Saturday 5 October 2013

HUKUM DAN APLIKASI TERHADAP HUKUM



Hukum dan aplikasi terhadap hukum.

Ia adalah dua perkara yang berbeza dan perlu dibezakan. Hukum adalah satu perkara yang istiqlal,aplikasi terhadap hukum pula adalah sesuatu perkara yang lain.

Apakah itu hukum? Apakah pula aplikasi hukum?

Hukum itu adalah sesuatu perkara samada suruhan atau larangan yang dijelaskan oleh nas terhadap kita. Contoh : Hukum Qisas,hudud jelas kewajipan di dalam Al Quran. Hukum solat adalah wajib. Oleh itu,hukum adalah satu perkara yang sabit dan dijelaskan oleh nas.

Aplikasi hukum pula adalah bagaimana kita cuba melaksanakan hukum itu terhadap masyarakat. Samada terhadap individu tertentu atau masyarakat dikawasan tertentu. 

Setiap indinvidu atau masyarakat pasti mempunyai unsur dan suasana yang berbeza,pasti membawa kepada perubahan cara dalam melaksanakan hukum. Solat orang yang di dalam perang tidak sama dengan solat orang yang berada di dalam keadaan aman. Begitu juga,hukum hudud mahupun qisos jika diaplikasikan tanpa melihat secara terperinci sudah pasti mendatangkan fitnah terhadap agama.

Oleh itu,muncul satu ilmu iaitu ilmu maqasid. Maqasid adalah bagaimana kita cuba melihat tujuan setiap perkara dan syariat dilaksanakan. Contoh,tatkala kita mengatakan pada Qisas itu adanya kehidupan iaitu kehidupan terhadap mujtamak (masyarakat). Maka, keamanan dan kehidupan terhadap masyarakat itu adalah maksud atau tujuan syarak.

Maka,kita harus berusaha dalam mengaplikasi hukum Qisas supaya tujuan dan maksud syarak tercapai. Sekiranya sesuatu hukuman itu diaplikasikan dan tidak mencapai maksud syarak,sudah tentu di sana terdapat satu kelompongan dan kekurangan dalam mengaplikasi hukum tersebut. Akhirnya akan membawa fitnah terhadap Islam itu sendiri.



Kata Imam Syatibi : Seseorang itu mampu berada dalam tahap berijtihad sekiranya mampu menguasai dua perkara :

Pertama : Memahami maqasid syariah secara keseluruhannya
Kedua : Kemampuan untuk mengeluarkan sesuatu hukum berdasarkan pemahamannya terhadap perkara tersebut.


Kesimpulan ringkas yang dapat saya sebutkan di sini,dalam suasana zaman sekarang,kita harus membezakan antara hukum dan juga aplikasi terhadap hukum. Kita jelas bahawa hukum hudud itu wajib. Barangsiapa ingkar tentangnya sudah tentu berada dalam lingkungan mereka yang menolak hukum Allah. Akan tetapi aplikasi terhadap hukum hudud pula adalah sesuatu yang berbeza. Ia memerlukan kepada kefaqihan dan pemahaman yang teliti terhadap nas dan juga waqie (reality semasa). Mungkin boleh dikatakan hukum hudud perlu diteliti dalam sudut aplikasi untuk dilaksanakan,bukan mengingkari hukum tersebut. Tetapi melihat kepada kesan dan aplikasi terhadap hukum tersebut. Kerana setiap aplikasi dan tatbiq terhadap sesuatu perkara sudah pasti memberi kesan dan impak kepada Islam. Dalam mengejar maksud dan tujuan syarak,harus dijauhi fitnah terhadap Islam.

Wallahua'lam


tazkir_zikran@yahoo.com
1 Okt 2013
Mafraq,Jordan

0 comments:

Post a Comment