Sunday 30 June 2013

Takdir itu rahsia Tuhan




Assalamualaikum wbt..

Seminggu sudah berlalu. Minggu lepas beberapa orang sahabat saya mengalami musibah kemalangan jalanraya yang mengakibatkan kehilangan nyawa dan cedera parah.

Seorang pelajar dari UK meninggal dunia,manakala 4 orang lagi cedera.



Alhamdulillah,hari ini saya dimaklumkan bahawa drebar (cedera parah) sudah dibenarkan pulang dan beransur pulih.

Saya cuba mengingati beberapa bulan yang lalu. Saya pulang ke Malaysia menyambut Hari Raya di sana.
Sebulan kemudian. September 2012 saya tiba di lapangan terbang Queen Alia,Jordan. Jam 2 petang. Sempat bertemu mata dan bersembang dengan seorang sahabat dari universti Mu’tah (univ lain) yang datang menyambut rakannya. Jam 5 petang saya dimaklumkan beliau terlibat dalam kemalangan dan meninggal dunia.

Takdir

عَنْ أَبي عَبْدِ الرحمنِ عَبْدِ اللهِ بْنِ مَسْعُودٍ رضى الله عنه قَالَ: حَدَّثَنَا رَسُولُ الله صلَّى الله عليهِ وسَلَّمَ وهو الصَّادِقُ الْمَصْدُوْقُ: (( إِنَّ أَحَدَآُمْ یُجْمَعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِيْنَ یَوْمً ا نُطْفَةً، ثُمَّ یَكُوْنُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ یَكُوْنُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ یُرْسَلُ إِلَيْهِ المَلَكُ فَيَنْفُخُ فِيْ هِ الرُّوْحَ وَیُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ آَلِمَاتٍ؛ بِكَتْبِ رِزْقِهِ وَأَجَلِهِ وَعَمَلِهِ وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيْدٌ. فَوَاللهِ الَّذِي لا إل هَ غَيْرُهُ إِنَّ أَحَدَآُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ اْلجَنَّةِ حَتَّى مَا یَكُوْنَ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلاَّ ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْ هِ الْكتِاَبُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ فَيَدْخُلُهَا. وَإِنَّ أَحَدَآُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ حَتَّى مَا یَكُوْنَ بَيْنَ هُ وَبَيْنَهَا إِلاَّ ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ اْلجَنَّةِ فَيَدْخُلُهَا )). رواه البخاري ومسلم

Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn Mas'uud r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda, dan Baginda adalah seorang yang benar lagi dibenarkan (iaitu dipercayai):
Sesungguhnya setiap orang di kalangan kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang sama, kemudian menjadi seketul daging selama tempoh yang sama, kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya ruh dan dia diperintahkan dengan 4 kalimat; iaitu supaya menulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah Yang tiada Tuhan melainkanNya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia memasuki syurga.

Mati,hidup,kahwin,cerai. Semuanya bergabung dibawah satu nama iaitu jodoh dan takdir. Setiap insan sudah ditetapkan jodohnya. Jodoh bukan bermaksud kahwin semata-mata. Mati juga adalah jodoh. Jodoh bertemu Tuhan.

Islam mengajar kita untuk beriman dengan Qada’ dan Qadar. Bahkan ia adalah rukun iman keenam yang harus kita imani. Beriman,yakin serta percaya bahawa setiap perkara yang berlaku adalah takdir dan ketentuan Tuhan. Kata manusia zaman ini, “Kita merancang,Tuhan yang menentukan”

Persoalan takdir

Ramai yang bertanya tatkala ditimpa musibah. Mengapa jadi begini? Mengapa harus aku?
Bahkan,menjadi trauma untuk berjalan kerana runsing akan ditimpa musibah yang sama.

Persoalan takdir adalah satu perkara yang besar yang harus difahami. Qada dan qadar adalah ketentuan Tuhan yang telah ditetapkan untuk hambaNya. Disebaliknya tersembunyi hikmah yang mungkin tak mampu kita jangkaui.

Bersangka baiklah dengan Tuhanmu.
Ramai yang sedih mendengar berita kematian.
Namun Islam mengajar kita untuk sentiasa bersabar dan bersangka baik dengan Allah.

Boleh jadi Allah menjemputnya lebih awal kerana mahu mengurangkan dosanya dan memasukkannya ke dalam Syurga. Boleh jadi Allah memanjangkan umur kita supaya kita bersegera bertaubat dan beramal sebanyaknya.

Mati

Kematian datang tanpa kita ketahui.
Entah bila. Entah di mana.

Kematian adalah peringatan yang paling ampuh buat yang masih hidup. Supaya mereka ingat bahawa ajal tidak mengenal usia dan tempat. Tidak mengenal jawatan dan harta.

Manusia hanya disuruh beramal sebaiknya. Soal ajal dan maut milik Allah. Takdir adalah hanya milik Tuhan. Bertaubatlah sebelum tiba giliran kita.

Sesungguhnya mati itu pasti. Namun tarikhnya belum tiba. Setiap hembusan nafas sentiasa menjadi kiraan malakul maut. Mungkin ia adalah hembusan terakhir.

Kadang-kadang rasa insaf menyapa hati apabila mendengar berita kematian. Itu tandanya hati kita masih lembut menerima peringatan Tuhan. Usah berlengah. Tadahlah tangan meminta ampunanNya.Kerana takdir itu rahsia Tuhan.




0 comments:

Post a Comment