Sunday 10 February 2013

PERTAMA KE-7 : Pemahaman terhadap Politik


Assalamualaikum wbt..

Salam bahagia dan salam ceria..

Alhamdulillah,diberi kesempatan masa untuk menulis dan mencoret di laman maya yang tidak bertinta. Beberapa hari yang lalu,aku sempat mengikuti Persidangan Tahunan Mahasiswa Malaysia Sejordan (PERTAMA) yang membincangkan tentang Siyasah Syari’yyah. Satu perbincangan yang amat menarik. Pembentangan oleh Prof Madya Dato’ Dr. Asri Zainul Abidin (MAZA),Dr. Maszlee Malik, Us Rozaimi,Us Anhar Opir dan Prof Madya Dr Azidan (Pengarah EMJ) selama dua hari dua malam memberi idea-idea yang bernas serta matang buat peserta.

Memang tidak dapat dinafikan. Pembentangan 7 kertas kerja selama dua hari tidak mampu menjadikan aku sebagai seorang yang pakar dalam bidang siyasah ini. Seperti mana yang disebutkan oleh Dr Ziyad Dighamin (Pensyarah Univ Albayt) tatkala memulakan kelas pertama kali. Katanya ,”Kamu semua jangan fikir hanya dengan selesai 3 madah tafsir dan beberapa bacaan kitab muqarrar dapat menjadikan kalian mufassirin. Ini hanyalah pintu serta kunci untuk kalian mendalaminya”. Oleh itu,aku menganggap perbincangan serta pembentangan selama dua hari itu hanya pintu masuk ke dalam satu ilmu yang dinamakan SIYASAH SYAR’IYYAH.


Panelis PERTAMA ketujuh


Siyasah Syar’iyyah

Apa itu siyasah syar’iyyah? Bagaimanakah cara berinteraksi dengannya? Adakah di sana satu kaedah atau formula yang disusun untuk membentuk bidang ilmu ini?

Siyasah menurut Ibnu Aqil :

“Politik ialah sesuatu tindakan yang menjadikan manusia paling hampir kepada kebaikan dan menjadikan mereka paling jauh kepada kerosakan walaupun ia tidak dilakukan oleh Rasulullah S.A.W dan tidak diturunkan oleh wahyu”.

Ini adalah salah satu takrifan dari takrifan yang pelbagai oleh para ulama’. Banyak lagi takrifan yang lain,Cuma aku begitu tertarik dan mudah difahami dengan takrifan ini. Dengan makna yang lain,siasah (politik) adalah satu perkara yang dilakukan oleh manusia yang membawa MASLAHAT meskipun perkara itu tiada wahyu tentangnya.

Secara asasnya,ilmu ini sudah wujud 1400 tahun yang lalu. Namun penamaan atau pemberian nama yang khusus baginya hanya hadir pada era ini. Siyasah sudah lama dipraktikkan oleh Nabi S.A.W dan para sahabat,manakala teori dalam bentuk formula serta kaedah yang disusun dalam satu ilmu hanya hadir selepas itu.

Sebelum masuk dan mendalami bidang ini. Satu perkara harus difahami. Syariat Islam datang datang dalam pelbagai bentuk dan dibahagikan kepada 3 perkara utama :

   (1)  Aqidah
        (2)   Ibadat (muamalah dengan Allah)
        (3)   Muamalat

Setiap perkara yang berkaitan dengan aqidah dan ibadat adalah bersifat tawaqquf iaitu tidak dibenarkan kecuali ada dalil tentang keharusannya. Manakala muamalat adalah satu keluasan yang diberikan oleh Allah iaitu ianya dibenarkan kecuali ada dalil yang mengharamkannya. Dan siyasah ini adalah satu elemen di dalam muamalah ini.

Bagaimana untuk memahami  dalil siyasah?

Al-Quran datang kepada insan sebagai petunjuk ke arah kebenaran. Insan juga dibekalkan akal untuk memberi penilaian terhadap sesuatu. Dalam memahami keadilan Tuhan,maka dua asas ini adalah satu alat timbang dalam merasionalkan pemahaman insan.

Tidak dinafikan bahawa di sana terdapat dalil-dalil dari Al-Quran dan sunnah yang memberi pelajaran umum buat manusia tentang erti siyasah (politik). Namun,disana juga terdapat beberapa perkara yang tidak ada padanya nas atau dalil dari Al-Quran dan sunnah padanya. Oleh itu,kebanyakan para ulama’ melihat dan memberikan kaedah umum tentang politik ini.

