Monday 1 July 2013

Sebenarnya dia Sepupu saya



Bismillahirrahmanirrahim..

Zohor tadi saya sempat solat di masjid berdekatan rumah. Di sapa imam selepas solat. Lantas bertanyakan kesediaan untuk mengimami terawih ramadhan ini.

“InsyaAllah,jahiz”,saya menjawab.

Rupanya Ramadhan dah dekat.

Saya menapak pulang ke rumah. On kan laptop. Facebook.com laman pertama saya cecah. Terpampang satu status. Dari sepupu saya. Entah mengapa hati ini teringatkan dia. Terutama menjelang Ramadhan dan Hari Raya.

Saya tinggal di rumah nenek sebelah ayah saya. Jarang pulang ke kampong sebelah emak. Mungkin sebab itu saya lebih rapat dengan sepupu dan saudara sebelah ayah berbanding sebelah emak.

Kami sebaya walaupun secara hakikat umur saya tua setahun dari dia.

Saya selalu dan akan sentiasa ingat.

Setiap kali menjelang hari raya. Di akhir ramadhan,saya akan sentiasa menunggu. Menunggu bunyi tayar kereta Perdana bernombor plat W..

Kadang-kadang selepas subuh saya akan menjenguk ke luar rumah. Melihat kelibat kereta itu. Perasaan akan menjadi girang tatkala dia datang.

Keluarganya dan keluarga saya


Keluarga kami banyak bunga berbanding kumbang. Mungkin disebabkan itu saya amat rapat dengan dia
.
Saya masih ingat.

Setiap kali dia pulang ke kampong ketika ramadhan,pasti ada “buah tangan” yang dibawa bersama. Mercun bola,roket,ketupat,bunga api dan lain-lain lagi. Buah tangan akan dibahagikan kepada dua bahagian. Dan malam itu kampong akan dinyanyikan dengan lagu mercun.

Saya juga masih ingat.

Pernah sekali kami bermain mercun roket. Dan mercun itu terbang ke dalam rumah. Akibatnya dia dimarahi oleh ibunya (arwah maklang). Saya seringkali terlepas dari kesalahan. Mungkin kerana saya anak saudara kesayangan.

Saya juga masih ingat.

Saat kami mencari bahan-bahan meriam. Belerang dan sebagainya. Cuba melawan meriam dari kampong seberang.

Masa cepat berlalu. Sekarang banyak perkara berubah.

Saya sudah tidak menjenguk ke luar mencari kelibat kereta Perdana lagi kerana saya tahu saya berada amat jauh dari rumah. Saya juga sudah tidak reti untuk memahami nilai dentuman mercun.

Masing-masing sudah besar dan membawa diri mencipta identiti. Saya sebagai bakal ustaz di Jordan dan dia sebagai bakal doktor di Mesir. Masa pantas berjalan merubah segalanya.

Kelmarin sempat bersembang dan berjalan-jalan sekitar Mafraq  bersamanya apabila dia singgah sebentar dari Mesir sebelum terbang ke Malaysia. Pulang untuk misi yang amat besar. Misi kehidupan.

Mungkin ini Ramadhan dan Hari Raya terakhir sebelum dia bergelar suami orang. Suami kepada seseorang.

Saya tak sempat dan tidak berpeluang menyambut tarikh keramat bersamanya. Namun iringan doa tidak pernah saya lupakan.

“Moga Allah memberkati dan sentiasa memberikan petunjuk kepadamu dalam kehidupan”

Dia sepupu terbaik yang pernah dan sentiasa saya ada.


Well done bro.


0 comments:

Post a Comment