Thursday 7 March 2013

Kamu Bukan Penuntut Ilmu


Assalamualaikum wbt..

Dah lama tak menulis. Terasa kekok dan kaku. Lesu dan kurang padu. Saat berjalan pulang dari kuliah,teringat taujihat dan kata-kata guruku. Beliau antara pensyarah yang kuminati. Entah mengapa. Mungkin kerana taujihatnya yang selalu menggugah jiwa penuntut ilmu. Doktor Hamad Hamid adalah panggilan yang masyhur. Pensyarah bahagian Fiqh wa Usuluh dan seorang yang pakar dalam ilmu usul fiqh.

Antara kata-katanya :

“ Seorang penuntut ilmu yang sebenar adalah seorang yang mempunyai semangat dan usaha yang tinggi. Lihatlah kepada Imam-imam mujtahid terdahulu. Mereka tiada kemudahan perhubungan. Tiada kapal terbang,tiada kereta,tiada whats up,tiada facebook,tiada internet. Namun berbekalkan semangat dan usaha,mereka bermusafir berbulan-bulan lama demi sedikit ilmu. Bahkan mungkin satu hadis. Cuba kamu bayangkan jika mereka hidup pada zaman kini yang mempunyai kemudahan perhubungan. Sudah tentu mereka akan mencapai tahap keilmuan yang lebih tinggi. Namun kamu yang menamakan diri kamu sebagai “penuntut imu” amat malas untuk membaca. Malas untuk mengkaji. Kitab sudah siap tercetak,bahkan sudah dapat diperolehi dengan mudah. Namun kalian tiada semangat dan usaha sebagi penuntut ilmu. Kamu bukanlah PENUNTUT ILMU”.

Satu kata-kata yang membuatkanku pulang ke rumah membelek helaian demi helaian kitab yang sudah lama tak kusentuh.



Hari ini taujihatnya kembali menggugah jiwaku. Katanya:

“ Seorang ulama itu biarpun telah lama mati,namun mereka seakan-akan hidup. Nama mereka sering disebut-sebut dalam majlis ilmu. Biarpun umur kehidupan mereka singkat,namun umur ilmu mereka kekal hingga hari ini. Kamu pergilah ke negara mana sekalipun. Nama Imam As-Syafie,Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Malik, Imam Abu Hanifah tetap disebut-sebut hingga hari ini. Tulisan mereka dibaca dari generasi hingga generasi seterusnya. Kamu menganggap mereka telah mati,tetapi mereka tetap hidup hingga hari ini.”

“Tahukah kalian,kewujudan mereka mengubah masyarakat. Masyarakat amat berhajat kepada ilmu mereka,namun mereka tidak pernah berhajat kepada dunia atau harta manusia. “

Kata-kata terakhir guruku membuatkan aku terfikir,

“Kewujudan mereka memberi kesan terhadap masyarakat. Mereka mengubah masyarakat.Oleh itu, lihatlah kewujudanmu dalam masyarakat. Jika kewujudanmu tidak memberi kesan kepada masyarakat,lebih kamu tidak wujud di atas dunia.”

Antara berubah mengikut suasana atau menjadi agen pengubah suasana.

Kelas tamat.

0 comments:

Post a Comment