Politik Islam adalah berasaskan mendatangkan MASLAHAT atau menolak MUDHARAT untuk ummat. Al-Izz bin Abd Salam di dalam kitabnya,Qawaid Al-ahkam mengatakan :

“Sesungguhnya kami mengetahui daripada (memerhati) sumber-sumber syara’ bahawa yang dituntut oleh Syara’ ialah (mendatangkan) kemaslahatan hamba dalam urusan agama mahupun dunia”.

Oleh itu,dapat difahami bahawa Islam membawa asas kemaslahatan untuk ummat. Dan setiap perkara yang bertentangan dengan maslahat atau yang membawa mudharat untuk manusia adalah bukan dari Islam.

Antara literal dan maqosid

Seperti dinyatakan sebelum ini bahawa siyasah adalah salah satu elemen dari Muamalah. Dan disana ada perkara yang datang dalil padanya,ada juga yang tiada dalil padanya.

Namun,terdapat dalil yang secara zohir membawa ke arah mudharat terhadap insan dan menunjukkan kesempitan di dalam Islam. Seperti hukum mentaati pemerintah walaupun dipukul belakang,dirampas harta dan sebagainya. Tatkala melihat hadis secara zohir,seolah-olah Islam menyokong kezaliman pemerintah terhadap rakyat. Sedangkan kezaliman itu adalah satu unsur yang ditentang oleh Islam kerana Islam meletakkan keadilan sebagai asasnya.

Oleh itu,terdapat beberapa syarat dalam memahami dalil tentang politik :
  
         (1)   Haruslah hadis itu bersifat Sohih
         (2)   Memahami dalil politik berdasarkan maqasid syariah
         (3)   Membezakan dalil politik yang boleh difikirkan illahnya dengan dalil yang tidak boleh difikirkan illahnya
         (4)   Membezakan objektif dan wasilah
         (5)   Memahami sistem semasa
         (6)   Melihat kesan dan akibat terhadap setiap tindakan

Mungkin agak panjang untuk menerangkan setiap satu syarat-syarat ini. Dan ini bukanlah semata-mata syarat yang diletakkan dan disana terdapat pelbagai syarat yang harus diteliti. Cuma terdapat dua perkara yang ingin ditekankan iaitu memahami politik berdasarkan maqasid dan melihat kesan terhadap sesuatu tindakan.

Setiap dalil berkaitan politik harus diteliti dari sudut maqasidnya (objektif/tujuan). Kadang-kadang sesuatu dalil secara zohir menunjukkan seolah-olah Islam menyokong kezaliman. Oleh itu,dalil itu harus diteliti dari sudut maqasidnya kerana mustahil Islam akan menyokong kezaliman. Mungkin disana terdapat perkara yang tersembunyi maksudnya dan tertutup tujuannya. Justeru,setiap pemahaman yang bercanggah dengan Maqasid syariah adalah batil.

Ma’lat (kesan) terhadap sesuatu perkara

Setiap perkara atau tindakan yang ingin dilakukan tidak semata-mata terikat dengan dalil. Ianya harus dilihat dari sudut kesan dan akibat. Jika dilihat sirah Nabi S.A.W akan didapati banyak perkara dan tindakan baginda adalah berdasarkan pemerhatian kesan mendatang seperti tidak membunuh orang munafik,tidak membina kaabh seperti zaman Nabi Ibrahim A.S. Al-syatibi menyatakan di dalam kitabnya Muwafaqat :

“Melihat kepada kesan sesuatu perbuatan adalah muktabar dan dituntut pada syara’”.

PERTAMA yang Ketujuh

Biarpun hanya dua hari bersidang,banyak input dan cetusan idea aku perolehi. Coretan ini mungkinlah secebis yang masih mampu diingati. Perbincangan tentang suasana politik Malaysia,system politik masakini,hudud : aplikasi dan kesannya dan pelbagai perkara lagi tak mampu ku coret dalam masa yang terhad ini. Mungkin pemahaman ringkas terhadap maksud siyasah (politik),cara berinteraksi dengan dalil-dalil politik dan cara aplikasi siyasah adalah kunci dalam mendalami dan menerokai bidang ini.

Logo PERTAMA kali ini


Kesimpulan
Politik adalah juzuk dan sebahagian dari Islam dan ianya tidak dapat dinafikan. Islam telah menyediakan kaedah dan formula dalam mengurus tadbir manusia. Setiap perkara yang membawa maslahat dan menolak mudharat,maka Islam mengiktirafnya biar dari siapa pun jua. Kehidupan manusia berkait rapat dengan politik. Samada politik dalam mengurus diri sendiri,mengurus keluarga,mengurus persatuan dan masyarakat. Pastikan kunci ini yang kalian dapat di PERTAMA digunakan sebaik mungkin dan tidak disimpan hingga berkarat.


 tazkir_zikran@yahoo.com
11022013
0845

0 comments:

Post a Comment