mazhab mereka, kerana bukan semua hukum yang ditinggalkan oleh imam mereka disertakan dengan ta’lil.

2. Meringkaskan kaedah istinbat hukum dalam usaha mengenali manhaj imam mazhab dalam mengeluarkan hukum. Pada waktu inilah terhasilnya kaedah usul fiq yang pertama dalam kitab (الرسالة) Imam Syafie.

3. Tarjih antara qaul dan pendapat imam-imam mazhab.

            4. Menyusun dan mengemaskini  fiqh mazhab.



ZAMAN BERMULA KEJATUHAN BAGHDAD SEHINGGA SEKARANG (657H-SEKARANG)

Pada zaman ini fiqh tetap pada tempat asalnya iaitu taqlid pada mazhab. Ini kerana taqlid pada waktu ini sudah menjadi perkara kebiasaan dikalangan para fuqaha’.  Namun begitu, ada di kalangan ulama pada zaman ini yang keluar dari taqlid dan berpegang terus dengan quran dan sunnah yang mana ia di kenali sebagai  ijtihad mutlak.

Antara perkara fiq yang berlaku pada zaman ini ialah:

1. Munculnya matan,syarah dan hasyiah dalam setiap penulisan dalam mengembangkan fiqh yang sedia ada.

2. Berlaku penulisan fatwa. Setiap fatwa yang dikeluarkan,dikumpul dan dijadikan satu kitab fatwa. Contoh,fatwa ibnu Taimiyah.

                3. Penyusunan undang-undang (taqnin) negara.

Namum pada waktu sekarang ilmu fiqh itu lebih tertumpu pada pengajian di peringkat pengajian tinggi yang mana ada dalam kalangan mahasiswa menulis kajian ilmiah ilmu fiqh. Antara mereka ini adalah di kalangan mahasiswa dalam bidang undang-undang dan syariah.

Wallahua'lam..

DITULIS OLEH :

ADIB BIN MUHAMMAD,
PELAJAR USULUDDIN TAHUN 3,
UNIVERSITY AL-ALBAYT,JORDAN

ATIQULLAH MURSYID BIN ABDUL HALIM,
PELAJAR USULUDDIN TAHUN 3,
UNIVERSITI AL-ALBAYT,JORDAN

Rujukan :
Tarikh Mazhab  Islamiyyah oleh Imam Abu Zuhrah
Madkhal Syariah Islamiyah oleh  Doktor Abdul Karim Zaidan





 p/s : terlepas untuk ikuti program or talk yang disampaikan oleh syekh2 besar 11 April 2013. Sedih!! Antara yang hadir ialah Sheikh Muhammad Hassan, Doktor Ratib An-Nablusi,Sheikh Muhammad  Arifi/Uraifi



