Tuesday 11 June 2013

Diari Umrah 1434 H



Alhamdulillah.. Syukur,puji dan puja segalanya milik Allah S.W.T.

Ada kawan bertanya, “ Sudah berhenti menulis kah? “
Bukan.
Aku hanya berehat seketika. Muhasabah diri penuh dosa. Merenung erti kalam sang Pencipta.
2 minggu menempuh peperiksaan akhir kuliah di Universiti. Terus disambung musafir ke Tanah Haram selama 9 hari.

Memberi aku sedikit masa bermuhasabah diri. Koreksi jiwa dan hati. Mencari muraqabah yang semakin pudar hari demi hari.

Alhamdulillah.. Keputusan peperiksaan sudah keluar. Sedikit kecewa kerana tidak mencapai apa yang dihajatkan. Namun aku sedar. Aku hanya makhluk dengan ilmu yang terbatas. Sedangkan Dia adalah Pencipta yang mengetahui segala-galanya.

Kadang-kadang kita meminta seringgit,namun Allah berikan 50 sen. Mungkin Dia mahu elakkan kita dari dosa membazir.

Kadang-kadang kita minta seringgit,namun Dia berikan 10 ringgit. Mungkin Dia mahu kita lebihkan infaq.
Bersangka baiklah. Tidak akan rugi.

Musafir
Manusia itu sifatnya tidak menentu. Kadang-kadang kuat. Kadang-kadang lemah.
Kadang-kadang hati penuh taat. Kadang-kadang maksiat datang menyengat.

Oleh itu,manusia disuruh untuk sentiasa bermuhasabah dan koreksi diri supaya saat rebahnya itu tidak lama.
Salah satu cara bermuhasabah adalah engkau bermusafir dan keluar ke dunia luar seketika melihat tanda-tanda kebesarannya.

Musafir juga memberi kita peluang untuk keluar dari zon selesa dan biasa. Membina persekitaran yang lebih baik buat diri.

Kali ini aku bermusafir ke Tanah Haram. Aku temui suasana baru.
Suasana ibadah dan suasana ilmiah.

Mekah

Ini kali kedua aku sampai di sini.
Sungguh. Persekitaran dan suasana banyak mempengaruhi corak kehidupan seseorang.

ni gambar umrah kali pertama 2011


Jika di Masjidil Haram,datang awal sejam atau dua jam ke masjid adalah perkara yang biasa.
Namun,sukar untuk dilakukannya di rumah kita.

Jika di sini,membaca sejuzuk itu amat sedikit terasa. Ingin ditambah lagi bacaan juzuk demi juzuk.
Namun,untuk menghabiskan sejuzuk di rumah sungguh sukar terasa.

Mengapa begini?

Suasana ibadah di Masjidil Haram dengan lautan manusia berpusu-pusu melakukan ibadah tawaf,membaca Al-Quran,berzikir menjadikan kita turut sama berada dalam pengaruh suasana tersebut.
Aku akan sentiasa merindui suasana ini. Bi’ah ibadah di bumi Mekah.

Madinah

Di sini aku temui suasana ilmiah. Aku sempat singgah bertamu di Universiti Islam Madinah.

ni juga gambar umrah 2011. Umrah kali ni tak dak mood nak snap gambar.


Sungguh berbeza.
Suasana pengajian begitu subur. Ada yang sedang menghafal matan,ada yang sedang membaca kitab,ada yang hanyut mengulang Al-Quran,ada yang mengikuti daurah ilmiah.

Timbul iri hati terhadap sahabat-sahabat yang diberikan kesempatan belajar di sini. Suasana yang menjadikan semangat menuntut ilmu itu subur.

Ibrah musafir

Aku pulang ke Jordan dengan harapan baru.
Moga Allah kurniakan istiqamah kepadaku.

Aku belajar satu perkara dalam musafir ini. 
Persekitaran dan suasana itu antara faktor terpenting dalam mencorakkan kehidupan seorang manusia.

Jika diperhatikan,suasana atau persekitaran banyak mempengaruhi cara hidup kita.
Suasana ilmiah menjadikan kita rasa selesa dan sentiasa inginkan ilmu.
Suasana ibadah buatkan kita terasa ingin sentiasa rukuk dan sujud.

Namun,
Apabila suasana pasif dan negatif yang mempengaruhi kita,
Kita akan dicengkam rasa malas dan lembik.

Contohnya,
Jika di Masjidil Haram,datang awal ke masjid sejam atau dua jam adalah perkara biasa dan mampu dilakukan.
Tetapi agak sukar ingin dilakukan datang awal itu di rumah kita.

Jika di Masjidil Haram,membaca sejuzuk Al Quran terasa sedikit,ingin ditambah lagi bacaannya.
Tetapi agak sukar untuk istiqamah sejuzuk di rumah kita.

Mungkin kerana suasana ibadah dan Al Quran di Masjidil Haram mempengaruhi kita untuk turut bersama bertilawah,rukuk serta sujud.


Oleh itu,berubah atau mengubah diri berkait rapat dengan mengubah persekitaran. Keluarlah seketika dari kepompong biasa supaya muhasabah kehidupan dapat memberikan kita peluang untuk mencorakkan kehidupan ke arah yang lebih baik.


tazkir_zikran@yahoo.com
haramain
27 Rejab 1434 H

0 comments:

Post a Comment