Thursday, 11 April 2013

Satu Ringkasan tentang Yahudi : Solat








Solat di sisi Yahudi
Sebenarnya solat di sisi Yahudi bukanlah satu kewajipan sehinggalah berlaku Perpecahan Babili( السبي البابلي)  tatkala Haikal Sulaiman dimusnahkan. Yahudi sebelum ini menjalankan ibadat dengan cara melakukan ibadat korban di Haikal (tempat ibadat) mereka. Namun selepas musnahnya Haikal Sulaiman,mereka melakukan ibadat solat sebagai ganti kepada ibadat korban sebelum ini.
 Oleh itu,jelas di sini bahawa solat di sisi Yahudi hanya diwajibkan selepas peristiwa musnahnya Haikal Sulaiman.
Solat di sisi mereka terbahagi kepada dua iaitu solat individu (fardi) dan solat secara jemaah. Solat fardi dilakukan mengikut kesesuaian dan hajat mereka. Manakala solat jemaah dilakukan secara beramai-ramai di tempat terbuka pada perayaan-perayaan tertentu.
Solat adalah wajib ke atas setiap lelaki dan wanita kaum Yahudi. Mereka solat dalam keadaan berdiri,duduk,rukuk,sujud,menangis  tanda patuh terhadap Tuhan. Mereka juga menekankan kebersihan (suci dari janabah) sebelum melakukan ibadat solat.
Waktu solat
Waktu solat di sisi Yahudi terbahagi kepada tiga :
(1) Solat Fajr : Dinamakan syaharit (شحاريت) di dalam bahasa Ibri. Waktunya adalah bermula fajr sehingga naiknya matahari atau 1/3 siang. Mereka begitu menyucikan waktu solat. Oleh itu,tidak dibenarkan makan atau mengerjakan sebarang kerja sebelum waktu solat. Dan mereka melakukan syaima(الشيما) iaitu ikrar keimanan mereka sebelum menunaikan solat.
(2) Solat Asar : Dinamakan sengan Minhah (منحة) dalam bahasa Ibri. Waktunya bermula tatkala gelincirnya matahari sehingga tenggelamnya matahari.
(3) Solat Petang : Dinamakan dengan Arabit (عربيت) dalam bahasa Ibri. Waktunya bermula tatkala tenggelam matahari sehingga gelap sepenuhnya malam. Seperti waktu maghrib dan Isya di sisi umat Islam.
Syarat Sah Solat
Disana terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan sebelum melakukan ibadat solat :
(1) Membasuh kedua-dua tangan sebelum memulakan ibadat
(2) Meletakkan syal di atas kedua-dua bahu. Syal itu adalah kain khas yang agak besar dan panjang seperti mafla.  Syal ini khas untuk lelaki. Syal dianggap satu barang suci dan tidak boleh disentuh oleh wanita dan diletakkan dalam tempat khas di dalam rumah. Setiap individu lelaki Yahudi akan mempunyainya semenjak baligh dan akan kekal digunakan sehingga mati. Kebiasaanya dikafankan sekali dengan syal ini.
(3) Meletakkan tiflin : Tiflin ini adalah satu bekas kecil yang diperbuat daripada kayu atau kulit dan tertulis di dalamnya bacaan Syuma’. Bekas ini biasanya diikat di dahi dan di tangan kiri.
(4) Menutup kepala : Tatkala menunaikan solat mereka wajib untuk menutup kepala dinamakan di sisi Yahudi sebagai Alyarmulaka (اليرمولكا). Ia adalah satu topi kecil yang diletakkan di atas kepala sebagai menunjukkan rasa hormat dan ihtiram mereka. Topi ini hanya dipakai oleh lelaki,manakal untuk wanita mereka menutup kepala secara keseluruhannya ketika solat.
gambar hiasan

Bacaan Ketika Solat
Secara umum dikatakan bahawa Yahudi mempunyai dua jenis bacaan ketika solat. Pertama dinamakan syuma’ (الشماع) dan kedua dinamakan syamunah asyrah (الشمونة عشرة).
 Syuma’ adalah bacaan yang diambil daripada sifr Tasniah dan Adad di dalam kitab Taurat. Manakala Syamunah Asyrah adalah bacaan yang dinisbahkan kepada Izra dan 120 daripada nabi-nabi dan pendeta Yahudi yang dinamakan Rijal Kanisah Kubra (رجال الكنيسة الكبرى). Sebenarnya syamunah ini terdiri daripada 18 bacaan tasbih,kemudian ditambah oleh pendeta Yahudi (صموئيل الأصغر) menjadikannya 19 bacaan tasbih. 18 bacaan syamunah itu terdiri daripada bacaan tasbih,syukur dan tawasul terhadap Tuhan.
Solat disudahi dengan bacaan doa dan munajat kepada Tuhan dengan penuh keikhlasan. Solat jemaah hanya dilakukan apabila mencukupi 10 orang yang akil baligh sebagai ahli jemaah.
Solat jemaah dilakukan di sebuah tempat dinamakan Bayt Taurat (بيت التوراة)  dan ia mempunyai beberapa jenis alat keagamaan :
(1) Tabut ahd qadim iaitu helaian-helaian naskhah taurat yang masih kekal dan disimpan di dalam kotak khas.
(2) Lampu-lampu yang sentiasa menyala.
(3) Penunjuk bacaan (المحفل) : ia adalah penunjuk bacaan yang digunakan tatkala membaca Ahd Qdim (taurat).
Kesimpulannya,Yahudi mempunyai tatacara tertentu dalam menunaikan ibadat Solat mereka. Dan solat adalah wajib di sisi Yahudi. Mohon diperbetulkan sekiranya mempunyai sebarang kesalahan dalam tulisan ini.

Untuk membaca tulisan saya sebelum ini tentang Yahudi. Sila klik Satu Ringkasan tentang Yahudi..
Wallahua’lam.

Dipetik dari kiitab Muqaranah Adyan
Tulisan Profesor Doktor Muhammad Ahmad Khatib
Profesor dalam Bidang Akidah dan Perbandingan Agama,Universiti Urduniyyah

12 April 2013
9.00 pagi yang sejuk,Yordania


Tuesday, 9 April 2013

Takdir : Jabariah dalam Kehidupan




“ Allah dah takdirkan macam tu. Nak buat macam mana. Buat penat hang usaha ja. Beras secupak tak boleh jadi seguni”, kata Ahmad.

“ Malas aku nak pi mengundi. Allah dah tetapkan dah sapa yang menang. Kalau aku pi,bukan berubah apa-apa pun”, kata Ali.

“ Selama ni Kerajaan (Parti A) lah yang banyak bagi bantuan. Tak kan kita tak mau berterima kasih. Kalau tak dak Parti A,konfem hangpa tak boleh nak hidup. Nak makan pa”, kata Abu.


Dalam kehidupan manusia terdapat perkara yang bersifat “masa depan”  serta “ghaib” yang tak mampu dicapai oleh pengetahuan manusia. Ada perkara yang berlaku tanpa kita rancang. Ada perkara yang mengikut perancangan. Ada perkara yang berlawanan dengan apa yang kita rancang. Oleh itu,beriman dengan sepenuh jiwa raga terhadap Qada’ dan Qadar adalah asas terpenting dalam membina jiwa seorang hamba.



Apabila sesuatu takdir menimpa insan,maka akan muncul beberapa pecahan reaksi terhadapnya. Sebahagian insan berusaha bersungguh-sungguh,namun mereka menerima apa yang berlaku sebagai rukun keimanan dan yakin terhadap janji Allah. Sebahagian yang lain menyalahkan takdir serta putus asa terhadap janjiNya. Sebahagian yang lain pula berserah kepada takdir tanpa usaha kerana menganggap setiap sesuatu telah ditakdirkan,mengapa perlu berusaha.

Sebelum menempuh peperiksaan,pelajar A  tidak membaca buku dengan menganggap takdir telah menentukan baginya segala-galanya. Pelajar B membaca buku sepenuh jiwa raga,namun gagal lantas menyalahkan takdir. Pelajar C membaca buku serta bertawakal,namun gagal lantas dia percaya perancangan Allah adalah yang terbaik.

Pemikiran pelajar A adalah satu pemikiran yang amat bahaya. Ia dikenali dengan fahaman Jabariah yang diasaskan oleh Jaad bin Darham. Biarpun pengikut serta pengasas fahaman ini telah lenyap,namun pemikiran sebegini masih wujud dikalangan insan. Menganggap manusia  itu tidak berkuasa,tidak berkehendak serta tidak ada pilihan baginya. Setiap perbuatan insan semata-mata dari Allah dan ia tiada kuasa untuk memilih. Oleh itu,pemikiran berserah kepada takdir semata-mata tanpa usaha adalah satu penyakit ketumbuhan yang amat bahaya terhadap akidah manusia.

Pilihanraya Umum 13

Parlimen sudah dibubarkan dan gendang pilihanraya sudah dipalu. Biarpun sebahagian besar manusia bersemangat berkempen,meraih undi,namun terdapat sebahagian yang lain berserah segalanya kepada takdir. Menganggap takdir sudah menentukan siapa yang akan menang tanpa menoleh sesaat terhadap usaha dan kerja keras.

Perkara ini harus difahami sengan sebaiknya. Manusia disediakan syurga dan neraka. Pahala serta dosa. Manusia diberikan pilihan. Kita perlu berusaha,beramal ,bertawakal. Seterusnya datanglah takdir untuk menguji keimanan manusia. Mana mungkin benih tidak disemai tetapi menunggu masa untuk menuai. Carilah asbab untuk menuai hasil.

إِنَّ اللهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوْا مَا بِأَنفُسِهِمْ
“sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri”




Sempena pilihanraya ini juga,terdapat manusia yang mana terlalu menyanjung serta mengangkat tinggi asbab sehingga terlupa kepada Tuhan asbab.

“ Selama ni Kerajaan (Parti A) lah yang banyak bagi bantuan. Tak kan kita tak mau berterima kasih. Kalau tak dak Parti A,konfem hangpa tak boleh nak hidup. Nak makan pa”, kata Abu.

Allah lah yang memberikan rezeki melalui pelbagai perantaraan dan asbab.. Sungguh!! Ia adalah satu perkara yang bahaya terhadap akidah. Sesatnya Kristian kerana terlalu menyanjung Isa sehingga mencapai tahap ketuhanan. Melupakan Allah yang mengutuskannya untuk ummat. Janganlah terlalu berterima kasih kepada posmen sehingga terlupa pengirim surat.

Mengurus iman perlu dihalusi dengan ilmu serta amal. Mungkin Allah memberikan rezeki secupak dengan perantaraan Kerajaan (Parti A). Boleh jadi Allah akan menambahkan rezeki kepada seguni tatkala Parti B menjadi kerajaan. Ciptalah sebaik-baik asbab dan bertawakal lah serta yakin terhadap Allah.



Ini kali lah!!


10 April 2013 
7.38 pagi yang dingin,Yordania